Skip to main content

Singapura

GE2025: PAP belanja hampir S$390,000 bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Marine Parade-Braddell Heights membelanjakan S$388,756 dan meraih kemenangan tanpa bertanding di Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), menurut dokumen yang diterbitkan di laman Jabatan Pilihan Raya (ELD) setakat Khamis (29 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: PAP belanja hampir S$390,000 bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights

Papan tanda Jabatan Pilihan Raya di Singapura. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

SINGAPURA: Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Marine Parade-Braddell Heights membelanjakan S$388,756 dan meraih kemenangan tanpa bertanding di Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), menurut dokumen yang diterbitkan di laman Jabatan Pilihan Raya (ELD) setakat Khamis (29 Mei).

Kelima-lima Anggota Parlimen PAP itu merupakan antara 35 calon pertama yang mengisytiharkan perbelanjaan mereka bagi Pilihan Raya Umum 2025 pada 3 Mei lalu, dan merupakan pasukan PAP pertama yang melakukan demikian.

Calon dengan perbelanjaan paling tinggi dalam kumpulan pertama ini adalah Encik Goh Pei Ming dari GRC Marine Parade-Braddell Heights dengan perbelanjaan sebanyak S$104,085, di mana S$52,650 dibelanjakan untuk iklan pilihan raya bukan online.

Ini disusuli dengan rakan sepasukannya dan mantan AP MacPherson Tin Pei Ling yang membelanjakan sebanyak S$84,128.

Perbelanjaan bagi anggota-anggota lain adalah seperti berikut - Speaker Parlimen Seah Kian Peng (S$74,693), AP baharu Diana Pang (S$74,437) dan mantan AP Nee Soon Faishal Ibrahim (S$51,413).

Sebahagian besar perbelanjaan mereka adalah bagi iklan bukan online seperti poster dan risalah.

Antara bahan-bahan pilihan raya yang dicetak dan diedarkan kepada penduduk Marine Parade-Braddell Heights adalah sebuah risalah setebal 48 muka surat yang membutirkan rancangan pasukan itu bagi kawasan undi tersebut.

Manifesto itu menampilkan Dr Tan See Leng, yang merupakan sebahagian daripada pasukan PAP yang meraih undi kemenangan di GRC Marine Parade dalam pilihan raya umum sebelumnya pada 2020.

Pertukarannya pada saat-saat akhir ke GRC Chua Chu Kang dalam GE2025 dianggap satu keputusan mengejutkan.

BAGAIMANA DENGAN PERBELANJAAN PARTI-PARTI LAIN?

Di bawah undang-undang, para calon mempunyai masa sehingga 16 Jun untuk mengisytiharkan perbelanjaan mereka dalam pilihan raya umum dan kegunaannya.

Ini bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam perbelanjaan setiap calon pilihan raya, menurut ELD.

Had perbelanjaan pilihan raya bagi setiap calon juga dinaikkan dari S$4 bagi setiap pengundi kepada S$5 bagi setiap pengundi, untuk mengambil kira kadar inflasi.

Seramai 211 calon bertanding dalam GE2025, dengan tiada sebarang pengisytiharan dibuat oleh calon-calon Parti Pekerja sejauh ini.

Parti Kemajuan Singapura (PSP) adalah parti seterusnya yang mencatatkan perbelanjaan tertinggi dalam kalangan 35 calon yang membuat pengisytiharan awal.

10 daripada 13 calon yang ditampilkan oleh PSP telah mengisytiharkan perbelanjaan mereka, di mana jumlahnya melebihi S$30,000.

Mantan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai antara calon dengan perbelanjaan terbesar di parti itu sejauh ini, di mana beliau membelanjakan S$36,041 bagi kempennya di GRC West Coast-Jurong West.

Calon-calon bebas Jeremy Tan, yang bertanding di SMC Mountbatten dan Darryl Lo yang bertanding di SMC Radin Mas, masing-masing membelanjakan S$16,075 dan S$12,213.

Tan yang merupakan seorang ahli perniagaan yang telah bersara membelanjakan separuh daripada jumlah itu - S$8,804 - bagi rapat pilihan raya yang diadakan secara perseorangan.

Sementara itu, calon Titik Merah Bersatu (RDU) Kala Manickam mempunyai tuntutan perbelanjaan dipertikaikan sebanyak S$1,365.

Ini terdiri daripada S$404 bagi "perbelanjaan makanan untuk calon dan sukarelawan", S$66 bagi "tambang pengangkutan untuk sukarelawan" dan S$895 bagi "harga mencetak risalah tambahan".

Bercakap kepada Mediacorp, Cik Manickam yang bertanding di GRC Jurong Central, berkata terdapat perjanjian dengan RDU bahawa sebahagian perbelanjaannya untuk kempen pilihan raya akan dibiayai melalui pengumpulan dana, di mana beliau sedia maklum bahawa beliau tidak berjaya mengumpul jumlah yang mencukupi.

"Saya tidak menerima derma, jadi bagaimana untuk membayarnya? Mereka kata saya tidak boleh dibayar balik, jadi saya kata ok, ambil sahaja duit dari poket saya dan bayar," katanya.

Beliau menambah bahawa beliau turut dinasihati oleh ejen pilihan raya supaya meletakkan kos itu di bawah tuntutan dipertikaikan, namun beliau tidak sedia maklum bahawa tuntutan itu akan didedahkan kepada umum.

Selain itu, antara calon dengan jumlah perbelanjaan terendah adalah calon RDU, Ben Puah yang membelanjakan S$109 bagi kempennya di GRC Jurong East-Bukit Batok.

Beliau juga satu-satunya calon sejauh ini yang mengisytiharkan derma yang tidak boleh direkodkan sebanyak S$280.

Calon Parti Kuasa Rakyat (PPP) Samuel Lee yang bertanding di GRC Ang Mo Kio dan baru-baru ini mengumumkan beliau keluar dari parti itu, membelanjakan S$100.

Terdapat tujuh calon yang melaporkan tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan untuk kempen mereka.

Mereka adalah calon-calon RDU, Sharad Kumar, Pang Heng Chuan dan David Foo; calon Parti Demokratik Singapura (SDP) Alec Tok; calon Perikatan Demokratik Singapura (SDA) Harminder Pal Singh dan calon Parti Rakyat Singapura (SPP) Norhakim dan Lim Rui Xian.
Sumber : CNA/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita