GE2025: Lebih 100 projek baharu dirancang bagi kawasan Jalan Besar

(Dari kiri ke kanan) Denise Phua, Wan Rizal, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo, Shawn Loh, dan Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How bercakap kepada media di Jalan Besar pada 6 April 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Di acara yang sama, seorang bekas penjawat awam kanan turut diperkenalkan sebagai sukarelawan di kawasan itu.
Encik Shawn Loh, 38 tahun dilihat menyertai dua acara di Jalan Besar pada 6 April, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa beliau mungkin bertanding dalam Pilihan Raya Umum seterusnya.
Pengarah Belanjawan bagi 2024 dan 2025 itu baru-baru ini meletak jawatan daripada peranannya di perkhidmatan awam. Beliau sebelum ini menyandang jawatan sebagai pengarah program keselamatan dan daya ketahanan di Kementerian Kewangan.
Encik Loh berinteraksi dengan para penduduk di sebuah pasar sambil mengagihkan barangan keperluan secara percuma kepada keluarga berpendapatan rendah.
Beliau kemudian dilihat di majlis pelancaran pelan induk lima tahun Majlis Bandaran Jalan Besar untuk mempertingkatkan kemudahan di kawasan itu.
Beliau hadir di samping barisan AP GRC Jalan Besar iaitu Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo, Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How, Cik Denise Phua dan Dr Wan Rizal.

"Pekerjaan kita memberikan rasa hala tuju, makna dan keyakinan untuk menyediakan keperluan keluarga kita," kata Encik Loh.
"Kami akan pastikan bahawa kami menghubungkan pekerjaan yang dicipta dalam ekonomi ini kepada pekerjaan yang dicari oleh semua orang di sini."
Seorang lagi muka baharu yang dilihat adalah Encik David Hoe, pengarah kedermawanan di The Majurity Trust, iaitu sebuah pertubuhan dermawan yang menyokong inisiatif akar umbi dan projek impak sosial di Singapura.
Encik Hoe juga seorang kaunselor daerah bagi Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Tengah Singapura.
Encik Hoe, 36 tahun, bantu merintis Horizons @ Jalan Besar, sebuah program yang memupuk pemimpin muda untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Di bawah inisiatif itu, 19 pemimpin muda dihantar ke Vietnam untuk menjalani pengalaman pembelajaran pada Disember 2024.
Di acara yang kedua, Menteri Josephine Teo mengumumkan pelan induk lima tahun bagi Jalan Besar (2026 hingga 2030), di mana ia mendedahkan rancangan bagi lebih 100 kemudahan dan projek.
Pelan itu dilakarkan berdasarkan tiga tunggak: Mewujudkan sebuah bandar yang bersemangat dan mampan, memupuk sebuah masyarakat penyayang dan mengukuhkan hubungan dalam masyarakat.
Untuk mewujudkan ruang bersama bagi generasi yang berbeza, majlis bandaran akan mempertingkatkan taman-taman kejiranan, taman permainan untuk kanak-kanak dan sudut senaman bagi golongan dewasa dan warga emas.
Ia juga merancang untuk memperkenalkan lebih banyak ciri-ciri mencari jalan - seperti motif atau zon yang diwarnakan - untuk membantu para penduduk demensia melakukan perjalanan dengan lebih mudah.
Bagi melakarkan pelan induk itu, Majlis Bandaran Jalan Besar mendampingi lebih 3,000 penduduk menerusi tinjauan online dan temu bual bersama orang awam untuk mengumpul maklum balas mengenai persekitaran kehidupan mereka.

Cik Teo menambah untuk menyatukan maklum balas mereka ibarat menyelesaikan satu teka-teki gergasi, tetapi segala usaha berbaloi "dengan setiap tenaga yang dicurahkan".
"(Bersama), kita dapat terus menjadikan Jalan Besar rumah anda yang terbaik," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.