GE2025: Ng Eng Hen bersara dari politik; PAP perkenal dua muka baharu bagi GRC Bishan-Toa Payoh
Menteri Pertahanan Ng Eng Hen pada Jumaat (18 Apr) mengumumkan bahawa beliau akan berundur daripada politik, menjadikannya menteri pertama yang disahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum kali ini.

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen semasa pengumuman calon PAP bagi GRC Bishan-Toa Payoh dan SMC Marymount pada 18 April 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat akan mengetuai barisan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Bishan-Toa Payoh, bersama dua muka baharu dalam politik, menurut parti pemerintah itu di pejabat cawangannya di Toa Payoh West-Thomson.
“Ia satu penghormatan untuk berkhidmat bagi para penduduk saya dan rakyat Singapura secara umum selama lima penggal,” kata Dr Ng.
Ahli politik berusia 66 tahun itu turut berkata bahawa kesinambungan kepimpinan adalah kekuatan dan nilai utama PAP, dan atas sebab itu beliau mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada generasi baharu, seperti yang dilakukan pemimpin-pemimpin terdahulu.
“Ketua pasukan baharu bagi GRC ini, Menteri Chee Hong Tat, bukan sahaja berkelayakan dan berpengalaman, malah telah membuktikan keupayaannya dalam meningkatkan taraf hidup penduduk di sini sepanjang 10 tahun lalu,” katanya.
Mantan Anggota Parlimen Chong Kee Hiong juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Dua muka baharu, pengarah badan amal Elysa Chen, 41 tahun, dan usahawan sosial Cai Yinzhou, 35 tahun, akan menyertai Encik Chee dan Encik Saktiandi Supaat bagi melengkapkan pasukan empat anggota di Bishan-Toa Payoh.

"Saya fikir menjadi satu nilai murni apabila PAP memaksa dirinya untuk melalui proses pembaharuan, dan bagi ahli politik kanan seperti saya, kami mencontohi teladan mereka yang kami saksikan ketika kami mula-mula menceburi politik.”
“Jika yang lebih berpengalaman tidak berundur untuk memberi laluan kepada yang baharu, anda tidak melakukan persiapan untuk masa depan. Ia semudah itu.”
Dr Ng, seorang mantan pakar onkologi, menyertai politik lebih dua dekad lalu pada 2001.
Sejak itu, beliau telah berkhidmat di GRC Bishan-Toa Payoh.
Dr Ng memegang jawatan Menteri Pertahanan sejak 2011. Sebelum itu, beliau pernah menerajui Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Beliau juga pernah menjadi Ketua Dewan antara 2011 hingga 2015.
Menurut Encik Chee, tiada perubahan akan dibuat pada sempadan dalaman GRC tersebut.
Jika terpilih, Encik Saktiandi akan terus menerajui kawasan Toa Payoh East, manakala Encik Chee di Toa Payoh West. Cik Chen akan mengambil alih kawasan Bishan East-Sin Ming, manakala Encik Cai akan bertugas di Toa Payoh Central, kawasan yang sebelum ini diwakili Dr Ng.
“Dalam suasana global yang bergolak dan tidak menentu ini, anda boleh mengharapkan pasukan PAP untuk terus berkhidmat demi anda, menjaga kebajikan anda, memastikan keselamatan anda, dan yang paling penting, memperjuangkan masa depan lebih cerah bagi anda dan keluarga,” kata Encik Chee.
MUKA BAHARU
Cik Chen, 41 tahun, merupakan pengarah eksekutif agensi khidmat sosial belia, CampusImpact.
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai seorang guru di sebuah maktab rendah tempatan dan sebagai wartawan bersama Singapore Press Holdings (SPH).

Beliau telah menjadi relawan PAP sejak 2018, dan pernah menyatakan hasrat untuk dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum kali ini.
GRC Bishan-Toa Payoh mempunyai 98,505 pengundi berdaftar. Ia merupakan salah satu daripada lima GRC yang mengekalkan sempadan kawasan undinya dalam laporan terbaharu Jawatankuasa Kajian Sempadan Kawasan Undi (EBRC).
Dalam Pilihan Raya Umum 2020, pasukan yang terdiri daripada Dr Ng, Encik Chee, Encik Saktiandi dan Encik Chong mengalahkan Parti Rakyat Singapura (SPP) dengan 67.23 peratus undi.
SPP, yang turut bertanding di GRC Bishan-Toa Payoh pada 2015, menyatakan bulan lalu bahawa parti itu berhasrat untuk kembali bertanding di kawasan yang sama dalam pilihan raya akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.