Skip to main content

Singapura

GE2025: Ketua SDP Chee Soon Juan persoal mutu menteri PAP; bangkit kontroversi, skandal

Walaupun generasi pertama Menteri daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) "berkebolehan dan cekap", mutu para menteri hari ini "sangat tidak memuaskan," kata ketua Parti Demokratik Singapura (SDP) Dr Chee Soon Juan pada Selasa (29 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 29 Apr 2025 04:15PM Dikemas Kini : 01 May 2025 01:05AM
SINGAPURA: Walaupun generasi pertama Menteri daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) "berkebolehan dan cekap", mutu para menteri hari ini "sangat tidak memuaskan," kata ketua Parti Demokratik Singapura (SDP) Dr Chee Soon Juan pada Selasa (29 Apr).

Semasa ucapan rapat tengah hari SDP di UOB Plaza, Dr Chee berkata walaupun beliau "tidak berminat untuk memburuk-burukkan PAP," beliau terpaksa menyenaraikan "skandal dan kesilapan PAP, hanya kerana para menteri PAP kita meneruskan propaganda bahawa mereka luar biasa dan mereka tidak memerlukan pembangkang untuk mereka dipertanggungjawabkan."

Dr Chee, yang bertanding di SMC Bukit Panjang, kemudian menggunakan sebahagian besar ucapannya untuk menyentuh semula kontroversi lama berkait PAP.

Ini termasuk cara mantan Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengendalikan hubungan sulit Speaker ketika itu Tan Chuan-Jin dengan seorang ahli parlimen PAP, dua menteri yang menyewa banglo negara di Ridout Road, penggunaan data aplikasi TraceTogether oleh pemerintah, dan bagaimana ia mengendalikan pendedahan nombor NRIC penuh individu di portal perniagaan pemerintah.

"Mesej saya bukanlah bahawa PAP, pemerintah ini, 100 peratus buruk, atau bahawa ia 100 peratus baik. Apa yang saya ingin sampaikan kepada anda, adalah bahawa PAP sudah pasti bukan parti luar biasa seperti yang dikatakan," kata Dr Chee.

Beliau menambah bahawa para menteri perlu bersikap "rendah diri" dan mengakui bahawa negara memerlukan pembangkang, seperti SDP, di parlimen untuk menjadikan negara lebih kuat.

"Yang paling penting, akui dan terima hakikat bahawa PAP memerlukan pembangkang yang bermakna di Parlimen untuk memerintah Singapura dengan lebih baik."

Mengenai gaji menteri, iaitu topik yang banyak dibincangkan oleh parti pembangkang, Dr Chee berkata menteri di negara ini dibayar "gaji yang sangat tinggi".

Beliau berkata bahawa alasannya adalah jika menteri tidak dibayar "apa yang mereka tuntut, maka mereka mungkin tergoda untuk menerima rasuah". .

"Kita mesti mendidik para menteri kita bahawa rasuah itu buruk dan jika mereka tertangkap, ada akibatnya, titik. Kita tidak membayar mereka gaji yang tinggi untuk tidak mkan rasuah. Kita memilih pemimpin kita berdasarkan keluhuran moral mereka. Jika ada yang kurang, maka kita lebih baik tanpa mereka," katanya.

Beliau menggesa orang ramai yang berkumpul pada tengah hari Selasa untuk mengelak daripada memberi "sokongan membuta tuli" kepada PAP.

"Kepercayaan membuta tuli membolehkan masyarakat berfikir bahawa keadaan baik-baik saja apabila jelas ia sebaliknya, dan lebih buruk lagi, bahawa tiada alternatif kepada PAP," kata Dr Chee.

Terdapat lapan orang yang berucap di UOB Plaza pada Selasa, menandakan rapat tengah hari pertama bagi pembangkang dalam pilihan raya ini. Ia adalah rapat keenam SDP dalam enam hari.

SDP mempertandingkan 11 calon di empat kawasan undi Pilihan Raya Umum ini - SMC Bukit Panjang, GRC Marsiling-Yew Tee, GRC Sembawang dan SMC Sembawang West.

TOLAK POLITIK "MENAKUT-NAKUTKAN"

Calon SDP yang berucap di rapat itu juga menyeru pengundi supaya menolak politik "menakut-nakutkan" oleh PAP apabila mereka keluar mengundi.

"Mereka memberitahu anda bahawa jika anda mengundi untuk pembangkang, Singapura akan runtuh. Bahawa jika anda membawa sesiapa selain PAP ke Parlimen, kisah kejayaan Singapura akan hancur," kata calon SDP Dr James Gomez.

"Apabila PAP berkelakuan begini, jangan biarkan ketakutan mempengaruhi keputusan anda. Biarkan harapan, keperluan dan masa depan anda menjadi keberanian yang menjadi panduan bagi undi anda."

Beliau mengkritik komen Menteri Kanan Lee Hsien Loong pada Ahad bahawa kehilangan Menteri utama boleh meletakkan Singapura dalam "banyak masalah".

"Logik seperti itu tidak masuk akal, tetapi saya boleh faham ia datang daripada rasa terdesak PAP. Manakan tidak, kehilangan menteri memang akan menjadi masalah bagi PAP tetapi bukan kepada kita rakyat Singapura," kata Dr Gomez.

Beliau juga menyifatkannya komen-komen Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin, bahawa mempunyai lebih banyak kerusi pembangkang akan "melemahkan pasukan PAP" dan menjadikannya lebih sukar untuk mereka berkhidmat kepada rakyat Singapura dengan berkesan, sebagai "tidak masuk akal".

"Pemerintah yang berkesan menuntut kebertanggungjawaban, ketelusan dan perbahasan. Ia memerlukan suara-suara yang berbeza di parlimen, termasuk Anggota Parlimen SDP, untuk mencabar dasar kurang baik, dasar yang menjejas rakyat Singapura," kata Dr Gomez.

"Jika Lawrence Wong mengatakan bahawa pasukannya hanya boleh berfungsi apabila diberi kuasa tanpa sekatan, maka masalahnya bukan dengan kita rakyat Singapura, tetapi dengan PAP - PAP yang takut dengan pengawasan.

"Apabila anda mengundi untuk pembangkang yang kuat, anda tidak menjejas Singapura. Anda hanya mengancam keinginan PAP untuk memperoleh kawalan penuh. Ia adalah rancangan mereka yang akan terganggu, bukan kemakmuran rakyat Singapura."

Pengerusi SDP Dr Paul Tambyah merujuk kepada temu bual Straits Times dengan seorang pengundi muda di rapat SDP, yang bapanya bekerja di syarikat berkait pemerintah mengingatkannya supaya tidak mendedahkan namanya kepada akhbar tersebut.

Dr Tambyah berkata ia sesuatu yang "memprihatinkan" bahawa orang muda masih merasakan ketakutan ini.

Beliau menyeru Menteri yang bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing supaya "membuat kenyataan yang kuat meyakinkan rakyat Singapura bahawa mereka boleh mengundi dengan bebas tanpa rasa takut terhadap tindakan balas, tidak kira sama ada mereka bekerja dalam perkhidmatan awam, tentera, polis atau mana-mana pertubuhan pemerintah lain".

"Tidak kira sama ada mereka bekerja dalam perkhidmatan awam, tentera, polis atau mana-mana pertubuhan pemerintah lain, kesetiaan mereka adalah kepada pemerintah dan rakyat Singapura, tanpa mengira siapa yang berkuasa," kata Dr Tambyah.

Beliau juga menjawab sindiran Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada malam sebelumnya bahawa cadangan SDP tidak "menyumbang apa-apa" kepada Singapura yang makmur.

"Cadangan SDP itu ibarat bola salji di Greenland, bermula kecil tetapi lama-kelamaan akan membesar dan membawa perubahan sebenar di Singapura," kata Dr Tambyah.

Dr Chee menggesa pengundi untuk "berani, berani, berada di pihak yang betul dalam sejarah".

"Marilah kita memimpin bukan dengan rasa takut, tetapi dengan kepercayaan kepada rakyat kita. Marilah kita memimpin bukan dengan berpegang kepada masa lalu, tetapi dengan fokus dengan berani pada masa depan," katanya.
Sumber : CNA/KH/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita