GE2025: Mantan calon PAP bagi GRC Aljunied Victor Lye, muka baharu Jasmin Lau dilihat di GRC Ang Mo Kio
Mantan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk GRC Aljunied, Victor Lye dan muka baharu parti itu Jasmin Lau dilihat dalam lawatan bertemu rakyat di Hougang Village pada pagi Ahad (13 Apr).
- Mantan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk GRC Aljunied, Victor Lye dan muka baharu parti itu Jasmin Lau dilihat dalam lawatan bertemu rakyat di Hougang Village pada pagi Ahad (13 Apr).
- Mereka mengiringi Menteri Kanan Lee Hsien Loong - pemimpin pasukan PAP bagi GRC Ang Mo Kio - dan Anggota Parlimen (AP) Darryl David dan Nadia Ahmad Samdin, mencetuskan spekulasi bahawa mereka mungkin ditampilkan sebagai calon PAP untuk kawasan undi dengan lima anggota itu pada Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025).
- Encik Lee bagaimanapun memberitahu para wartawan bahawa pasukan PAP bagi GRC Ang Mo Kio akan diumumkan secara rasmi apabila tiba masanya kelak.
- GRC Ang Mo Kio akan kekal sebagai kawasan undi terbesar dengan 161,235 pengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang, walaupun SMC Jalan Kayu yang baru dibentuk telah digugurkan daripada GRC tersebut.
Mereka mengiringi Menteri Kanan Lee Hsien Loong - pemimpin pasukan PAP bagi GRC Ang Mo Kio - dan Anggota Parlimen (AP) Darryl David dan Nadia Ahmad Samdin, mencetuskan spekulasi bahawa mereka mungkin ditampilkan sebagai calon PAP untuk kawasan undi dengan lima anggota itu pada Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025).
Encik Lee bagaimanapun memberitahu para wartawan bahawa pasukan PAP bagi GRC Ang Mo Kio akan diumumkan secara rasmi apabila tiba masanya kelak.
"Kami mengalu-alukan mereka. Di mana sebenarnya mereka akan ditempatkan, kami akan mengumumkan barisan calon GRC Ang Mo Kio dalam masa terdekat, dan anda akan tahu tidak lama lagi," katanya.
“Kami berbesar hati dengan kehadiran mereka di sini, dan jika mereka kekal bersama kami, saya akan mengalu-alukan mereka dalam pasukan saya.”
Encik Lye dahulunya pengerusi cawangan Divisyen Bedok Reservoir–Punggol di GRC Aljunied tetapi meletak jawatan awal tahun ini. Sama ada beliau akan ditempatkan di Ang Mo Kio, kata SM Lee, bukanlah perkara yang paling penting.
"Yang penting ialah melihat di mana tekad kita, untuk melakukan yang terbaik untuk Singapura, terutamanya apabila anda tahu dunia semakin mencabar, terutamanya apabila anda tahu bahawa di dalam negara, akan ada kepelbagaian politik yang lebih besar," katanya.
“Ia sesuatu yang perlu kami tangani, tetapi matlamat utama kami adalah untuk memastikan rakyat Singapura bersatu padu.”
Sementara itu, lawatan bertemu rakyat di GRC Ang Mo Kio adalah yang pertama bagi Cik Lau. Mantan timbalan setiausaha Kementerian Kesihatan (MOH) itu, yang hari terakhirnya dalam Perkhidmatan Awam ialah pada 1 April, berkata beliau telah ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya.
"Saya berada di sini buat masa ini," kata Cik Lau 42 tahun, sambil menambah bahawa beliau berbesar hati dapat belajar daripada para AP yang berpengalaman di kawasan undi tersebut.
"Ia adalah sesuatu yang sangat, sangat mesra dan muhibah sebenarnya, dapat bertemu semua penduduk di Ang Mo Kio, walaupun saya melakukannya secara senyap-senyap. Terdapat sikap murah hati, tenaga dan sumber, dan ramai orang yang benar-benar ingin menyumbang. Lantaran itu, saya mengharapkan lebih banyak lagi daripada itu," tambahnya.
Yang tidak hadir semasa lawatan itu ialah Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Gan Thiam Poh dan Ng Ling Ling.
Menjawab soalan mengenai ketidakhadiran mereka, Encik Lee berkata: "Saya tidak mengatakan bahawa kami mempunyai seluruh pasukan (Ang Mo Kio) di sini. Saya berkata saya mempunyai beberapa rakan sekerja saya di sini dengan ... dua aktivis baharu."
Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio sekarang termasuk Encik Lee (Teck Ghee), Encik Darryl David (Ang Mo Kio-Hougang), Cik Nadia Samdin (Cheng San-Seletar), Cik Ng Ling Ling (Jalan Kayu) dan Encik Gan Thiam Poh (Fernvale).
GRC Ang Mo Kio akan kekal sebagai kawasan undi terbesar dengan 161,235 pengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang, walaupun SMC Jalan Kayu yang baru dibentuk telah digugurkan daripada GRC tersebut.
SMC Jalan Kayu – dengan 29,565 pengundi – akan terdiri daripada beberapa kawasan di Jalan Kayu semasa di bawah Cik Ng dan Fernvale di bawah Encik Gan.
GRC Ang Mo Kio akan dikekalkan sebagai kawasan undi dengan lima anggota.
Pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), PAP memperoleh 71.91 peratus undi dalam GRC Ang Mo Kio semasa menentang Parti Reform (RP).
Parti Bersatu Singapura (SUP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) berkata mereka berhasrat untuk bertanding di kawasan undi tersebut pada tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.