GE2025: Keputusan 'sangat mengejutkan'; PSP akan kaji kekalahan dengan 'teliti dan rendah diri'
Setiausaha Agung Parti Kemajuan Singapura (PSP) Leong Mun Wai menyifatkan keputusan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) sebagai "sangat mengejutkan", dan berkata parti itu akan mengambil masa untuk meneliti dan mengkaji kekalahannya di kesemua enam kawasan undi yang ditandinginya.
Encik Leong Mun Wai dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) bercakap kepada media di luar ibu pejabat PSP pada 3 Mei 2025. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
"Keputusannya sangat mengejutkan kami, tetapi rakyat sudah bersuara," katanya kepada para wartawan pada Sabtu malam (3 Mei) di luar ibu pejabat PSP di Bukit Timah Shopping Centre, selepas kiraan undi sampel diumumkan untuk semua kawasan undi yang ditandingi parti itu.
Encik Leong mengucapkan terima kasih kepada para pengundi yang telah menyokong PSP dan berkata parti itu akan mengkaji keputusan itu "dengan serius dan rendah hati" dan meneliti bagaimana ia boleh mendapat kepercayaan selanjutnya daripada rakyat Singapura.
"Kami boleh memberi jaminan kepada mereka bahawa kami akan terus bekerja keras untuk memahami keperluan mereka dan terus berkhidmat kepada Singapura," katanya, sambil menambah bahawa PSP mungkin perlu menyemak semula strateginya.
"Kami perlu bermuhasabah supaya kami dapat terus berkhidmat kepada para penduduk."
Encik Leong bagaimanapun enggan menjawab soalan lanjut.
KEPUTUSAN RASMI
Pasukan PSP di GRC West Coast-Jurong West – diketuai oleh pengasas parti Tan Cheng Bock, Encik Leong, naib pengerusi Hazel Poa dan pendatang baharu Sumarleki Amjah dan Sani Ismail – memperolehi 39.99 peratus undi, turun daripada 48.3 peratus yang diperoleh parti tersebut pada 2020.
Mereka berdepan dengan pasukan PAP yang diterajui oleh Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, bersama Shawn Huang dan Ang Wei Neng, dan calon baharu Cassandra Lee dan Hamid Razak.
Di GRC Chua Chu Kang, Lawrence Pek, Wendy Low, S Nallakaruppan dan A’bas Kasmani dari PSP mendapat 36.41 peratus undi, turun daripada 41.36 peratus pada 2020.
Dalam persaingan bagi merebut kerusi SMC, Stephanie Tan dari PSP memperoleh 34.58 peratus di SMC Pioneer dan rakannya yang pertama kali bertanding, Tony Tan memperolehi 31.5 peratus di SMC Kebun Baru, masing-masing tewas kepada calon PAP Patrick Tay dan Henry Kwek. Pada GE2020, calon PSP mendapat 35.22 peratus undi di Pioneer dan 37.08 peratus di Kebun Baru.
Di SMC Marymount, Jeffrey Khoo dari PSP memperoleh 29.3 peratus undi, tewas kepada Gan Siow Huang dari PAP. Di SMC Bukit Gombak, Encik Harish Pillay memperolehi 24.17 peratus, kalah di tangan calon PAP Low Yen Ling.
Kekalahan itu mengesahkan bahawa PSP tidak akan diwakili di Parlimen, sekali gua menamatkan kehadiran parti tersebut selama lima tahun melalui kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) yang disandang oleh Encik Leong dan Cik Poa selepas hampir menang di GRC West Coast pada 2020.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.