GE2025: Mudah untuk usul dasar, cabarannya terletak pada pelaksanaannya, kata Rahayu Mahzam
Mengusulkan idea sebagai dasar "memang mudah", tetapi cabarannya terletak pada bagaimana dasar itu akan dilaksanakan, kata Menteri Negara Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital Rahayu Mahzam pada Khamis (17 Apr).
Menteri Negara Rahayu Mahzam bercakap kepada media pada 17 April 2025. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai dakwaan Parti Pekerja (WP) pada Rabu (16 Apr). Dalam catatan Facebooknya, parti pembangkang itu berkata bahawa 15 daripada saranan dasarnya dalam penggal terakhir Parlimen telah diterima pakai "dalam beberapa bentuk" oleh pemerintah pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP).
"Biasanya, sangat sukar untuk mengatakan ia adalah dari mana-mana satu sumber. Hakikatnya, semua orang menyumbang kepada tujuan itu," kata Cik Rahayu.
"Itulah caranya kami menggerakkannya. Ia bukan setakat pemerintah sahaja."
Menurut Cik Rahayu, PAP akur bahawa tugas membentuk dasar memerlukan usaha kolektif dan maklum balas daripada semua pihak.
"Kami telah berunding dan mendapatkan maklum balas daripada ramai orang dalam masyarakat melalui REACH, malah melalui penyokong PAP kami sendiri," katanya.
REACH ialah unit maklum balas dan pendampingan pemerintah.
Cik Rahayu adalah antara calon PAP bagi GE2025 pada 3 Mei yang bercakap dengan media pada Khamis (17 Apr) selepas melancarkan manifesto PAP.
Slogan manifesto PAP ialah "Dunia Berkisar. Barisan Segar. Azam Berkobar - Demi Masa Depan Yang Lebih Cerah untuk Anda".
Setiausaha Agung PAP Lawrence Wong berkata bahawa pelan hala tuju PAP adalah untuk mengemudi dunia yang sedang melalui perubahan yang sangat besar dan menjadi semakin tidak menentu.
Beberapa jam selepas manifesto PAP dilancarkan pada Khamis (17 Apr), WP juga melancarkan manifestonya, yang menggesa pengecualian GST, gaji minimum dan cukai harta antara langkah-langkah lain.
REKOD PRESTASI
Dr Faisal Abdul Aziz, calon baharu yang ditampilkan oleh PAP bagi GRC Aljunied yang dipegang oleh WP, berkata kerana PAP adalah pemerintah inklusif yang berunding secara meluas semasa menggubal saranan dasar, pasti terdapat sedikit sebanyak idea yang disebut sebelum itu.
Cik Rahayu berkata adalah penting untuk menimbangkan rekod prestasi dan keupayaan parti dalam menterjemah sesuatu idea kepada tindakan dan mengkaji dan meneliti buruk baik sesuatu dasar semasa memutuskan siapa yang akan memimpin dan membawa Singapura ke peringkat seterusnya.
"Itu biasanya tidak mudah, kerana selalunya memberi idea sangat mudah, setakat mengatakannya sahaja memang mudah, tetapi apabila anda sebenarnya perlu melaksanakannya, apabila anda sebenarnya perlu berurusan dengan pihak-pihak berkepentingan dan mengimbangi keperluan masyarakat yang berbeza, itulah yang mencabar," kata Cik Rahayu.
Lantaran itu, calon-calon yang diyakini diperlukan terutama pada masa-masa seperti ini, kata Cik Rahayu, sambil menekankan bahawa ia adalah sesuatu yang akan diminta oleh PAP untuk difikirkan oleh para pengundi.
“Kami mengalu-alukan kedudukan dan pendirian yang dikongsi dengan parti yang berbeza, tetapi kami mempunyai sesuatu untuk ditawarkan kepada pengundi: pasukan yang kuat, komited, mempunyai rekod prestasi yang baik dan bersedia untuk melalui kesukaran untuk menggubal dasar, membuat penyesuaian yang diperlukan dan menyampaikan sesuatu yang bermakna kepada rakyat Singapura,” kata Cik Rahayu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.