GE2025: PAP bersedia tangani masa sukar dengan penuh tekad, kepimpinan baharu: PM Wong
Perdana Menteri Lawrence Wong berkata Parti Tindakan Rakyat (PAP) sudah bersedia menangani masa-masa sukar dengan tekad dan kepimpinan baharu.
PM Wong yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkata demikian semasa melancarkan manifesto PAP bagi Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025) dengan slogan “Dunia Berkisar, Barisan Segar, Azam Berkobar”.
Pilihan Raya Umum kali ini adalah yang pertama bagi PM Wong sebagai Perdana Menteri dan pemimpin PAP.
Menurut PM Wong, beliau telah membentuk pasukan kepimpinan yang terbaik untuk berkhidmat kepada Singapura dan rakyatnya.
PM Wong menyifatkan pilihan raya ini berlangsung pada "saat genting" dalam sejarah negara.
Meskipun PAP telah menerajui pembangunan negara selama enam dekad, PM Wong mengakui bahawa landskap politik dan masyarakat sudah berubah.
"Ini adalah satu amanah yang saya pikul dengan seluruh hati saya untuk memberikan yang terbaik demi rakyat Singapura dan negara kita. Saya juga telah berusaha sedaya upaya untuk membentuk pasukan kepimpinan yang terbaik demi berkhidmat kepada rakyat Singapura, menyokong anda dan bersama-sama dengan anda," kata PM Wong.
Pertaruhan dalam pilihan raya kali ini adalah tinggi, kata PM Wong, terutama dalam menjaga kepentingan Singapura di tengah-tengah landskap global yang semakin kompleks.
"Kami akan berjuang dengan lebih gigih untuk melindungi apa yang telah kita miliki dan bekerja lebih keras untuk membina apa yang kita perlukan.
"Kami bersedia untuk menghadapi cabaran baharu ini. Kami akan berjuang untuk memajukan ekonomi yang dinamik dengan peluang pekerjaan yang baik untuk semua rakyat Singapura," kata PM Wong.
PM Wong menambah, PAP telahpun melakukan pelbagai persiapan bagi menghadapi cabaran masa depan.
"Kami sedar bahawa kos sara hidup kekal menjadi kebimbangan besar bagi ramai rakyat Singapura, seperti mana keadaannya di negara-negara lain juga.
"Lihat sahaja keputusan pilihan raya di negara-negara lain sepanjang tahun lalu – kita tahu apa yang berlaku, parti-parti pemerintah sama ada tewas atau mengalami kekalahan besar.
"Begitu juga di Singapura, kita boleh jangkakan persaingan sengit di setiap kawasan undi.
"Kita tidak boleh mengambil mudah walau satu undi sekalipun. Sentiasa ingat, pengundi Singapura adalah seorang yang bijak menilai dan sukar dipuaskan. Kita mesti berjuang habis-habisan untuk setiap undi, di setiap kawasan," kata PM Wong.
Dengan kempen yang akan bermula pada Rabu (23 Apr), PM Wong berkata pasukannya sudah bersedia untuk turun padang bagi mendapatkan mandat rakyat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.