Skip to main content

Singapura

GE2025: Mengapakah birokrat, pegawai kanan Perkhidmatan Awam direkrut untuk ceburi politik?

Sebelum beliau dipilih menjadi Anggota Parlimen, Encik Lee Yi Shyan bertugas di sebuah kementerian dan tiga lembaga berkanun, menamatkan kerjayanya dalam Perkhidmatan Awam sebagai ketua eksekutif syarikat yang ketika itu dikenali sebagai International Enterprise atau IE Singapore.

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Mengapakah birokrat, pegawai kanan Perkhidmatan Awam direkrut untuk ceburi politik?

(Dari kiri) Mantan Menteri Kewangan Hon Sui Sen, Perdana Menteri Lawrence Wong dan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat adalah antara ahli politik Singapura yang pernah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam. (Gambar: DBS, Facebook/Lawrence Wong, REUTERS)

SINGAPURA: Sebelum beliau dipilih menjadi Anggota Parlimen, Encik Lee Yi Shyan bertugas di sebuah kementerian dan tiga lembaga berkanun, menamatkan kerjayanya dalam Perkhidmatan Awam sebagai ketua eksekutif syarikat yang ketika itu dikenali sebagai International Enterprise atau IE Singapore.

Bagi mantan menteri negara kanan itu, beralih ke bidang politik adalah tentang mempunyai "platform yang lebih tinggi untuk membuat sumbangan yang lebih besar".

"Singapura adalah sebuah negara yang bukan merdeka secara kebetulan. Untuk terus bertakat, setiap seorang daripada kita harus memberikan yang terbaik dan menyumbang. Ia bukan hanya untuk diri kita sendiri tetapi untuk generasi akan datang," kata Encik Lee kepada Mediacorp.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, laporan mengenai peletakan jawatan enam pegawai kanan Perkhidmatan Awam - seperti yang berlaku dengan Encik Lee pada 2006 - membawa kepada spekulasi bahawa mereka mungkin menjadi calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025).

Antaranya ialah Encik Jeffrey Siow, Setiausaha Tetap Kedua di Kementerian Tenaga Manusia (MOM) serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI); dan Cik Goh Hanyan, seorang pengarah di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

Masih belum jelas sama ada kesemua mantan pegawai awam ini akan bertanding dalam GE2025 - tetapi jika bertanding, jumlahnya lebih kurang selaras dengan pilihan raya sebelum ini.

Semasa GE2020, lima daripada 27 muka baharu - sekitar 19 peratus - yang ditampilkan oleh PAP adalah pegawai awam, tidak termasuk dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Jumlah yang sama adalah empat daripada 24 (17 peratus) pada GE2015; dan tujuh daripada 24 (29 peratus) pada GE2011.

Sejarah parti pemerintah yang memikat bakat politik dari kedua-dua tentera serta Perkhidmatan Awam - yang merangkumi kementerian sahaja dan agensi pemerintah lain seperti lembaga berkanun - sudah dilakukan sejak beberapa dekad yang lalu.

Selepas merdeka, mendiang Hon Sui Sen mungkin merupakan perintis paling menonjol dalam laluan kerjaya ini. Beliau adalah setiausaha tetap di Kementerian Kewangan, kemudian pengerusi pertama Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) sebelum menceburi politik pada 1970 dan seterusnya menjadi menteri kewangan.

Encik Hon yang mendampingi Encik Goh Chok Tong untuk menceburi bidang politik pada 1976. Sebelum akhirnya menjadi perdana menteri kedua Singapura dari 1990 hingga 2004, Encik Goh ialah seorang penerima biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) yang memulakan kerjayanya dalam Perkhidmatan Awam dengan Unit Perancangan Ekonomi ketika itu.

Perdana Menteri Lawrence Wong juga bertugas dalam Perkhidmatan Awam selama 14 tahun sebelum memasuki politik pada 2011.

"Ia sesuai dengan apa yang cuba dibentuk oleh PAP," kata Encik Inderjit Singh, mantan Anggota Parlimen (MP) PAP dari 1997 hingga 2015, yang merupakan seorang usahawan sebelum menceburi politik.

Tetapi beliau juga menarik perhatian kepada isu-isu seperti 'groupthink', apabila pegawai awam yang sudah terbiasa dengan pemerintah menjadi penggubal undang-undang sendiri.

"Selain itu, tidak mempersoalkan - sikap 'jika ia tidak rosak, mengapa perlu membaikinya'," kata Encik Inderjit. "Saya ragu akan ada budaya keputusan yang mencabar apabila terlalu ramai daripada mereka adalah dari latar belakang yang sama."

MUSIM PILIHAN RAYA

Para pegawai awam yang melepaskan jawatan baru-baru ini semuanya dijadualkan untuk meninggalkan pekerjaan mereka dalam masa beberapa hari pertama bulan April, menurut laporan media.

Selain Encik Siow dan Cik Goh, pengunduran timbalan setiausaha Kementerian Kesihatan (MOH) Jasmin Lau, pengarah Kementerian Pengangkutan (MOT) Foo Cexiang dan pengarah Kementerian Kewangan (MOF) Shawn Loh telah dilaporkan oleh The Straits Times.

Akhbar itu pada Rabu (26 Mac) juga melaporkan bahawa Encik Dinesh Vasu Dash, ketua eksekutif Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) yang berada di bawah naungan MOH, juga dijangka akan meletakkan jawatan.

Encik Dinesh telah dilihat di GRC Nee Soon dan Holland-Bukit Timah, manakala Cik Goh pula ditemui pada Sesi Bertemu Rakyat di GRC Holland-Bukit Timah pada 17 Mac.

The Straits Times membuat spekulasi bahawa keenam-enamnya mungkin bertanding dalam pilihan raya akan datang, tanpa memetik sumbernya.

Mediacorp juga telah bertanya kepada para pegawai awam itu tentang tindakan seterusnya mereka. Mediacorp juga telah bertanya kepada PAP jika mereka akan ditampilkan sebagai calon.

Mantan pegawai awam biasanya menjadi ahli parti "segera" selepas mengundurkan diri daripada Perkhidmatan Awam, menurut Encik Inderjit, sambil menyatakan ia sebagai langkah yang perlu untuk bertanding dalam pilihan raya.

Sesetengah daripada mereka mungkin mempunyai hubungan atau kaitan yang lebih lama dengan kepimpinan akar umbi, tetapi yang lain mungkin mula berjinak-jinak selepas meletak jawatan dan menyertai PAP, kata Encik Terence Ho, profesor madya adjung di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP).

Parti-parti pembangkang juga mempunyai calon daripada Perkhidmatan Awam, walaupun jumlahnya jauh lebih rendah.

"REKOD PRESTASI TERBUKTI"

Apabila ditanya bagaimana pengalaman dalam Perkhidmatan Awam boleh diterjemahkan kepada kerjaya politik, Encik Lee Yi Shyan berkata individu-individu ini lazimnya berpengalaman dengan pembentukan dan penggubalan dasar; cekap; profesional; dan "yang paling penting, mereka mestilah mahu menyumbang kepada rakyat".

Para pemerhati bersetuju bahawa mantan pegawai awam akan mempunyai pemahaman yang baik tentang cara pemerintah beroperasi. Mereka juga akan berinteraksi rapat dengan para pemegang jawatan politik dan biasa dengan gaya kerja mereka.

Dengan "rekod prestasi terbukti" mereka bekerja dalam sistem itu, para mantan pegawai awam juga dianggap sebagai "setia" dan orang yang boleh dipercayai oleh parti pemerintah, kata Encik Inderjit.

Mereka yang direkrut oleh parti-parti pembangkang sebaliknya berkemungkinan tidak bersetuju dengan dasar-dasar tertentu atau merasakan bahawa pemerintah tidak menjalankan tugas mereka dengan berkesan, tambah Encik Inderjit.

“Mereka mungkin tidak bersetuju dengan beberapa perkara dan oleh itu memutuskan untuk melakukan sesuatu mengenainya dengan menyertai parti-parti pembangkang,” tambah Encik Inderjit.

Ditanya mengenai kekurangan individu sedemikian, para pemerhati berkata ia hanya mencerminkan cabaran yang lebih besar yang sejak sekian lama dihadapi oleh parti-parti pembangkang - memikat calon-calon berkaliber atau dengan pencapaian yang tinggi, tanpa mengira kerjaya mereka.

"Sebagai contoh, terdapat beberapa peguam berpangkat tinggi atau doktor atau akauntan dalam kalangan pembangkang," kata Dr Elvin Ong, penolong profesor di Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Menyertai pembangkang memerlukan pengorbanan peribadi yang besar, dengan prospek yang sangat rendah untuk menang apabila menentang PAP... Segelintir orang akan sanggup berbuat demikian melainkan mereka mempunyai keyakinan yang sangat kuat."

Saintis politik itu juga menarik perhatian bahawa selain cekap mengendalikan pemerintah, terdapat juga persepsi bahawa para mantan pegawai awam mungkin lebih konservatif dalam penggubalan dasar - dan mempamerkan pemikiran secara berkumpulan (groupthink).

Sesetengah pemerhati bagaimanapun memberi amaran supaya jangan membuat andaian bahawa semua pegawai awam akan bertindak sedemikian.

"Sesetengahnya adalah pemikir bebas dan akan mengusulkan idea baharu sekalipun ia bercanggah dengan arus konvensional," kata Encik Ho dari LKYSPP.

“Lantaran itu, kepimpinan politik memerlukan pengalaman yang rencam untuk mewakili masyarakat Singapura.

"Jadi selain pegawai awam, adalah penting untuk mempunyai pemimpin daripada sektor swasta, pertubuhan masyarakat, pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan, ahli akademik dan bidang-bidang lain."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita