Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: PAP lancar laman Pelan East Coast

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: PAP lancar laman Pelan East Coast

Pelancaran laman web East Coast baharu pada 15 April, 2025. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)

Diterbitkan : 15 Apr 2025 11:36PM Dikemas Kini : 15 Apr 2025 11:47PM
SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Selasa (15 Apr) melancarkan laman yang mengandungi butiran Pelan East Coast, di mana ia mengandungi peta interaktif yang memaparkan kemudahan yang dipertingkatkan dan kerja-kerja yang sedang dijalankan terhadap beberapa ruang masyarakat di beberapa kawasan di East Coast.

Laman itu yang bertajuk "East Side, Best Side" mengandungi lima bahagian iaitu pelan, perkembangan, janji, penduduk dan nadi.

Ia memberikan gambaran mengenai apa yang telah dilakukan bagi para penduduk GRC East Coast sejak 2020 hingga 2025.

Ini termasuk mengukuhkan bantuan kewangan bagi keluarga berpendapatan rendah dan meningkatkan akses kepada jagaan kesihatan; menggalakkan kebun bandar dan kemampanan makanan; dan program-program yang menggalakkan pembelajaran digital dan sepanjang hayat serta memupuk ikatan antara generasi.

Ia juga menampilkan kerja-kerja peningkatan prasarana yang sedang dilaksanakan dan baru selesai menerusi sebuah peta interaktif bagi setiap kawasan dalam GRC tersebut: Bedok, Changi Simei, Fengshan, Kampong Chai Chee, Chai Chee, Siglap dan Joo Chiat.

Laman itu menggariskan lapan tunjang dalam Pelan East Coast bagi lima tahun akan datang - untuk menjadikan East Coast sebuah tempat untuk belajar, menjaga, makan, beribadat, memulihara, bermain, membentuk masa hadapan dan tempat untuk semua.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, menteri utama bagi GRC East Coast dalam Pilihan Raya Umum sebelumnya, bagaimanapun tidak menghadiri acara pelancaran laman itu.

Beliau menghadiri majlis jamuan malam Perkhidmatan Pentadbiran pada malam yang sama.

Frasa "East Coast Plan" atau Pelan East Coast itu menjadi tular selepas Encik Heng gugup semasa memperkenalkan pelan itu dalam ucapannya kepada penduduk East Coast semasa Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum 2020.

DPM HENG TETAP SEBAHAGIAN DARIPADA EAST COAST

Semasa menjawab soalan mengenai keberadaan Encik Heng pada Selasa malam, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong berkata Encik Heng sedang menghadiri acara yang lain.

"Namun DPM Heng tetap sebahagian daripada East Coast dan beliau kini berkhidmat sebagai penasihat akar umbi serta Anggota Parlimen di kawasan undi Bedok," kata Encik Tong.

Kawasan undi Encik Tong iaitu Joo Chiat di GRC Marine Parade - serta sebahagian daripada kawasan undi Kembangan-Chai Chee dipindahkan ke GRC East Coast menyusuli semakan sempadan kawasan undi.

Apabila ditanya sama ada beliau mungkin akan menjadi menteri utama dalam kalangan barisan menteri PAP di GRC East Coast dalam Pilihan Raya Umum akan datang, Encik Tong berkata: "Saya rasa DPM telah mengatakannya dengan jelas. Kami dapat mengesahkannya apabila (setiausaha agung) mengesahkan pasukannya.

"Dan seperti yang anda tahu, beberapa pasukan PAP diumumkan sejak beberapa hari lalu, dan apabila tiba masanya, barisan menteri PAP di GRC East Coast juga akan diumumkan."
Sumber : CNA/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan