GE2025: Ng Chee Meng menang tipis ke atas Andre Low dari WP di SMC Jalan Kayu
Dalam salah satu pertarungan paling sengit dalam Pilihan Raya Umum sejauh ini, calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) Ng Chee Meng meraih kemenangan di SMC Jalan Kayu setelah memperolehi 51.47 peratus undi, menewaskan calon Parti Pekerja (WP) Andre Low.
Encik Ng Chee Meng dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang memenangi Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Jalan Kayu, mengucapkan terima kasih kepada para penyokong di Stadium Yio Chu Kang, pada 3 Mei 2025. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)
- Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) Ng Chee Meng meraih kemenangan di SMC Jalan Kayu setelah memperolehi 51.47 peratus undi, menewaskan calon Parti Pekerja (WP) Andre Low.
- Kemenangan Encik Ng pada Hari Mengundi pada Sabtu (3 Mei) menandakan kepulangan mantan Menteri di Pejabat Perdana Menteri itu ke Parlimen, selepas beliau dikalahkan oleh WP pada 2020 sebagai sebahagian daripada pasukan empat anggota PAP di GRC Sengkang yang baru diwujudkan ketika itu.
- SMC Jalan Kayu dibentuk daripada GRC Ang Mo Kio, yang mempunyai pengundi paling ramai dalam kalangan semua kawasan undi, menyusuli semakan sempadan kawasan undi pada bulan lalu.
- Lawannya dari WP, Encik Low, telah menyertai parti pembangkang itu pada 2020 dan merupakan ahli pasukan media parti tersebut.
Kemenangan Encik Ng pada Hari Mengundi pada Sabtu (3 Mei) menandakan kepulangan mantan Menteri di Pejabat Perdana Menteri itu ke Parlimen, selepas beliau dikalahkan oleh WP pada 2020 sebagai sebahagian daripada pasukan empat anggota PAP di GRC Sengkang yang baru diwujudkan ketika itu.
Encik Ng yang berusia 56 tahun meraih 14,113 undi dan Encik Low, bekas peguam, memperoleh 13,307 undi bagiSMC yang baru ditubuhkan itu.
SMC Jalan Kayu dibentuk daripada GRC Ang Mo Kio, yang mempunyai pengundi paling ramai dalam kalangan semua kawasan undi, menyusuli semakan sempadan kawasan undi pada bulan lalu.
Kawasan undi baharu itu, yang mempunyai 29,565 pengundi berdaftar, termasuk estet privet di Jalan Kayu Road, Seletar Aerospace Park dan sebahagian blok perumahan awam di Fernvale.
Ini adalah kali ketiga Encik Ng bertanding dalam pilihan raya, tetapi kali pertama beliau berbuat demikian bagi SMC.
Bercakap pada awal pagi Ahad (4 Mei), Encik memberitahu kepada orang ramai yang berkumpul untuk menunggu keputusan di Stadium Yio Chu Kang: "Saya akan berkhidmat kepada anda dengan rendah hati. Kami akan membina Jalan Kayu yang lebih kukuh, lebih mesra dan lebih inklusif."
Beliau menambah: "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli pasukan saya yang telah menempuh perjalanan ini bersama saya. Ia adalah perjuangan yang sangat sukar dan tanpa anda semua, keputusan ini tidak mungkin dapat dicapai."
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sebelum ini berkata beliau mahu dipilih masuk ke Parlimen berdasarkan meritnya sendiri dan bukan kerana "ditampilkan di kawasan undi yang selamat".
Encik Ng kekal aktif dalam politik selepas kekalahannya sebelum ini dan telah dipilih untuk menyertai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) ke-38 parti pemerintah itu pada Disember tahun lalu.
Lawannya dari WP, Encik Low, telah menyertai parti pembangkang itu pada 2020 dan merupakan ahli pasukan media parti tersebut. Ini adalah kali pertama beliau bertanding dalam pilihan raya.
Encik Low sebelum ini berkhidmat sebagai penolong setiausaha kepada AnggotaParlimen GRC Sengkang Louis Chua selama lebih tiga tahun, menyokong pendampingan akar umbi, penyelidikan dasar dan Sesi Bertemu Rakyat setiap minggu.
Bercakap kepada para penyokong di Stadium Serangoon, Encik Low berkata walaupun ia "bukan apa yang kami harapkan", beliau menghormati keputusan itu sebagai sebahagian daripada "proses demokrasi negara kita".
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Encik Ng atas kemenangannya hari ini. Penduduk Jalan Kayu sudah bersuara dan saya menghormati keputusan mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.