Skip to main content

Singapura

GE2025: GRC Sembawang akan ada sekurang-kurangnya 1 calon baharu: Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: GRC Sembawang akan ada sekurang-kurangnya 1 calon baharu: Ong Ye Kung

Gambar fail Ong Ye Kung. (Gambar: Justin Ong)

Diterbitkan : 24 Feb 2025 07:44AM Dikemas Kini : 24 Feb 2025 07:45AM
SINGAPURA: Menteri Kesihatan yang juga Anggota Parlimen (AP)
GRC Sembawang, Ong Ye Kung berkata, beliau menjangkakan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) itu akan mempunyai sekurang-kurangnya seorang calon baharu dalam Pilihan Raya Umum (GE) tahun ini.

Bercakap di acara pelancaran Bazar Raya Utara di Woodlands pada Ahad malam (23 Feb), Encik Ong berkata adalah penting untuk menyokong muka baharu dan segera melibatkannya berkhidmat kepada penduduk.

Menurut Encik Ong lagi sudah menjadi tradisi Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk menggantikan antara 25 hingga 33 peratus calon-calonnya dalam setiap pilihan raya.

"Kami cuba menyegarkan seperempat atau sehingga sepertiga calon kami. Jadi, memandangkan GRC Sembawang adalah pasukan lima anggota, saya menjangkakan seorang atau dua orang calon akan tukar. Jadi ini adalah perkara yang selalu berlaku pada setiap kali pilihan raya.

"Tidak banyak GRC yang bertanding dalam pilihan raya tanpa menukar mana-mana ahli mereka. Jadi saya sangat mengharapkan satu calon baharu, jadi saya tidak sabar-sabar menunggu siapa orang itu," tambah beliau.

Mengenai Bazar Raya Utara itu sendiri, saiznya tahun ini lebih kecil dengan 92 gerai berbanding 150 pada tahun lalu.

Pihak penganjurnya menyatakan keadaan tersebut disebabkan oleh kerja binaan di kawasan itu, menyebabkan ruangnya terbatas.

Sebagai sebahagian daripada usaha menggalakkan usahawan tempatan pula, lapan perniagaan dari rumah (HBB) akan diberi gerai di bazar tersebut secara percuma.

"Kami cuba sokong perniagaan dari rumah. Di Woodlands dan di Sembawang kami ada ruang untuk HBB. Di Woodlands, tiap-tiap orang boleh ambil gerai percuma untuk tiga hari atau tujuh hari," kata Anggota Parlimen(AP) GRC Sembawang Mariam Jaafar.

"Di Sembawang mereka melakukannya pada hujung minggu sahaja. Tetapi di Sembawang mereka semua lulusan daripada program kami dengan AMP, program perniagaan mikro, mereka dapat latihan bagaimana hendak menjalankan perniagaan dari rumah, peraturan atau pemasaran digital. Jadi mudah-mudahan mereka boleh berjaya dalam perniagaan mereka, " tambahnya.
 
Sumber : CNA/MU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita