Skip to main content

Singapura

GE2025: Jangan jadikan rakyat SG tebusan 'politik menakut-nakutkan', kata Ariffin Sha dari SDP

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Jangan jadikan rakyat SG tebusan 'politik menakut-nakutkan', kata Ariffin Sha dari SDP

Ariffin Sha⁩, calon SDP bagi GRC Marsiling-Yew Tee. (Gambar: CNA/Liew Zhi Xin)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 29 Apr 2025 12:23AM Dikemas Kini : 29 Apr 2025 07:21AM
SINGAPURA: Rakyat Singapura tidak harus dijadikan tebusan kepada "politik yang memomokkan" mereka, kata calon dari Parti Demokratik Singapura (SDP) Ariffin Sha pada Isnin (28 Apr), dalam responsnya kepada kenyataan Perdana Menteri Lawrence Wong tentang bagaimana kehilangan para menteri akan melemahkan pemerintah ketika negara berdepan detik-detik mencabar.

Berucap di rapat kelima partinya, Encik Ariffin menyenaraikan beberapa menteri yang sebelum ini kehilangan kerusi parlimen mereka dan bagaimana Singapura masih terus "berjalan dengan baik".

Eksekutif perundangan berusia 28 tahun itu adalah antara lapan calon SDP yang berucap di Stadium Woodlands, yang berada di GRC Marsiling-Yew Tee.

Encik Ariffin merupakan antara empat calon pasukan SDP yang bersaing dengan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin oleh Encik Wong di kawasan undi itu.

Yang lain yang turut berucap di Stadium Woodlands termasuk ketua parti Chee Soon Juan, yang menyentuh tentang gaji para menteri.
"TOLAK POLITIK YANG MENAKUT-NAKUTKAN"

Encik Ariffin memberitahu orang ramai pada Isnin supaya "menolak politik yang menakut-nakutkan".

"Apa yang tidak disedari rakyat Singapura adalah bahawa tunjang Singapura merupakan pegawai perkhidmatan awam yang berpangkat biasa, dan bukan para menteri kita. Perkhidmatan awamlah yang memastikan Singapura terus berjalan meskipun parlimen sudah dibubarkan," tambah beliau.

Encik Wong semasa ucapannya di rapat tengah hari pada Isnin berkata kehilangan para menteri, jika berlaku, akan "segera dirasai dan tidak dapat diganti". Beliau juga berkata kehilangan tiga daripada empat menteri akan melemahkan Kabinet dan Singapura.

Encik Ariffin menyangkal kenyataan tersebut, dengan berkata Encik George Yeo kehilangan kerusi di GRC Aljunied pada 2011 apabila beliau menyandang jawatan menteri ehwal luar.

"Kita teruskan kehidupan. Singapura terus berjalan seperti biasa. Dan untuk bersikap adil kepada beliau, beliau juga menghormati keputusan para pengundi. Kita tidak melihat beliau dikerahkan ke mana-mana tempat lain, dan beliau tidak dikerah ke NTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan)."

Seorang lagi menteri Kabinet, Encik Ng Chee Meng, juga tidak menang dalam GE2020. Encik Ng adalah sebahagian daripada pasukan PAP yang kalah di GRC Sengkang kepada pasukan Parti Pekerja (WP) pada tahun itu.

"Tapi Sengkang dikendalikan dengan baik sahaja,bukan?" kata Encik Ariffin.

"Singapura juga berjalan dengan baik...kekuatan kita melangkaui para menteri kita, oleh itu, janganlah membebankan rakyat Singapura dengan ketakutan. Jangan biarkan diri dikongkong oleh politik menakut-nakutkan, tetapi pilihlah tanpa gentar."

Beliau berkata setiap kali parti-parti pembangkang membentangkan dasar mereka, dikatakan bahawa mereka akan "mengambil daripada rizab" dan masyarakat mempersoalkan bagaimana cadangan mereka akan dibiayai.

SDP mempunyai "manifesto yang terperinci" yang membentangkan dasar-dasar dari pendidikan hingga perumahan dan ekonomi, selain bagaimana parti itu akan membiayainya, kata Encik Ariffin.

"Jadi jangan biarkan sesiapa pun memberitahu anda bahawa pembangkang hanya memberi idea tetapi tidak menjelaskan bagaimana untuk melaksanakannya."

Encik Ariffin juga berkata sekarang "semuanya tentang menghilangkan politik ketakutan, terima kasih kepada advokasi tanpa henti Parti Pekerja (WP)".

Ketua WP Pritam Singh baru-baru ini menyatakan bagaimana akses kepada pembiayaan Jawatankuasa Projek Peningkatan Masyarakat (CIPC), yang meliputi peningkatan estet HDB seperti pembinaan kemudahan rekreasi, sudah menjadi "perjuangan panjang" oleh ahli politik pembangkang.

"Hari ini, (kita) masih boleh dapat geran CIPC, agak okay," kata Encik Ariffin.

"Tidak seperti zaman dulu di Hougang dan Potong Pasir, di mana kawasan undi anda mungkin ketinggalan. Hari ini, ia agak seimbang," tambahnya.

GAJI MENTERI

Kemudian semasa perhimpunan itu, Dr Chee Soon Juan mengkritik gaji menteri-menteri, dengan mengatakan mereka "hidup dalam dunia yang berbeza" yang tidak dikenali oleh golongan yang berada dalam "dunia sebenar estet HDB".

Menurut rencana Factually mengenai gaji menteri, yang menyatakan ia tepat setakat Februari 2025, gaji biasa untuk menteri peringkat permulaan, termasuk bonus, adalah S$1.1 juta setahun.

Jumlah gaji biasa Perdana Menteri ditetapkan pada dua kali ganda gaji menteri peringkat permulaan - S$2.2 juta.

Dr Chee Soon Juan juga membandingkan saiz flat HDB dengan banglo mewah, termasuk di Ridout Road yang disewa oleh Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan.

"Untuk memberi perspektif, purata saiz flat HDB yang anda dan saya tinggal adalah sekitar 100 meter persegi. Rumah Encik K Shanmugam di 26 Ridout Road adalah 23,000 meter persegi," katanya.

Anda boleh menonton siaran langsung semua rapat di laman GE2025 BERITA Mediacorp.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita