Skip to main content

Singapura

GE2025: Ketua NTUC Ng Chee Meng hadiri acara masyarakat di SMC Jalan Kayu baharu bersama SM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Ketua NTUC Ng Chee Meng hadiri acara masyarakat di SMC Jalan Kayu baharu bersama SM Lee

Menteri Kanan Lee Hsien Loong dan setiausaha agung NTUC Ng Chee Meng menyapa para penduduk di Fernvale pada 16 Mac 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 16 Mar 2025 09:41PM Dikemas Kini : 17 Mar 2025 10:44AM
SINGAPURA: Ketua buruh Ng Chee Meng dilihat di sebuah acara masyarakat di kawasan undi perseorangan Jalan Kayu yang baharu pada Ahad (16 Mac), bersama Menteri Kanan Lee Hsien Loong.

Mediacorp juga difahamkan bahawa beliau berada di Sesi Bertemu Rakyat (MPS) yang diadakan di cawangan Parti Tindakan Rakyat (PAP), di Fernvale minggu lalu.

Acara kawasan undi yang berlangsung pada Ahad itu, diadakan di ruang terbuka antara Blok 466A dengan Blok 469 Fernvale Link, dan lapangan bersebelahan stesen LRT Thanggam.

Apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Ang Mo Kio atau kawasan undi Jalan Kayu tersebut semasa Pilihan Raya umum seterusnya, Encik Ng berkata: "Anda akan tahu, saya pasti, pada masa yang tepat. Kita akan lihat apa yang berlaku, apa yang diputuskan oleh perdana menteri."

Beliau memberitahu para wartawan bahawa beliau telah melawat kawasan-kawasan undi kira-kira sekali setiap suku tahun, termasuk tempat-tempat seperti Bukit Batok, Ang Mo Kio dan Sengkang sebelum ini.

Lawatan tersebut mampu menjadi sebahagian daripada tugasnya bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), atau disebabkan hubungannya dengan AP parti pemerintah. Sebagai contoh, beliau berada di acara pada Ahad atas undangan AP GRC Ang Mo Kio Gan Thiam Poh, yang merupakan AP di kawasan tersebut.

Encik Gan memberitahu para wartawan bahawa beliau mengundang Encik Ng ke acara tersebut memandangkan NTUC merupakan penyokong kukuh usaha untuk membantu mereka yang memerlukan di kawasannya.

Berkait kehadirannya di kawasan Ang Mo Kio dan Sengkang, Encik Ng menganggap ia sebagai "kebetulan" bahawa pelibatannya sentiasa berlaku di kawasan ini.

Encik Ng berkongsi bahawa beliau biasa kawasan itu.

"Saya membesar di sini. Saya mengikuti latihan di kelab terbang junior. Saya pernah tinggal di sekitar kawasan ini juga, jadi saya biasa dengan kawasan di sekitar ini," ujarnya, sambil menambah bahawa isterinya juga dibesarkan di Ang Mo Kio.

SMC JALAN KAYU BAHARU

Kehadiran Encik Ng di kawasan tersebut mencuri perhatian. Beliau memberitahu akhbar tempatan The Straits Times bulan lalu bahawa beliau "bersedia jika diminta" untuk bertanding di Pilihan Raya Umum seterusnya, dan beliau "tidak pernah berhenti berada" di lapangan di Sengkang.

Walaubagaimana pun, beliau besar kemungkinan tidak akan bertanding di kawasan Sengkang bagi pasukan PAP di pilihan raya akan datang. Ini memandangkan parti tersebut sudahpun memperkenalkan tiga pengerusi baharu cawangan di GRC itu, dengan hanya mantan pemegang jawatan politik Lam Pin Min menjadi satu-satunya anggota daripada pasukan asal PAP di sana.

Kawasan Fernvale, di mana Encik Ng berada pada Ahad, terletak di pinggir GRC Sengkang, dengan kedua-dua kawasan pilihan raya itu dipisahkan oleh Sungei Punggol.

Pada 2015, kawasan tersebut berada di bawah SMC Sengkang West, dan kemudiannya diserap ke dalam GRC Ang Mo Kio pada tahun 2020. Dalam semakan sempadan kawasan undi terkini, kawasan itu dikeluarkan dari kawasan undi lima anggota tersebut.

SMC Jalan Kayu yang baharu termasuk estet privet di sepanjang Jalan Kayu, Taman Aeroangkasa Seletar dan sebahagian daripada flat Lembaga Perumahan di Fernvale. Terdapat 29,565 pengundi di kawasan tersebut.

Selepas peta kawasan undi baharu itu dikeluarkan, Encik Lee berkata Jalan Kayu SMC juga akan berada di bawah bidang kuasa Majlis Perbandaran Ang Mo Kio selepas pilihan raya umum akan datang, yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 23 November.

PENAMPILAN SULUNG POLITIK

Encik Ng membuat penampilan sulungnya dalam arena politik semasa GE2015, apabila beliau merupakan sebahagian daripada pasukan PAP lima anggota yang memenangi GRC Pasir Ris-Punggol.

Beliau telah meletak jawatan sebagai Ketua Angkatan Pertahanan dalam Angkatan Tentera Singapura (SAF), sekali gus menjadi pegawai tentera berpangkat tertinggi yang menjadi Anggota Parlimen.

Pada 2020, Encik Ng menerajui pasukan termasuk pemegang jawatan politik Lam Pin Min dan Amrin Amin, dan pendatang baharu Raymond Lye, dalam GRC Sengkang yang baru diwujudkan. Beliau ketika itu memberi tumpuan kepada bahagian Sengkang North di kawasan itu.

Kawasan undi empat anggota itu telah diwujudkan dengan menggabungkan kawasan undi perseorangan Punggol East dengan sebahagian daripada GRC Pasir-Ris Punggol dan SMC Sengkang West, yang kini tidak beroperasi.

Mereka dikalahkan oleh pasukan Parti Pekerja, yang terdiri daripada Jamus Lim, Raeesah Khan, He Ting Ru dan Louis Chua, yang memperoleh 52.13 peratus undi.

Sejak itu, Encik Ng kekal sebagai setiausaha agung NTUC, dan juga dipilih ke dalam jawatankuasa eksekutif pusat parti pemerintah ke-38 pada Disember tahun lalu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita