Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: PAP akan buat penyesuaian bagi hadapi pilihan raya akan datang

Mengulas laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC), Parti Tindakan Rakyat (PAP) menyatakan bahawa para aktivis di cawangan-cawangannya akan melakukan penyesuaian yang diperlukan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Mar 2025 09:08PM Dikemas Kini : 11 Mar 2025 10:24PM

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) menyatakan para aktivis di cawangan-cawangannya akan melakukan penyesuaian yang diperlukan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Pada masa yang sama, para penduduk boleh terus mendapatkan bantuan daripada cawangan PAP sedia ada.

Beberapa Anggota Parlimen (AP) turut melahirkan komitmen untuk terus berkhidmat, walaupun terdapat perubahan pada kawasan undi.

"Pasukan kami sudah bekerjasama dengan anda sejak bertahun-tahun, membina pembangunan baharu yang menarik di Punggol dan memperbaharui serta menyegarkan semula Pasir Ris dengan pelbagai kemudahan baharu," kata Menteri Kanan dan AP GRC Pasir Ris-Punggol, Teo Chee Hean, mengulas laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC), yang dikeluarkan pada Selasa (11 Mac).

GRC Pasir Ris-Punggol akan dipecahkan menjadi dua GRC dengan empat anggota iaitu GRC Punggol yang baharu di bahagian timur laut Singapura, diwujudkan dengan menyerap estet di Punggol dan bergabung dengan SMC Punggol West.

GRC Pasir Ris-Changi yang baharu di bahagian timur pula akan menyerap baki estet di Pasir Ris dan beberapa bahagian paling timur GRC East Coast. Menurut EBRC, GRC Pasir Ris-Punggol menyaksikan peningkatan terbesar jumlah pengundi sejak GE2020. Jumlah itu tambahnya akan terus meningkat dengan pembangunan perumahan baharu.

Encik Teo, yang mengalu-alukan penduduk dari Changi, turut berkata PAP akan memastikan semua penduduk dijaga dengan baik.

Bagi AP SMC MacPherson, Tin Pei Ling, perkara terbesar yang sentiasa dihargainya adalah ikatan yang terjalin dengan para penduduk.

SMC MacPherson adalah antara lima kawasan undi perseorangan yang digugurkan selepas ia diserap ke dalam GRC. Bagi SMC MacPherson, ia dimasukkan ke dalam GRC Marine Parade-Braddell Heights.  

"Jadi, tidak kira apa perubahan sempadan, jika diberi peluang untuk berkhidmat, keutamaan saya adalah untuk terus melakukan yang terbaik bersama pasukan saya untuk membantu penduduk dan berkhidmat kepada MacPherson," kata beliau.

Dalam satu program temu bual di stesen radio CNA938, AP GRC Pasir Ris-Punggol Dr Janil Puthucheary berkata, masih belum pasti jika beliau akan bertanding di GRC Pasir Ris-Changi yang baharu.

Dr Puthucheary berkata, "Maksud saya, mereka perlu memutuskan siapa yang mereka mahu calonkan, dan kemudian di mana mereka mahu kami bertanding."

"Jadi, Perdana Menteri dan parti akan memutuskan dan kita lihat nanti," tambah beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan