GE2025: Imbas isu hangat sepanjang kempen 9 hari
Menjelang Hari Bertenang pada Jumaat (2 Mei), isu campur tangan asing dan identiti politik muncul sebagai antara topik paling hangat sepanjang kempen sembilan hari.
(Ikut arah jam, dari kiri atas) Calon SDP bagi SMC Bukit Panjang, Paul Tambyah di Pusat Penjaja Bukit Panjang; calon WP, Andre Low di Pusat Penjaja & Pasar Fernvale; calon PAP, Edwin Tong dan Hazlina Abdul Halim di Pasar Blok 216 Bedok; dan calon PSP, Tan Cheng Bock di Pusat Penjaja dan Pasar Taman Jurong, pada 1 Mei 2025. (Gambar: CNA/Abel Khoo, Loraine Lee, Jeremy Long, Lauren Chian)
Ia mencetuskan kebimbangan tentang cubaan mempengaruhi undi pengundi Melayu/Islam sekali gus menghangatkan persaingan empat penjuru di GRC Tampines.
Bermulanya dengan catatan media sosial dibuat dua ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan seorang bekas tahanan ISA yang kini menetap di luar negara.
Pemerintah bertindak tegas menyekat akses kepada catatan-catatan media sosial itu.
Perdana Menteri Lawrence Wong menyifatkan tindakan mereka itu sebagai “melampaui batas” dan menegaskan bahawa politik Singapura mesti ditentukan oleh rakyat sendiri.
"Warga asing ini menyasarkan rakyat Singapura, dan catatan media sosial mereka turut dikongsi secara meluas dalam kalangan masyarakat Singapura. Ia melampaui batas. Rakyat Singapura mungkin mempunyai pandangan berbeza tentang sesuatu isu.
"Namun, kita tidak boleh membenarkan pihak luar mengeksploitasi perbezaan ini untuk melemahkan kita atau memajukan kepentingan mereka sendiri. Politik Singapura mesti ditentukan oleh rakyat Singapura sendiri," katanya.
ISU IDENTITI POLITIK 'NOOR DEROS'
PM Wong turut menjelaskan bahawa meskipun negara menolak politik berasaskan identiti, rakyat masih boleh membincangkan isu-isu bangsa dan agama secara bertanggungjawab.
Parti-parti politik tempatan sepakat menolak campur tangan asing dalam politik negara.
Namun Parti Pekerja (WP) terheret dalam isu tersebut selepas seorang guru agama warga Singapura yang kini menetap di Malaysia, Noor Deros, mendakwa telah berbual dengan anggota WP dan menggesa parti itu mengutamakan kepentingan masyarakat Melayu/Islam.
WP menafikan sebarang perjanjian atau komitmen politik dengan mana-mana pihak, termasuk Noor Deros, untuk meraih sokongan dalam GE2025.
Setiausaha Agung WP Pritam Singh berkata: "Kita tidak boleh menjadi parti politik yang berjaya jika kami mempermainkan isu kaum dan agama. Pendekatan kami adalah seluruh rakyat Singapura tidak kira kaum dan agama.
"Inilah yang kami membawa kepada anda dan kami akan bersikap adil kepada semua. Kami akan mendengar pandangan semua orang."
Dua insiden itu mencetuskan persoalan sama ada identiti politik mula dipermainkan dalam GE2025?
Lebih-lebih lagi, ia membabitkan dua calon Melayu/Islam yang bertanding di GRC Tampines - Naib Pengerusi WP, Faisal Abdul Manap, dan Menteri Ehwal Masyarakat Melayu/Islam, Masagos Zulkifli dari PAP.
Kedua-duanya menolak sebarang naratif identiti politik, dan menegaskan komitmen mereka untuk berkhidmat kepada semua penduduk Tampines.
"Tugas kita adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat di Tampines dan memberi yang terbaik kepada mereka bukan membincangkan siapa yang datang, apa yang kita harus bimbang tentang mereka. Fokus kita adalah penduduk Tampines supaya kediaman mereka semakin baik saban tahun," kongsi Encik Masagos.
Encik Faisal pula berkata: "Saya memberi mesej-mesej yang mengatakan saya akan melakukan sedemikian dan sedemikian. Encik Masagos pun ada peluang untuk menunjukkan apa yang beliau ingin melakukan untuk masyarakat. Jadi kita balik kepada masyarakat, balik kepada pihak pengundi itu untuk memilih kerana kuasa itu adalah di tangan rakyat."
MASAGOS: "BERILTIZAM TERUS JADI SUARA MASYARAKAT UNTUK KEBAIKAN SEMUA"
Dalam pada itu, Encik Masagosi, berikrar untuk terus berjuang demi kemajuan masyarakat Melayu/Islam dan seluruh rakyat Singapura, sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum kali ini.
Dalam satu catatan di Facebook pada Khamis (1 Mei), beliau berkata: "Saya beriltizam untuk terus berusaha gigih menabur bakti demi maslahat dan kemajuan masyarakat Islam kita dan Singapura. Selagi nyawa di kandung badan, saya akan terus menjadi suara masyarakat untuk kebaikan semua."
Encik Masagos mengimbas kembali penglibatan awalnya dalam kerja-kerja kemasyarakatan, bermula dengan organisasi PERDAUS sejurus selepas menamatkan pengajian universiti.
"Kami berdepan dengan bermacam-macam cabaran. Yang paling besar ialah membantu Almarhum Ustaz Embek Ali menangani isu ajaran sesat dalam masyarakat. Alhamdulillah kami berjaya mengatasinya waktu itu," katanya.
Beliau kemudian menubuhkan Mercy Relief bagi menawarkan bantuan kemanusiaan kepada negara-negara luar yang dilanda malapetaka, sebelum menaik tarafnya menjadi sebuah badan nasional.
Mengenai peranannya sebagai Anggota Parlimen GRC Tampines, Encik Masagos berkata beliau dan pasukan PAP telah bekerjasama rapat dengan penduduk untuk meningkatkan mutu kehidupan mereka.
Antara pencapaiannya termasuk pembangunan Hab Tampines Kita (OTH), naik taraf Masjid Darul Ghufran dan perancangan sebuah lagi masjid baru di kawasan itu.
Pada peringkat nasional, beliau menyifatkan penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura sebagai satu “mercu tanda besar” untuk masyarakat Melayu/Islam.
Beliau mengakui perjalanan sebagai pemimpin bukan mudah.
"Ada banyak onak dan duri. Sudah pasti pelbagai pihak mempunyai pandangan berbeza dan tidak semua bersetuju dengan kami. Tapi saya sangat menghargai semua maklum balas, termasuk sepanjang tempoh berkempen ini," ujar beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.