GE2025: Jumlah video dijana AI berkaitan pilihan raya semakin meningkat
Sejak tarikh Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025) diumumkan, jumlah video online berkaitan GE2025 yang dijana dan dihasilkan menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) semakin meningkat.
(Dari kiri) Tangkapan layar video TikTok yang dihasilkan AI, serta rakaman yang diubah suai menggunakan AI melibatkan Encik Lawrence Wong dan Encik Pritam Singh. (Gambar: TikTok/ @bombingbond; TikTok/@shining_shinshin)
Mediacorp mengesan 73 video sedemikian yang dimuat naik antara 15 Apr dan 19 Apr. Ini berbanding 64 klip sedemikian sepanjang bulan dari 14 Mac hingga 14 Apr. Kesemua video itu dimuat naik ke TikTok.
15 Apr ialah tarikh Writ Pilihan Raya dikeluarkan.
Peningkatan pada jumlah video sedemikian berlaku walaupun terdapat undang-undang baharu yang melarang kandungan yang dijana atau dimanipulasi secara digital yang menyalahgambarkan perkara yang dikatakan atau dilakukan oleh calon, tidak kira sama ada ia menguntungkan atau tidak menguntungkan mereka.
GE2025 adalah kali pertama undang-undang itu dikuatkuasakan. Dari 15 Apr hingga Hari Penamaan Calon pada 23 Apr, larangan itu meliputi bakal calon yang telah membayar deposit pilihan raya dan memberi kebenaran kepada Jabatan Pilihan Raya (ELD) untuk mengumumkan pencalonan mereka.
Selepas prosiding penamaan calon ditutup, larangan itu akan meliputi semua calon sepanjang baki tempoh pilihan raya.
Daripada 73 video berkaitan GE2025 dijana oleh AI yang dimuat naik sejak 15 Apr, Mediacorp mendapati bahawa 11 mengandungi visual bakal calon yang dijana atau dimanipulasi secara digital, yang berpotensi melanggar undang-undang baharu itu.
Jumlah itu meningkat kepada 27 jika kiraan termasuk video yang mengandungi rakaman tulen bakal calon, tetapi bersama dengan elemen AI seperti avatar dan alih suara teks ke pertuturan.
Di bawah undang-undang baharu itu, arahan pembetulan boleh dikeluarkan terhadap individu, yang menghendaki mereka mengeluarkan kandungan; atau kepada penyedia media sosial yang meminta mereka untuk menyekat akses.
Kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh membawa kepada hukuman penjara atau denda.
Setakat sehingga Isnin (21 Apr), tiada arahan pembetulan dikeluarkan terhadap pemalsuan yang menyalahgambarkanseseorang calon.
Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) memberitahu Mediacorp bahawa orang ramai akan dimaklumkan jika arahan sedemikian dikeluarkan.
Kementerian itu turut mendedahkan bahawa ia "memantau dengan teliti ruang siber semasa Pilihan Raya Umum".
"Terdapat proses untuk memantau dan meminimumkan risiko gangguan pada pilihan raya yang boleh timbul daripada penyebaran kandungan sedemikian, seperti 'deepfake' yang menyalahgambarkan calon," katanya lagi.
"Terdapat pasukan khas semasa tempoh pilihan raya untuk tujuan ini, dan mereka akan bekerjasama rapat dengan perkhidmatan media sosial untuk bertindak pantas terhadap kandungan seumpama itu."
MDDI juga menegaskan bahawa para calon dan orang ramai harus kekal "berwaspada".
MDDI bagaimanapun tidak menjawab soalan Mediacorp mengenai apa dan berapa banyak laporan berhubung kandungan dijana AI yang diterimanya, siasatan yang sedang dijalankan dan tindakan penguatkuasaan yang diambil.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.