Skip to main content

Singapura

GE2025: PAP lawan PAR di GRC Tanjong Pagar

Anggaran Waktu Membaca:
  GE2025: PAP lawan PAR di GRC Tanjong Pagar

Atas, dari kiri: Pasukan PAP Foo Cexiang, Joan Pereira, Chan Chun Sing, Rachel Ong dan Alvin Tan. Bawah, dari kiri pasukan PAR Soh Lian Chye, Prabu Ramachandran, Han Hui Hui, Rickson Giauw Joon Chai dan Nadarajan Selvamani. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)

Diterbitkan : 23 Apr 2025 04:44PM Dikemas Kini : 23 Apr 2025 04:52PM
SINGAPURA: Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) diketuai Menteri Pendidikan Chan Chun Sing yang akan bertanding di GRC Tanjong Pagar akan berdepan dengan Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR) pada Hari Mengundi.

Calon-calon daripada kedua-dua parti sudah disahkan selepas mereka berjaya memfailkan borang pencalonan mereka di Sekolah Rendah Bendemeer pada Rabu (23 Apr).

Pasukan PAP lima anggota itu juga termasuk Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Alvin Tan, Cik Joan Pereira, Cik Rachel Ong dan muka baharu Foo Cexiang.

Encik Chan, Encik Tan dan Cik Pereira adalah Anggota Parlimen bagi kawasan undi tersebut sebelum Parlimen dibubarkan. Cik Ong menyelia Telok Blangah yang dahulunya sebahagian daripada GRC West Coast sebelum sempadan kawasan undi disemak.

Anggota baharu parti Encik Foo, mantan pengarah bahagian mobiliti swasta dan masa depan di Kementerian Pengangkutan, merupakan calon tambahan yang tidak dijangkakan pada pasukan PAP di GRC Tanjong Pagar.

Beliau dijangka akan disertakan dalam pasukan PAP di GRC Pasir Ris-Punggol, setelah beberapa kali beliau dilihat berkunjung ke kawasan tersebut bulan ini.

Pasukan PAP akan berdepan dengan Prabu Ramachandran dari PAR, seorang pengurus bank komersil, bersama-sama dengan aktivis Han Hui Hui, pengarah pendidikan Nadarajan Selvamani, pegawai keselamatan Rickson Giauw Joon Chai, dan penolong logistik kanan Soh Lian Chye.

Encik Prabu sebelum ini bertanding dalam GE2020 di GRC Pasir Ris-Punggol dengan Parti Suara Rakyat, iaitu salah satu parti dalam PAR. Encik Nadarajan mengendalikan sekolah swasta dan sebelum ini memberitahu wartawan bahawa beliau telah membantu PV selama "beberapa tahun".

Cik Han bukan orang baharu dalam politik. Ibu kepada tiga anak ini bertanding di SMC Radin Mas sebagai calon bebas dalam GE2015 tetapi kehilangan deposit pilihan raya selepas mendapat 10 peratus undi.

Selepas calon-calon disahkan, Encik Chan mewakili pasukannya untuk menyampaikan ucapan kepada para penyokong, disambut dengan sorakan gemuruh.

Beliau memulakan ucapannya dalam Bahasa Melayu, diikuti oleh Bahasa Mandarin dan Inggeris.

"Terima kasih banyak-banyak atas semua sokongan dan kerjasama anda dengan kami selama bertahun-tahun — 60 tahun dan lebih, 60 tahun dan seterusnya," katanya dalam Bahasa Inggeris.

"Ia adalah matlamat kami ... ia adalah matlamat pasukan kami untuk memastikan kami terus bekerja dengan penduduk di Tanjong Pagar dan di Singapura untuk memastikan kita akan mempunyai masa depan yang lebih cerah tanpa mengira cabaran akan datang."

Encik Prabu dari PAR menyampaikan ucapan pembukaan bagi pasukan lima anggotanya yang akan berdepan dengan pasukan PAP.

"Anda dengar calon PAP: 60 tahun di Tanjong Pagar, sudah tiba masanya untuk membawa perubahan. Usah lagi menyerahkan kuasa bulat-bulat kepada PAP, bukan sahaja sepanjang 10 hari tempoh berkempen ini, tetapi sepanjang lima tahun di Parlimen," katanya.

Beliau disertai oleh rakan sepasukan beliau Cik Han.

"Undilah kami di Tanjong Pagar kerana ini adalah masa di mana kita perlu mengambil kembali apa yang menjadi hak kita, dan ini adalah masa di mana kita perlu mempunyai suara di dalam Parlimen Singapura," katanya kepada orang ramai.

Encik Prabu menjelaskan kepada wartawan di luar acara tersebut bahawa Singapura "berdepan tempoh pengangguran siswazah" dan kadar kesuburan keseluruhan yang rendah iaitu 0.97.

"Setiap anak Singapura adalah harta negara, jadi kita perlu memastikan pendidikan mereka, penjagaan kesihatan mereka dan pemakanan mereka disediakan dengan baik di sekolah," tambahnya.

Cik Han berkata pasukan itu akan berkempen terutamanya mengenai "isu-isu asas" seperti perumahan, penjagaan kesihatan dan hak asasi manusia, sambil mengatakan PAP tidak menyelesaikan masalah-masalah ini selama enam dekad yang lalu.
"Memandangkan anda tidak dapat menyelesaikan masalah selepas enam dekad, sudah tiba masanya untuk menyerahkannya kepada orang lain supaya kami boleh menyuarakan dan membincangkannya di Parlimen untuk mencari penyelesaian bagi rakyat Singapura," tambahnya.

GRC Tanjong Pagar, yang sudah lama menjadi kubu kuat PAP, akan mempunyai 139,688 pengundi dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025.

Sempadan kawasan undinya sudah diubah selepas menyerap kawasan-kawasan di Dover dan Telok Blangah dari GRC West Coast, dan menggugurkan beberapa estet Queenstown yang membentuk SMC Queenstown yang baharu.

Pada Pilihan Raya Umum 2020, PAP berdepan dengan Parti Kemajuan Singapura (PSP) di GRC Tanjong Pagar.

PAP mendapat 63.1 peratus undi, turun daripada 77.71 peratus dalam pilihan raya pada 2015.

Dua Anggota Parlimen yang berkhidmat di kawasan undi tersebut sudah dipindahkan ke kawasan undi lain bagi GE2025.

Setiausaha Parlimen Kanan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Eric Chua akan bertanding di SMC Queenstown selepas beberapa estet di Queenstown digugurkan untuk membentuk kawasan undi perseorangan baharu di menyusuli semakan terkini pada sempadan kawasan undi. Beliau menyelia Queenstown di GRC Tanjong Pagar.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah, yang sudah berkhidmat di GRC Tanjong Pagar sejak 2001, kini mengetuai pasukan empat anggota PAP di GRC Pasir Ris-Changi, selepas Menteri Kanan Teo Chee Hean berkata pada Isnin bahawa beliau akan mengundurkan diri daripada kawasan undi tersebut.

Para pengundi akan keluar mengundi pada 3 Mei.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita