Skip to main content

Singapura

GE2025: Ketua parti RDU persoal sama ada 'wajar secara etika' bagi NMP sertai parti politik

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Ketua parti RDU persoal sama ada 'wajar secara etika' bagi NMP sertai parti politik

Syed Harun Alhabsyi dari PAP dan Ravi Philemon dari RDU berjabat tangan semasa kunjungan ke Pusat Penjaja Yishun Park pada 3 April 2025. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)

Diterbitkan : 04 Apr 2025 09:25AM
  • Ketua Parti Titik Merah Bersatu (RDU), Ravi Philemon, pada Khamis (3 Apr) mempersoalkan sama ada ia "wajar secara etika" bagi seorang Anggota Parlimen Dilantik (NMP) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum sebagai anggota parti politik.
  • Perlembagaan Singapura dengan jelas membenarkan seorang NMP untuk menyertai parti politik selepas mereka meletakkan jawatan, kata Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam pada 31 Mac.
  • Encik Philemon kemudian membandingkan isu NMP dengan kesahihan menteri-menteri yang menyewa rumah kolonial hitam putih di Ridout Road.
  • Jika dipilih ke parlimen, RDU akan menggesa pemerintah untuk mengembalikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada 7 peratus, kata Encik Philemon, apabila ditanya mengenai rancangan parti untuk menangani kebimbangan kos sara hidup.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Ketua Parti Titik Merah Bersatu (RDU), Ravi Philemon, pada Khamis (3 Apr) mempersoalkan sama ada ia "wajar secara etika" bagi seorang Anggota Parlimen Dilantik (NMP) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum sebagai anggota parti politik.

Bercakap kepada wartawan semasa lawatan ke Pusat Penjaja Yishun Park pada Khamis petang, Encik Philemon berkata, penduduk bimbang tentang kemungkinan seorang NMP "dimasukkan" ke dalam Kawasan Pilihan Raya Parlimen (GRC) Nee Soon.

Perlembagaan Singapura dengan jelas membenarkan seorang NMP untuk menyertai parti politik selepas mereka meletakkan jawatan, kata Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam pada 31 Mac.

Dr Syed Harun Taha Alhabsyi, serta Encik Raj Joshua Thomas, meletakkan jawatan mereka sebagai NMP pada 14 Februari, mencetuskan spekulasi bahawa mereka mungkin bertanding dalam Pilihan Raya Umum tahun ini.

Encik Thomas telah mengesahkan bahawa beliau menyertai Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebagai anggota, manakala Dr Syed Harun dilihat bersama Encik Shanmugam, yang mengetuai pasukan PAP di GRC Nee Soon, dan anggota-anggota lain dalam pasukan PAP pada acara masyarakat baru-baru ini.

Merujuk kepada apa yang dikatakan oleh Encik Shanmugam mengenai perkara ini, Encik Philemon berkata tiada yang "salah dari segi undang-undang" jika seorang NMP menyertai parti politik dan bahawa ia adalah "wajar dari segi perlembagaan."

"Tetapi ada perbezaan antara apa yang wajar dari segi undang-undang, apa yang wajar dari segi perlembagaan, apa yang wajar dari segi etika, apa yang berprinsip dan apa yang adil," tambah beliau.

Dr Syed Harun, yang juga melakukan kunjungan di Pusat Penjaja Yishun Ring bersama anggota-anggota dan sukarelawan PAP pada petang Khamis, berjabat tangan dengan Encik Philemon apabila mereka berselisih.

Semasa diminta untuk menjawab kebimbangan tentang status NMP beliau sebelm ini, Dr Syed Harun berkata bahawa pencalonannya dalam Pilihan Raya Umum akan datang "masih belum tetap" dan akan bergantung kepada perdana menteri.

Apabila diasak, beliau berkata beliau tiada komen lanjut mengenai perkara itu. "Kami akan mengatasi perkara itu pada suatu masa nanti," tambah beliau.

Jika seorang NMP dicalonkan di GRC Nee Soon, mereka, serta ketua pasukan GRC itu, perlu menjawab soalan tentang bila mereka berhenti untuk "tidak berpihak kepada mana-mana parti," kata Encik Philemon.

"Adakah beliau diminta untuk mengemukakan beberapa soalan yang tidak menyenangkan di parlimen oleh para menteri atau oleh mereka yang ada kaitan dengan pemerintah sekarang ini?

"Adakah beliau memenuhi permintaan ini?" tambahnya.

RIDOUT ROAD

Encik Philemon kemudian membandingkan isu NMP dengan kesahihan menteri-menteri yang menyewa rumah kolonial hitam putih di Ridout Road.

"Tidak ada apa-apa yang salah" dengan perkara ini, katanya. "Tetapi adakah ia adil? Bukan soal sama ada orang cemburu kerana menteri itu dapat berpindah ke rumah Ridout."

"Tetapi soalan yang perlu ditanya adalah, walaupun menteri itu boleh tinggal di sebuah banglo yang sebesar empat atau lima padang bola sepak, mengapa rumah HDB kita semakin kecil?" Itu adalah kebimbangan sebenarnya kepada kami."

Encik Shanmugam menyewa 26 Ridout Road manakala Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan menyewa 31 Ridout Road.

Semasa perbahasan parlimen mengenai perkara ini pada Julai 2023, Perdana Menteri Lee Hsien Loong ketika itu berkata bahawa kedua-dua menteri tidak melakukan apa-apa yang salah dalam penyewaan dua hartanah negara itu untuk kegunaan peribadi.

Siasatan, termasuk oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), mendapati tiada bukti penyelewengan jenayah atau layanan istimewa diberikan kepada kedua-dua menteri.

Laporan siasatan oleh Menteri Kanan Teo Chee Hean juga mendapati bahawa kedua-dua menteri bertindak dengan betul dalam urus niaga sewaan tersebut dan mengambil langkah yang sesuai untuk mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

Pada masa itu, Encik Shanmugam berkata beliau menyewa hartanah di Ridout Road selepas memutuskan untuk menjual rumah keluarganya, dan telah menyewakan rumah itu sementara menunggu penjualan.

Beliau berkata beliau "tidak membuat sebarang keuntungan daripada perbezaan" dalam sewa dengan menyewa rumah keluarganya dan tinggal di 26 Ridout Road.

Dr Balakrishnan pula menjelaskan bahawa beliau ingin mengumpulkan seluruh keluarga besarnya di bawah satu bumbung sementara cucu-cucunya masih kecil. Beliau mula menyewa 31 Ridout Road pada 2019 dan memperbaharui sewaannya tiga tahun kemudian.

Keprihatinan mengenai penyewaan dua banglo kolonial hitam putih di Ridout Road oleh Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan mula timbul pada awal Mei 2023, menyusuli siri artikel online oleh anggota politik pembangkang dan ketua Parti Reform Kenneth Jeyaretnam.

Encik Jeyaretnam telah mempersoalkan dalam artikelnya sama ada para menteri itu "membayar kurang daripada nilai pasaran yang wajar" untuk hartanah tersebut.
Related article image
Setiausaha Agung RDU, Ravi Philemon bersama Dr Syed Alwi Ahmad, Encik Eddy Tan dan Encik Pang Heng Chuan, bercakap dengan media semasa kunjungan ke Pusat Penjaja Yishun Park pada 3 April 2025. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)
Jika dipilih ke parlimen, RDU akan menggesa pemerintah untuk mengembalikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada 7 peratus, kata Encik Philemon, apabila ditanya mengenai rancangan parti untuk menangani kebimbangan kos sara hidup.

RDU juga telah meminta agar cukai karbon dimansuhkan, tambahnya, sambil menyatakan bahawa syarikat utiliti "memindahkan" kos itu kepada rakyat dalam bil api air mereka.

Singapura menaikkan cukai karbon kepada S$25 setiap tan untuk pelepasan gas rumah hijau pada 2024 dan 2025, dan akan menaikkannya kepada S$45 setiap tan untuk pelepasan gas rumah hijau pada 2026 dan seterusnya.

"Sebaliknya, apa yang sepatutnya dilakukan adalah syarikat utiliti harus dipaksa untuk membayar pencemaran karbon ini. Mereka yang mencemarkan alam sekitar lebih banyak berbanding penduduk biasa," kata Encik Philemon.

Parti ini akan melancarkan kempen mereka secara rasmi untuk Pilihan Raya Umum akan datang pada 13 April, tambah beliau.

Penyelidik bebas Dr Syed Alwi Ahmad, profesional IT Encik Eddy Tan dan pengarah di sebuah syarikat permulaan teknologi antarabangsa Encik Pang Heng Chuan juga hadir bersama Encik Philemon pada Khamis.

Ketiga-tiga mereka duduk dalam jawatankuasa eksekutif pusat RDU sebagai majlis penasihat.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita