Skip to main content

Singapura

GE2025: Masagos ikrar pendekatan baharu dekati Masyarakat Melayu/Islam lepas menang tipis di Tampines

Pertarungan di GRC Tampines mencatat antara keputusan paling sengit dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pertarungan di GRC Tampines mencatat antara keputusan paling sengit dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Menteri Masagos Zulkifli menang tipis ke atas pasukan Parti Pekerja (WP) yang diketuai Encik Faisal Manap dengan hanya dengan perbezaan 4.65 peratus undi dalam persaingan empat penjuru.
Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Tampines bercakap kepada media pada 4 Mei 2025. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Dalam sidang media awal pagi Sabtu (4 Mei), Encik Masagos yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam meluahkan iltizam untuk memperkenalkan pendekatan baharu dalam mendekati masyarakat Melayu dan memahami keprihatinan mereka.

“Memang banyak, melalui kempen kali ini, banyak sekali keprihatinan yang diutarakan terutama lewat media sosial. Saya fikir setelah kemenangan para AP Melayu PAP yang dipilih, saya akan membuat beberapa pendekatan baru untuk mendekati masyarakat kita dengan lebih lagi, mengenali apakah sebenarnya keprihatinan mereka dengan pendekatan supaya masalah dan isu-isu masyarakat kita itu dapat ditindak lanjut.

"Tapi saya juga meminta kepada semua masyarakat kita, setelah selesainya pilihan raya ini, marilah kita bersatu dan membina masyarakat kita bersama,” kata beliau.

Meskipun PAP mengekalkan penguasaannya di peringkat nasional, pasukan Encik Masagos di Tampines akan meneliti keputusan undi bagi memahami punca prestasi yang merosot.
Encik Masagos Zulkifli bermesra dengan para penduduk di GRC Tampines pada 4 Mei 2025. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
“Saya sangat berterima kasih kepada penduduk Tampines yang telah mengundi kami untuk sekali lagi berkhidmat kepada semua. Di Tampines, kami banyak rancangan untuk membangun Tampines sebagai bandar contoh, tetapi ia adalah atas landasan masyarakat yang prihatin, yang selalu bekerjasama dan juga tidak meninggalkan siapa sahaja.

"Kami mahu semua merasakan bahawa mereka adalah penduduk Tampines yang dapat bersama kami dalam semua aspek kehidupan mereka. Kami sangat berendah hati, berterima kasih kepada semua penduduk Tampines. Terima kasih,” kata Encik Masagos kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Sebagai tanda penghargaan kepada para pengundi, beliau kembali turun padang seawal 9.00 pagi tadi untuk bertemu penduduk di serata kejiranan Tampines - N8, N2, N6 dan Tampines Greencourt, untuk menyampaikan ucapan terima kasih secara peribadi.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita