GE2025: Keputusan 'mengecewakan' namun ia bukan pengakhiran bagi PSP, kata Leong Mun Wai
Ketua Parti Kemajuan Singapura (PSP) Leong Mun Wai berkata walaupun keputusan PSP di Pilihan Raya Umum 2025 adalah mengecewakan, parti itu menghormati keputusan para pengundi dan ia bukan satu pengakhiran bagi parti tersebut.

Calon PSP bagi GRC West Coast-Jurong West Leong Mun Wai (kanan) dan Sani Ismail (tengah) bercakap kepada para wartawan sebelah stesen MRT Lakeside pada 25 Apr 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Dalam catatan Facebook pada Rabu (7 Mei), Encik Leong berkata beliau memerlukan masa untuk menangani "perasaan terkejut yang dialami" menyusuli Pilihan Raya Umum pada 3 Mei.
"Keputusan GE2025 itu bukanlah yang diharapkan oleh PSP. Kami menerima keputusan para pengundi dengan penuh rendah hati dan rasa hormat," kata Encik Leong.
"Demokrasi ditampilkan melalui kotak undi. Kami menghormati suara itu, walaupun ia membawa kekecewaan," kata Encik Leong.
Keputusan GE2025 menyaksikan parti PSP disingkirkan dari Parlimen, sekali gus menamatkan pegangan parti itu selama lima tahun ke atas kerusi Ahli Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) yang diisi oleh Encik Leong dan naib pengerusi PSP Hazel Poa.
Parti itu kalah dalam semua kawasan undi yang dipertandingkan.
Ia juga menerima perkongsian undi lebih kecil dalam kawasan undi yang ditandingi semula termasuk GRC West Coast-Jurong West, yang menyaksikan persaingan sengit antara PSP dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum 2020.
Dalam catatan Facebook, Encik Leong berkata beliau berjanji pasukannya akan berkumpul semula selepas keputusan "mengecewakan" itu.
"Kepada rakyat Singapura, walaupun keputusan ini menghampakan bagi kami, ia bukan satu pengakhiran," tulis Encik Leong.
"Seruan kami supaya diadakan semak dan imbang, sebuah masyarakat inklusif dan peluang lebih adil bagi semua orang tetap tidak goyah. Kami akan berkumpul semula, bermuhasabah dan kembali lebih kukuh."
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk GRC West Coast-Jurong West, sukarelawan PSP, pasukan kempen dan penyokong parti tersebut.
"Kami mungkin gagal kali ini, tetapi perjuangan ini hanya mengukuhkan komitmen kami kepada anda dan masa hadapan Singapura," katanya.
PAP meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ini, di mana ia menang dengan 65.57 peratus undi dan memperolehi 87 daripada 97 kerusi.
Di GRC West Coast-Jurong West, PSP mendapat 39.99 peratus undi, berbanding 48.3 peratus pada 2020.
Ia mencalonkan pasukan utamanya yang terdiri daripada pengasas parti Tan Cheng Bock, Encik Leong, Cik Poa dan muka baharu Sumarleki Amjah dan Sani Ismail.
Mereka bersaing dengan pasukan PAP yang dipimpin oleh Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, Shawn Huang, Ang Wei Neng serta muka baharu Cassandra Lee dan Hamid Razak.
Dalam mengucapkan tahniah kepada PAP atas kemenangannya, Encik Leong menyifatkan Encik Lee sebagai "pesaing yang layak".
"Kami telah banyak mempelajari daripada cara PAP menjalankan kempennya," kata Encik Leong.
"Kami menggesa mereka supaya terus mendengar maklum balas penduduk dan mengotakan janji mereka."
Encik Leong berjanji akan terus bersuara, berkhidmat dan menegakkan nilai parti itu.
"Terima kasih kerana ikut serta dalam perjuangan kami," katanya. "Perjuangan ini diteruskan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.