GE2025: Manifesto PAP mencarta hala tuju bagi harungi dunia kian berubah, kata PM Wong
Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), Lawrence Wong, berkata manifesto pilihan raya yang dilancarkan parti itu pada Khamis (17 Apr) mencarta hala tuju untuk menghadapi dunia yang sudah berubah.

Perdana Menteri Lawrence Wong semasa pelancaran manifesto Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 17 April 2025. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Bercakap kepada para anggota dan aktivis parti tersebut, beliau turut memperkenalkan slogan manifesto itu: Dunia berkisar, barisan segar, azam berkobar - demi masa depan yang lebih cerah untuk anda.
Encik Wong, yang juga merupakan Perdana Menteri, menggambarkan dalam ucapannya bahawa dunia kini sedang mengalami perubahan besar dan menjadi semakin tidak menentu.
Justeru itu, katanya, beliau menyeru agar Pilihan Raya Umum diadakan pada “saat yang genting ini” agar rakyat Singapura dapat membuat keputusan mengenai siapa yang akan memimpin negara dan menentukan hala tuju masa depan bersama.
PAP juga akan menampilkan pasukan baharu untuk menangani cabaran yang mendatang, dan bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura dengan azam yang diperbaharui, katanya lagi.
Pelancaran manifesto PAP itu dilakukan sekitar seminggu sebelum Hari Penamaan Calon pada 23 April, yang menandakan permulaan rasmi bagi tempoh berkempen.
Selepas sembilan hari berkempen dan Hari Bertenang pada 2 Mei, rakyat Singapura akan keluar mengundi pada 3 Mei.
KE ARAH MASA DEPAN LEBIH CERAH
Dalam kenyataannya, PAP menyatakan bahawa manifesto baharu itu dibina atas janji-janji yang ditunaikan selama ini dan “dihubungkan dengan realiti kehidupan rakyat Singapura” yang dikongsi semasa pelaksanaan Melakar Hala Tuju Singapura.
Inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura dilancarkan Encik Wong pada Jun 2022, dua bulan selepas beliau dipilih sebagai ketua pasukan kepimpinan politik generasi keempat (4G), dan disusuli dengan penerbitan sebuah laporan pada Oktober 2023.
Pada Khamis, Encik Wong menekankan bahawa pemerintah PAP telah pun mengambil beberapa “langkah besar” untuk memajukan agenda yang digariskan dalam pelaksanaan Melakar Hala Tuju Singapura.
Ini termasuk menambah baik aturan cuti dan sokongan bagi ibu bapa, reformasi dalam sistem pendidikan, serta pelancaran bagi lebih banyak unit perumahan dan satu rangka kerja baharu perumahan awam bagi memastikan ia kekal mampu dimiliki.
Namun begitu, beliau berkata masih banyak lagi yang boleh dilakukan.
Manifesto yang dilancarkan pada Khamis itu mengandungi 19 perkara utama yang merangkumi pelbagai bidang.
Bagi golongan pekerja, manifesto itu menjanjikan pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih tinggi dan peluang yang lebih banyak, perlindungan yang lebih kukuh bagi amalan pekerjaan adil, serta gaji yang lebih tinggi bagi pekerja berpendapatan rendah.
Antara perkara lain yang digariskan termasuk sokongan tambahan bagi penjaga, individu kurang upaya, dan keluarga besar, serta perumahan awam yang lebih mampu dimiliki untuk semua, termasuk golongan bujang.
Bab lain dalam manifesto itu turut menyentuh usaha memperluas penyertaan warga Singapura dalam pembentukan dasar, penambahbaikan perkhidmatan kereta api dan bas, serta akses lebih meluas bagi sukan, seni dan budaya.
“Manifesto ini adalah janji kami kepada semua rakyat Singapura,” kata Encik Wong pada Khamis.
“Ia mencerminkan harapan, kebimbangan dan aspirasi anda. Dan ia mencerminkan komitmen kami: untuk memastikan Singapura kekal kukuh, stabil dan bersatu.”
Juga pada Khamis, Encik Wong memperkenalkan 32 calon baharu yang akan diketengahkan PAP dalam Pilihan Raya Umum kali ini, serta mengucapkan terima kasih kepada Anggota Parlimen yang akan berundur, tanpa mendedahkan identiti mereka.
MANIFESTO SEBELUMNYA
Dalam Pilihan Raya Umum 2020, PAP berkempen dengan manifesto yang berjudul Kehidupan Kita, Pekerjaan Kita, Masa Depan Kita.
Dalam suasana pandemik COVID-19, Menteri Kanan Lee Hsien Loong, yang merupakan Perdana Menteri dan Setiausaha Agung parti pada masa itu, berkata bahawa tumpuan utama manifesto tersebut adalah bagaimana Singapura dapat bekerjasama dalam mengatasi krisis generasi tersebut.
Ia berbeza daripada manifesto sebelumnya, yang kebanyakannya menggariskan idea jangka panjang yang “berwawasan namun boleh dicapai”.
Dokumen tersebut merangkumi 10 bab, yang merangkumi topik seperti Kekal Selamat dan Sihat Bersama, Mewujudkan Pekerjaan dan Memperoleh Kemahiran Bersama, serta Mencipta Masa Depan Baharu Bersama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.