Skip to main content

Singapura

GE2025: Noor Deros datang ke mesyuarat tanpa dirancang, bawa senarai tuntutan, jelas Pritam

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Noor Deros datang ke mesyuarat tanpa dirancang, bawa senarai tuntutan, jelas Pritam

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh bercakap dengan media di Pusat Fengshan pada 25 Apr 2025. (Gambar fail: CNA/Ooi Boon Keong)

SINGAPURA: Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh menegaskan bahawa Encik Noor Deros membuat kesilapan besar jika beranggapan WP mendukung isu-isu yang diperjuangkan guru agama itu.

Encik Pritam turut menambah kehadiran Encik Noor Deros dalam mesyuarat antara para anggota WP dengan pemimpin agama juga tidak dirancang.

Beliau menjelaskan perkara itu ketika ditemui wartawan dalam sesi berkempen WP di kawasan Kovan pada Sabtu (26 Apr).

Encik Pritam berkempen di sana bersama dengan rakan-rakan sepasukan WP yang bertanding di GRC Aljunied.

KEHADIRAN NOOR DEROS DALAM MESYUARAT TIDAK DIRANCANG

Bercakap kepada pihak media, Encik Pritam menjelaskan mesyuarat tersebut diadakan selepas seorang anggota jawatankuasa sebuah masjid di kawasan GRC Aljunied menyatakan hasrat ingin bertemu dengan Encik Faisal Abdul Manap dan anggota-anggota Melayu/Islam lain daripada WP.

Mesyuarat tersebut sepatutnya dihadiri dengan para asatizah dan pemimpin kanan agama Melayu/Islam sahaja.

Beliau menambah bahawa tiada petunjuk individu seperti Encik Noor Deros akan menyertai mesyuarat berkenaan.

Encik Pritam bagaimanapun mendedahkan Encik Noor Deros hadir tanpa dirancang sebaik mesyuarat bermula dan mengemukakan satu senarai tuntutan.

"Apabila mesyuarat bermula, dia hadir dengan satu senarai tuntutan. Tiada situasi yang mana WP berpolitik berdasarkan sebarang tuntutan. Jika dia beranggapan isu-isu yang diperjuangkannya akan dibawa oleh WP, saya rasa dia membuat satu kesilapan besar," tegas Encik Pritam.

Tambahnya lagi, mesyuarat bersama para pemimpin agama adalah sesuatu perkara biasa sambil merujuk bahawa usaha mendampingi golongan tersebut turut dilakukan para pegawai pemerintah mahupun menteri.

Beliau menjelaskan lanjut perkara berkenaan di samping kenyataan media WP yang diterbitkan awal pagi tadi.
Encik Noor Deros sebelum ini mengatakan bahawa catatan asalnya tentang WP adalah satu-satunya parti yang memberi respons kepadanya disalah faham.

Dia menjelaskan bahawa WP tidak membuat sebarang perjanjian dengannya.

CALON MELAYU/ISLAM WP BERKHIDMAT UNTUK SEMUA KAUM

Encik Pritam juga menekankan bahawa kesemua calon Melayu/Islam WP dalam GE2025 berkhidmat untuk semua kaum.

"Ini adalah Singapura sebuah masyarakat berbilang kaum. Setiap calon perlu berkhidmat kepada semua rakyat Singapura secara adil," tambahnya.

Beliau juga menarik perhatian kepada beberapa komen online yang kurang senang dengan ucapan calon WP di GRC Punggol, Cik Alia Mattar semasa Rapat Umum di Sengkang Khamis lalu.

Encik Pritam akur akan ada pihak yang kurang senang topik konflik Gaza jika ia dibangkitkan.

Pun begitu, beliau mengingatkan bahawa konflik Israel-Palestin tersenarai dalam manifesto parti dan WP ada pandangan sendiri tentang bagaimana huraian dua negara itu boleh dicapai.

Beliau berkata, "Ramai rakyat Singapura tidak kira kaum dan agama amat sensitif dengan isu ini dan pendekatan kami lebih kepada kebimbangan kemanusiaan. Kami ada pandangan bagaimana huraian dua negara itu perlu diusahakan dan sudah masukkan ke dalam manifesto kami."

Encik Pritam juga menambah WP akan sentiasa memberi perhatian kepada semua masyarakat secara am.

Pada masa yang sama, WP komited untuk menangani setiap pandangan berbeza dengan sensitif dan teliti.
 
Sumber : CNA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita