Skip to main content

Singapura

GE2025: PAP menang GRC West Coast-Jurong West dengan 60.01% undi, kalahkan PSP

Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Sabtu (3 Mei) memenangi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) West Coast-Jurong West yang baru dibentuk dengan 60.01 peratus undi.

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: PAP menang GRC West Coast-Jurong West dengan 60.01% undi, kalahkan PSP

Calon-calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC West Coast–Jurong West berucap kepada para penyokong di Stadium Bukit Gombak pada 3 Mei 2025. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Sabtu (3 Mei) memenangi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) West Coast-Jurong West yang baru dibentuk dengan 60.01 peratus undi.

Pertandingan antara pasukan lima anggota PAP yang diketuai Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee dan pasukan Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang diterajui oleh pengerusinya Tan Cheng Bock menarik perhatian ramai.

PSP pada 2020 hampir meraih kemenangan dalam persaingan yang paling sengit pada tahun itu di GRC West Coast, yang kini sudah dibubarkan.

Pada 2020, PAP mengekalkan GRC West Coast dengan 51.69 peratus undi, manakala PSP mendapat dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) sebagai pasukan yang kalah tetapi mencatatkan prestasi terbaik.

Dengan PSP hanya mendapat 39.99 peratus undi pada tahun ini, parti tersebut berkemungkinan kehilangan dua kerusi NCMP, yang telah disandang oleh ketua parti Leong Mun Wai dan naib pengerusi Hazel Poa.

Sempadan kawasan undi telah disemak semula menjelang GE2025 untuk memasukkan sebahagian daripada GRC Jurong, yang kini sudah dibubarkan - yang sudah menjadi kubu kuat PAP - manakala sebahagian daripada GRC West Coast sebelum ini juga telah dipindahkan ke SMC berhampiran.

Pada 2020, pasukan PAP di GRC Jurong yang diketuai oleh Tharman Shanmugaratnam, sebelum beliau menjadi presiden Singapura, menang dengan kira-kira 74.6 peratus undi.

Pasukan PSP yang bertanding di GRC West Coast-Jurong West tahun ini sebahagian besarnya terdiri daripada mereka yang hampir mengalahkan pasukan PAP dari GRC West Coast pada 2020.

Mereka diketuai pengasas parti dan mantan Anggota Parlimen PAP, Encik Tan Cheng Bock, Encik Leong, Cik Poa, serta muka baharu Sani Ismail dan Sumarleki Amjah.

Mereka berdepan dengan pasukan PAP yang diketuai oleh Encik Lee dan juga terdiri daripada mantan Anggota Parlimen Jurong Shawn Huang dan Ang Wei Neng, serta muka baharu Cassandra Lee dan Hamid Razak.

"Kami akan melakukan segala-galanya untuk memastikan kami mendapat sokongan yang kukuh dalam tempoh lima tahun akan datang dan seterusnya," kata Encik Lee dalam ucapan terima kasihnya selepas keputusan rasmi diumumkan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Tan Cheng Bock dan rakan-rakan kami dari PSP kerana memberikan persaingan yang sengit di sini di West Coast-Jurong West dengan idea-idea yang baik diusulkan.

"Mari kita teruskan kematangan demokrasi kita dan mengukuhkan Singapura sepanjang beberapa tahun akan datang."

TUMPUAN KEPADA PERUMAHAN

Sempadan yang disemak semula menjadi satu perkara yang dipertikaikan oleh parti pembangkang.

Encik Leong telah memberitahu media bahawa mengambil alih kawasan baharu yang diserap ke dalam GRC West Coast-Jurong West yang disemak semula adalah "sesuatu yang sukar", terutamanya dengan tempoh berkempen yang "sangat singkat" menjelang Pilihan Raya Umum (GE2025).

Namun semasa kempen pilihan raya, dasar-dasar negara, terutamanya perumahan awam, juga menjadi tumpuan utama PSP dan membawa kepada beberapa pertukaran pendapat antara para pesaing.

Encik Leong dan Cik Poa dari PSP melancarkan serangan pertama pada 23 April, sejurus selepas diumumkan secara rasmi sebagai calon untuk GRC West Coast-Jurong West, sekali gus mencabar pasukan Encik Lee untuk mengadakan perbahasan awam mengenai dasar negara.

Pasukan Encik Lee turut mendedahkan manifesto PAP bagi kawasan undi tersebut, dan mencabar PSP untuk melakukan perkara yang sama.

Pada 30 April, di akhir lawatan ke Jurong West, Encik Leong berkata bahawa Encik Lee masih belum menjawab beberapa soalan dasar yang dibangkitkan oleh parti pembangkang itu.

Antara isu-isu perumahan lain yang dibangkitkan, Encik Leong berkata bahawa Encik Lee tidak menangani kebimbangan mengenai kenaikan kos flat awam, susut nilai pajakan dan kekurangan naik taraf lif untuk flat-flat tertentu di Singapura.

Encik Lee kemudian mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa pemimpin parti pembangkang itu membuat dakwaan dengan "tidak mengambil kira fakta", dan menggesa orang ramai untuk mempertimbangkan fakta dari kedua-dua pihak.

Beliau juga menambah bahawa beliau telah menangani isu-isu perumahan negara sebanyak "beberapa kali" sepanjang tempoh berkempen.

Isu-isu tersebut juga telah dibincangkan dalam Parlimen sebelum pilihan raya, tambah menteri itu.

Bercakap kepada media pada hari yang sama selepas kenyataan Encik Lee, Encik Leong berkata bahawa menteri itu tidak memberikan sebarang maklumat baharu pada masa-masa tersebut apabila beliau mendakwa telah memberi respons, dan isu-isu berkenaan juga tidak diselesaikan dalam perbincangan Parlimen.

APA MAKSUD PERUBAHAN UNDI UNTUK PSP

Bercakap dengan Mediacorp, pakar-pakar politik berkata perubahan sempadan kawasan undi mempengaruhi margin kemenangan PAP.

Penganalisis politik dan mantan Anggota Parlimen PAP Inderjit Singh berkata: "Saya rasa ini boleh dilihat sebagai perubahan yang dijangkakan di Jurong, bekas kubu kuat (Encik) Tharman."

Profesor Madya Sains Politik Universiti Nasional Singapura (NUS) Chong Ja Ian juga menarik perhatian kepada peralihan yang lebih luas ke arah PAP dan PSP kelihatan tidak begitu aktif di GRC tersebut.

Mempunyai Encik Leong dan Cik Poa sebagai suara NCMP adalah satu "kelebihan" bagi parti itu, tetapi belum cukup untuk menjadi pengubah keadaan, tambah Prof Madya Chong.

"Untuk menang di Singapura, anda perlu berkhidmat untuk kawasan undi anda dan mempunyai suara di Parlimen," katanya.

Daya tarikan peribadi Dr Tan yang semakin merosot dalam kalangan pengundi mungkin turut memainkan peranan dalam keputusan tersebut, kata pakar-pakar itu.

Encik Inderjit berkata Dr Tan "terutamanya" membantu PSP mencapai prestasi yang baik pada 2020, namun populariti beliau telah menurun sejak itu.

Dr Teo Kay Key, seorang zamil penyelidik di Institut Pengajian Dasar, menambah: "Dengan usia beliau yang lanjut, ia mungkin menjadi sesuatu yang bermain dalam fikiran mereka (pengundi) apabila memutuskan siapa yang hendak diundi.

"Walaupun parti itu telah cuba memastikan beberapa pelan pembaharuan telah dilaksanakan, termasuk memilih Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baharu, penampilan Dr Tan kepada orang luar masih tidak dapat ditandingi.

"Oleh itu, mungkin ada kebimbangan untuk mengundi mereka."

Keputusan itu juga mungkin menjadi petunjuk sentimen pengundi terhadap prestasi dua NCMP di Parlimen, kata Dr Teo, sambil menambah bahawa pengundi mungkin lebih gemar "gaya berbahas yang berbeza".

Secara keseluruhannya, pakar-pakar berkata peralihan undi dari PSP menunjukkan bahawa parti itu mesti bekerja keras untuk menunjukkan identitinya kepada pengundi menjangkaui sebagai parti Dr Tan.

"Ini akan menjadi sangat sukar untuk dilakukan jika mereka tidak mempunyai kehadiran di dalam Parlimen. Mereka mungkin juga perlu terus melakukan kerja mendampingi penduduk di kawasan-kawasan yang mereka bertanding," kata Dr Teo.
Sumber : CNA/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita