GE2025: Muka baharu Parti Pekerja lebih berkualiti berbanding kumpulan calon sebelumnya, kata penganalisis
Barisan calon baharu yang diperkenalkan Parti Pekerja (WP) minggu ini mencerminkan peningkatan dari segi mutu individu yang berjaya ditarik parti pembangkang itu, menurut penganalisis politik.

Antara muka baharu Parti Pekerja (WP) yang menonjol menurut penganalisis politik termasuk (ikut arah jam, dari kiri barisan atas) Harpreet Singh, Jimmy Tan Khim Teck, Siti Alia Abdul Rahim Mattar dan Ong Lue Ping. (Gambar: CNA/Jeremy Long, Marcus Mark Ramos)
Pada awal Ahad (20 Apr), WP memperkenalkan kumpulan keempat dan terakhir calon-calon baharunya yang berpotensi menjelang Pilihan Raya Umum Singapura pada 3 Mei.
Daripada 14 muka baharu yang diumumkan sejak Khamis lalu, antara yang menonjol adalah peguam kanan Harpreet Singh, mantan diplomat Eileen Chong Pei Shan dan pakar psikologi kanan dari Institut Kesihatan Mental, Ong Lue Ping.
Muka-muka baharu WP telah menarik perhatian ramai, kata Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis kanan hal ehwal antarabangsa di firma rundingan dasar dan perniagaan Solaris Strategies Singapore.
“Mereka jelas telah meningkatkan persaingan menerusi calon-calon yang diperkenalkan,” katanya.
Barisan calon-calon WP kali ini dijangka lebih kukuh berbanding Pilihan Raya Umum 2020, menurut Profesor Madya Sains Politik dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Chong Ja Ian.
Beliau berkata sejak awal 2000-an, WP secara konsisten menampilkan calon-calon yang lebih mantap pada setiap pilihan raya.
“Barisan calon kali ini mungkin yang paling kuat pernah dikemukakan WP. Ia merangkumi gabungan calon-calon veteran dan muka baharu,” katanya. “Kesemuanya layak untuk menjadi Anggota Parlimen, masing-masing dengan cara tersendiri.”
MENENTANG PAP
Para pakar berpendapat bahawa keupayaan WP menarik calon-calon yang lebih berkualiti adalah hasil daripada prestasi kumpulan Anggota Parlimen WP yang lalu, khususnya semasa pilihan raya umum sebelum ini.
“Semakin baik prestasi mereka, semakin berkesan dasar pengambilan calon mereka,” kata Dr Mustafa Izzuddin.
Dalam Pilihan Raya Umum 2020, WP berjaya mengekalkan dan menambah jumlah undi di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hougang dan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied, serta memenangi empat kerusi baharu di GRC Sengkang.
Namun, terdapat pandangan berbeza mengenai barisan calon baharu WP apabila dibandingkan dengan calon-calon baharu daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah.
Dr Mustafa berkata PAP juga mencari calon dengan profil yang sama hebat, tetapi dengan pertimbangan sama ada mereka berpotensi menjadi pemegang jawatan politik kelak.
“Agak sukar untuk membandingkan (calon baharu) kedua-dua parti,” tambah beliau.
Profesor Madya Chong pula mengatakan bahawa calon-calon baharu WP adalah setanding dengan calon-calon PAP dari segi “pengalaman dan latar belakang”.
“Namun, yang lebih penting bukanlah apa yang telah mereka capai dalam kerjaya sebelum ini, tetapi apa yang mereka boleh lakukan sebagai penggubal undang-undang. Itu yang sepatutnya menjadi keutamaan dari segi pemikiran pengundi,” ujarnya.
“Itulah tugas yang mereka kejar. Dalam hal ini, apa yang diperjuangkan para calon itu penting, dan keberanian mereka untuk mempertahankan sesuatu juga penting, kerana kita sedang memilih wakil.”
Pemerhati politik bebas, Dr Felix Tan, menyifatkan barisan calon baharu WP sebagai “PAP-lite” dan “hampir mencerminkan” parti pemerintah.
Namun begitu, beliau akur ada perbezaan. Sebagai contoh, PAP memperkenalkan lebih ramai mantan pegawai perkhidmatan awam berbanding WP.
Antara mereka termasuk Encik Dinesh Vasu Dash, mantan Ketua Eksekutif Agensi Penjagaan Bersepadu.
Pensyarah undang-undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Eugene Tan, pula berkata muka-muka baharu WP “tidaklah seterampil” calon-calon PAP.
Kecuali peguam kanan Harpreet Singh dan pakar psikologi Dr Ong Lue Ping, katanya, calon-calon WP lain masih belum berada di “puncak kerjaya” mereka.
“Namun, ini tidak bermakna calon-calon WP tidak mampu memikul tanggungjawab sebagai Anggota Parlimen.”
Menurut Profesor Madya Tan, pengundi lazimnya mempunyai jangkaan berbeza terhadap calon-calon PAP berbanding calon pembangkang, termasuk dari segi kelayakan akademik, pencapaian kerjaya, faktor usia dan daya tarikan tersendiri.
“Dengan kayu ukur yang berbeza, pada pandangan saya, WP tidaklah berada dalam kedudukan yang lemah, meskipun PAP terus menarik kumpulan bakat terbesar yang ingin berkhidmat untuk negara di gelanggang politik,” katanya.
“Pengundi mungkin melihat calon-calon WP sebagai cukup berkualiti, apatah lagi dengan kesediaan mereka menjadi sebahagian daripada pihak pembangkang.”
Bercakap pada Ahad, Setiausaha Agung WP, Pritam Singh, berkata rakyat adalah penentu terbaik dalam menilai barisan calon baharu WP.
Namun, beliau juga berkata bahawa barisan calon-calon kali ini terdiri daripada “individu-individu terbaik yang kami temui”.
Apabila ditanya sama ada akan ada kejutan pada Hari Penamaan Calon dengan kemunculan muka baharu yang belum diperkenalkan, Encik Singh berkata seperti parti-parti lain, WP pun ada “beberapa calon simpanan” sekiranya mereka perlu dikerahkan atas sebarang sebab.
Beliau turut menambah bahawa partinya telah berjaya menarik individu-individu daripada pelbagai latar belakang, kumpulan umur dan pengalaman yang berbeza-beza.
“Setiap calon membawa sesuatu yang unik, dan kami yakin mereka akan berikan yang terbaik,” kata beliau. “Kami sangat berbesar hati kerana rakyat Singapura seperti mereka sudi menyertai Parti Pekerja, dan kami berharap ada peluang untuk bekerjasama sebagai satu pasukan.”
"ADA MOMENTUM BAGI WP"
Pakar yang ditemu bual Mediacorp mengenal pasti Encik Harpreet Singh sebagai antara calon WP yang menyerlah.
“Beliau telah muncul dalam pelbagai rancangan podcast, bersedia menjawab soalan media, dan turut dilihat berinteraksi dengan penduduk. Semua ini secara kolektif mencerminkan profil yang dicari WP,” kata Dr Mustafa Izzuddin.
“Kelayakan profesionalnya, hujah mengapa beliau menyokong WP dan keputusannya untuk menceburi politik, serta kebolehannya berucap, semua itu memberikan kelebihan,” ujar Profesor Madya Eugene Tan.
Para calon berpotensi lain yang turut menarik perhatian penganalisis termasuk Dr Ong Lue Ping, Encik Jimmy Tan Khim Teck dan Cik Alia Mattar.
Jumlah calon yang bakal ditampilkan WP kini dijangka melebihi 21 orang, jumlah yang sama dalam GE2020, sekiranya lapan Anggota Parlimen parti yang sedia ada bertanding semula.
Pada setiap pilihan raya, WP juga biasanya menampilkan beberapa calon yang tidak berjaya dalam pilihan raya yang lalu.
Awal minggu ini, Ketua WP, Pritam Singh, mengatakan bahawa parti itu akan bertanding dalam kurang sepertiga daripada 97 kerusi parlimen bagi Pilihan Raya Umum 2025.
Dalam GE2015, WP menampilkan seramai 28 calon, manakala bagi GE2011, ia menampilkan 23 orang calon.
Profesor Madya Chong Ja Ian dari NUS berkata, “angka-angka tersebut menunjukkan bahawa WP mempunyai momentum.”
Profesor Madya Tan pula mengatakan bahawa WP “masih perlu memperkukuh daya tarikannya agar dapat bertanding sekurang-kurangnya dalam sepertiga daripada kerusi yang ditandingi menjelang akhir dekad ini.”
“WP lebih gemar pendekatan yang bertahap-tahap dalam memperluas senarai calonnya,” tambah beliau.
“Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa parti itu berhasrat untuk mewujudkan sistem politik yang lebih ‘seimbang’.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.