Skip to main content

Singapura

GE2025: Ketua SDP Chee Soon Juan mahu bertanding di SMC Sembawang West

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Ketua SDP Chee Soon Juan mahu bertanding di SMC Sembawang West

(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 23 Mar 2025 12:11PM Dikemas Kini : 23 Mar 2025 02:24PM
SINGAPURA: Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan mahu bertanding di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Sembawang West yang baharu dalam Pilihan Raya Umum (GE) akan datang.

Encik Chee mengumumkan demikian semasa melakukan lawatan ke Woodlands pada Ahad (23 Mac).

Bercakap semasa lawatannya di Woodlands, Dr Chee berkata beliau perlu meninggalkan SMC Bukit Batok, iaitu kawasan undi yang beliau pernah bertanding dalam Pilihan Raya Kecil 2016 dan Pilihan Raya Umum 2020.

Beliau menambah pengerusi SDP, Profesor Paul Tambyah pula mahu bertanding sekali lagi di SMC Bukit Panjang, di mana beliau pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2020.

Pengumuman SDP itu dibuat selepas laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) diterbitkan pada 11 Mac, yang menyaksikan perubahan besar terhadap peta kawasan undi Singapura.

Sembawang West merupakan antara enam SMC baharu yang diwujudkan dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Ia akan mempunyai seramai 24,153 pengundi.

SMC Yuhua dan SMC Bukit Batok - yang SDP pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2020 - telah diserapkan ke dalam GRC Jurong East-Bukit Batok.

Pada 2020, SDP juga bertanding di SMC Bukit Panjang serta dua lagi GRC, Holland-Bukit Timah dan Marsiling-Yew Tee, namun gagal memenangi sebarang kerusi di parlimen.

Pada 2022, SDP menyatakan ia berhasrat untuk bertanding di GRC Sembawang dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Ia pernah bertanding di kawasan undi tersebut dalam Pilihan Raya Umum pada 2006 dan 2011.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita