GE2025: Kos sara hidup antara isu dibahaskan dalam forum pilihan raya
Para calon dari lima parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum kali ini membahaskan isu-isu utama daripada imigrasi dan pekerjaan hingga kos sara hidup dalam forum siaran langsung yang disiarkan di televisyen pada Ahad (27 Apr).
Para calon dari lima parti politik yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum membahaskan isu-isu utama daripada imigrasi dan pekerjaan hingga kos sara hidup dalam forum siaran langsung yang disiarkan di televisyen pada 27 April 2025. (Gambar: CNA/Liew Zhi Xin)
Undangan ke forum itu lazimnya diberikan kepada empat parti politik dengan jumlah calon paling banyak.
Namun, lima parti diundang tahun ini setelah dua parti terikat di tempat keempat.
Calon-calon dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), Parti Pekerja (WP), Titik Merah Bersatu (RDU) Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR) dan Parti Kemajuan Singapura (PSP) mengambil bahagian dalam forum selama 90 minit, yang bertajuk 'Singapore Votes 2025: The Roundtable'.
Disiarkan secara langsung dari Mediacorp dan dikendalikan oleh penyampai berita CNA Otelli Edwards selaku moderator, para peserta forum itu adalah:
- Calon PAP Chee Hong Tat, yang juga menteri pengangkutan
- Calon WP Michael Thng
- Setiausaha Agung RDU Ravi Philemon
- Setiausaha Agung PAR Lim Tean
- Calon PSP Stephanie Tan
Tiga ahli akademik juga menyertai forum itu sebagai pengamat: Profesor Joseph Liow, seorang penasihat kanan penyelidikan dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Profesor Jessica Pan dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Profesor Madya Terence Ho dari Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).
Forum itu terdiri daripada tiga pusingan perbincangan dengan tumpuan kepada geopolitik dan ekonomi, imigrasi dan pekerjaan serta kos sara hidup.
Menyusuli setiap perbincangan, setiap parti akan menyampaikan rumusan masing-masing.
Masa berucap dibahagikan sama rata antara parti mentadbir dan parti-parti pembangkang.
Empat parti politik berkongsi separuh daripada waktu yang ditetapkan, manakala lagi separuh diberikan kepada PAP.
GEOPOLITIK DAN EKONOMI
Dalam segmen pertama, para calon ditanya bagaimana prospek global yang tidak menentu dan kemerosotan dalam perdagangan bebas mungkin akan menjejas Singapura dan bagaimana mereka akan membantu rakyat Singapura dalam mengatasi cabaran-cabaran itu.
Encik Lim yang bertanding di SMC Potong Pasir berkata terdapat amaran awal mengenai kemerosotan perdagangan bebas namun ia tidak diendahkan oleh parti mentadbir.
Beliau berkata Singapura "tidak harus mengikut rentak" rakyat Amerika, tetapi sebaliknya harus bekerja dengan rakan-rakan kongsi serantau.
Encik Chee yang juga bertanding di GRC Bishan-Toa Payoh, berkata rakyat Singapura tidak perlu takut kerana pemerintah PAP telah membina asas kukuh bagi menangani persekitaran global yang kian berubah.
Beliau juga menarik perhatian kepada reputasi antarabangsa Singapura yang kukuh, yang dibina sejak kemerdekaan dan menekankan bahawa kekal terhubung dengan seluruh dunia tetap adalah cara terbaik untuk mengembangkan ekonomi.
IMIGRASI DAN PEKERJAAN
Dengan transformasi ekonomi Singapura, timbul keprihatinan mengenai pekerja setempat yang ketinggalan - walaupun Singapura masih bergantung kepada pekerja asing.
Dalam segmen kedua, para calon ditanya bagaimana mereka akan mengimbangi kedua-dua cabaran itu.
Calon RDU Ravi Philemon berkata Singapura tidak mempunyai pilihan melainkan kekal sebagai sebuah masyarakat terbuka, namun menekankan bahawa keistimewaan kewarganegaraan "mesti ditonjolkan dengan lebih baik".
Beliau menyoal mengapa pasangan asing warga Singapura hanya diberikan pas lawatan jangka panjang (LTVP) dan bukannya kerakyatan atau sebagai penduduk tetap, sekali gus menekankan ini menunjukkan kepentingan menonjolkan keistimewaan kerakyatan.
Namun, moderator Cik Edwards kemudian menjelaskan pas lawatan jangka panjang bukan prasyarat untuk mendapatkan kerakyatan atau menjadi penduduk tetap.
Sementara itu, Encik Chee berkata rakyat Singapura tetap tumpuan kesemua dasar ekonomi dan tenaga kerja yang dilaksanakan oleh pemerintah PAP.
Walaupun persaingan tidak dapat dielakkan dalam ekonomi terbuka, Singapura tetap mengalu-alukan bakat asing, katanya.
Daripada menutup pintunya kepada bakat asing, PAP akan terus memberi tumpuan bagi membantu perniagaan dan pekerja di sini kekal berdaya saing dan boleh bekerja.
KOS SARA HIDUP
Keprihatinan juga meningkat bahawa kenaikan GST telah menyumbang kepada inflasi.
Pada masa yang sama, cukai adalah sumber utama hasil pemerintah untuk membiayai khidmat dan prasarana dalam jagaan kesihatan, perumahan dan pengangkutan.
Dalam segmen ketiga, para calon ditanya mengenai cadangan mereka untuk membiayai keperluan rakyat Singapura yang semakin berkembang.
Calon Parti Pekerja Michael Thng mengkritik keputusan Pemerintah pada 2022 untuk menaikkan GST di tengah-tengah inflasi melonjak ke paras rekod sebanyak 6 peratus, iaitu "alat salah digunakan pada waktu yang salah".
Encik Thng berkata kenaikan GST itu "menambah beban" keluarga-keluarga biasa di Singapura, di mana kebanyakan masih belum pulih sepenuhnya daripad akesan itu.
Sebaliknya, Encik Thng mencadangkan kaedah-kaedah lain untuk memperoleh pendapatan yang diperlukan seperti meminda formula NIRC daripada 50 peratus kepada 60 peratus bagi membolehkan pemampan fiskal tambahan.
Beliau juga mencadangkan untuk memperkenalkan kadar cukai korporat minimum.
Sementara itu, Encik Chee berkata disebabkan Singapura mengimport sebahagian besar daripada apa yang digunakannya, ia secara tidak langsung mengimport inflasi global.
Walaupun inflasi global tidak dapat dielakkan, Encik Chee berkata PAP akan terus menghulurkan sokongan kepada rakyat Singapura melalui langkah-langkah seperti memastikan mata wang dolar Singapura yang kukuh dan skim-skim bantuan kewangan seperti Pakej Jaminan, baucar CDC dan Pakej SG60.
Dalam jangka masa sederhana hingga panjang, PAP percaya cara terbaik untuk menangani kenaikan harga adalah dengan memastikan pertumbuhan ekonomi, kata Encik Chee.
Ini membolehkan perniagaan-perniagaan berjalan dengan baik dan para penduduk memperoleh gaji tinggi yang melebihi kadar inflasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.