GE2025: Kawalan hidupan liar, cabaran warga emas antara keprihatinan penduduk Pulau Ubin semasa lawatan rombongan PAP
Isu berkenaan hidupan liar dan kesukaran bagi golongan warga emas untuk menebus baucar sokongan digital merupakan antara cabaran yang dibangkitkan penduduk Pulau Ubin semasa lawatan yang dilakukan pasukan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Jumaat (11 Apr).
Anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) bermesra dengan seorang penduduk Pulau Ubin pada 11 April 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Pulau tersebut, yang mempunyai sekitar 30 penduduk berdaftar, telah dimasukkan ke dalam sempadan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Pasir Ris-Changi yang baharu, berdasarkan semakan terkini peta pilihan raya.
Rombongan PAP yang terdiri daripada Menteri Kanan Teo Chee Hean, Menteri Negara Kanan di Pejabat Perdana Menteri Desmond Tan, Menteri Negara Kanan (Pembangunan Digital dan Maklumat & Kesihatan) Dr Janil Puthucheary, Encik Sharael Taha dan wajah baharu Cik Valerie Lee, meluangkan kira-kira satu setengah jam di pulau tersebut sambil bermesra dengan penduduk di sana. Mereka turut diiringi sekitar 15 relawan parti.
Bercakap kepada pihak media selepas lawatan tersebut, Cik Lee berkata pasukan mereka “amat menghargai peluang untuk benar-benar memahami kebimbangan para penduduk yang tinggal di sana”.
“Antara isu utama sudah pasti berkenaan cabaran berkaitan hidupan liar, sebab itu kami tegaskan bahawa kami akan terus bekerjasama rapat dengan (Lembaga Taman Negara) pada masa akan datang untuk benar-benar membantu menyelesaikan perkara itu,” kata beliau, yang juga merupakan Ketua Hal Ehwal Korporat Sembcorp Industries bagi Singapura dan Asia Tenggara.
“Sudah tentu, terdapat ramai warga emas di pulau ini dan kami akan terus memberikan sokongan kepada mereka,” tambah beliau, sambil menjelaskan bahawa pasukan tersebut telah mendapatkan nombor untuk menghubungi para penduduk bagi membolehkan mereka membantu secara langsung.
Antara cabaran yang dihadapi kumpulan warga emas di pulau itu termasuk kesukaran untuk menebus baucar sokongan pemerintah seperti Baucar Iklim, kata Cik Lee.
Semasa pasukan PAP melakukakn lawatan ke Pulau Ubin, para penduduk berkongsi cabaran unik yang mereka hadapi, termasuk monyet liar yang mencuri buah rambutan dari pokok mereka serta kemampuan penjanaan elektrik yang terhad di pulau tersebut.
Ada juga yang menzahirkan harapan agar pembangunan baharu dapat dilaksanakan bagi menarik semula kedatangan pengunjung ke pulau itu.
Puan Ng Ngak Heng, yang telah menetap di Pulau Ubin selama 50 tahun, berkata kepada Mediacorp: “Sekarang keadaan di sini adalah sangat sunyi. Sudah tidak ramai pelawat datang. Orang ramai pergi ke tempat lain untuk bercuti, seperti Malaysia."
“Kehidupan kampung seperti ini adalah istimewa, sekarang ia adalah susah untuk dijumpai,” kata wanita berusia 75 tahun itu dalam bahasa Mandarin.
Puan Ng, yang mengusahakan sebuah kedai runcit di pulau berkenaan, turut memaklumkan bahawa kerja-kerja penurapan jalan telah dijalankan bagi memudahkan pergerakan di kawasan itu.
GRC Pasir Ris-Punggol yang sebelum ini diwakili lima anggota telah disusun semula menjadi dua GRC — Pasir Ris-Changi dan Punggol — dalam semakan terbaru kawasan undi.
Parti pemerintah PAP yang diketuai Menteri Kanan Teo Chee Hean memenangi kawasan itu pada 2020 dengan 64.16 peratus undi. Ketika itu, kawasan tersebut menyaksikan persaingan tiga penjuru di mana PAP menentang parti Suara Rakyat (PV) dan Perikatan Demokratik Singapura (SDA).
Disebabkan peningkatan jumlah pengundi sejak Pilihan Raya Umum yang lalu, estet Punggol dipisahkan dan digabungkan dengan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Punggol West untuk membentuk GRC Punggol yang baharu dan diwakili empat anggota.
GRC Pasir Ris-Changi yang baharu itu akan mempunyai seramai 100,639 pengundi, dengan 87,768 dari Pasir Ris-Punggol dan 12,871 dari East Coast.
Setakat ini, SDA mengumumkan bahawa ia akan bertanding di GRC Pasir Ris-Changi yang baharu. Parti itu telah bertanding di kawasan Pasir Ris-Punggol dalam setiap pilihan raya sejak 2006.
Encik Tan mengakui cabaran yang dibawa SDA di kawasan tersebut, namun menegaskan bahawa tumpuan pasukan PAP adalah untuk terus berkhidmat kepada para penduduk di Pasir Ris dan kini juga Changi.
Apabila ditanya tentang bagaimana parti tersebut akan menangani perubahan kawasan Changi dan Pulau Ubin ke dalam kawasan undi baharu itu, Encik Sharael Taha berkongsi bahawa “sudah banyak kerjasama dijalankan” untuk memahami keperluan penduduk yang kini berada di bawah jagaan mereka dan “kami akan terus bekerjasama dalam hal ini”.
Ketika ditanya tentang senarai calon PAP bagi GRC Pasir Ris-Changi, beliau berkata bahawa “parti akan membuat keputusan berhubung perkara itu”.
Sementara itu, Encik Teo tidak menjawab sebarang soalan semasa sesi bersama media, dan menyerahkan semua soalan kepada rakan-rakan seperjuangan yang lebih muda.
Beliau hanya bersuara apabila pasukan ditanya mengapa Dr Janil Puthucheary menghadiri sesi lawatan tersebut tetapi tidak bersama kumpulan ketika ditemu bual media. "Anda boleh membuat kesimpulan sendiri," kata Encik Teo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.