Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: GRC East Coast sekali lagi dijangka hadapi persaingan sengit

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: GRC East Coast sekali lagi dijangka hadapi persaingan sengit

GRC East Coast adalah antara kawasan undi yang paling rencam di Singapura, yang terdiri daripada perumahan awam di Bedok, banglo mewah dan kondominium di Siglap dan Bayshore. (Ilustrasi: CNA/ Samuel Woo)

Diterbitkan : 16 Feb 2025 12:52PM Dikemas Kini : 16 Feb 2025 11:24PM
SINGAPURA: Di Bedok South Avenue 3, sebuah estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dibina pada tahun 1970-an terletak di seberang blok flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang dibangunkan pada 2021.

Di tepi jalan, rumah-rumah privet membarisi Parbury Avenue dan Lucky Heights, manakala kondominium mewah dapat dilihat tidak jauh dari kawasan itu.

Campuran jenis perumahan ini merupakan satu pemandangan biasa di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) East Coast, yang mencerminkan kerencaman penduduk dengan keperluan yang berbeza-beza, daripada pasangan muda yang berpindah ke rumah pertama mereka hingga ke penduduk warga emas yang sudah menetap di kawasan itu selama beberapa dekad.

Kawasan undi ini terbentang dari Bedok South ke Simei dan seterusnya ke kawasan Changi dan Pulau Ubin.

Seperti yang dijangkakan, para calon yang bertanding di GRC ini akan berdepan dengan pelbagai isu dan keprihatinan yang berbeza-beza, menurut para penganalisis politik.

Zamil Penyelidik Institut Pengajian Dasar (IPS) Dr Teo Kay Key berkata para ahli politik perlu "menyesuaikan" pendekatan mereka kepada setiap kawasan undi tertentu dalam GRC, untuk memastikan mereka berhasil mendampingi pengundi dengan berkesan.

“Sebagai contoh, walaupun ahli politik boleh melakukan lawatan dari rumah ke rumah dengan agak mudah untuk flat HDB, mereka tidak akan dapat melakukan perkara yang sama untuk kondominium di sekitar kawasan itu,” menurut Dr Teo.

Kondominium dikawal oleh Akta Penyenggaraan Bangunan dan Pengurusan Strata, yang memberikan Jawatankuasa Pengurusan Hak Milik Strata Perbadanan hak untuk mengawal selia akses. Para ahli politik mesti mendapatkan kelulusan daripada jawatankuasa pengurusan sebelum dibenarkan untuk melakukan lawatan dari rumah ke rumah di kondominium.

Dr Teo berkata ahli politik juga harus mempertimbangkan pelbagai keperluan pengundi mengikut umur mereka.

Sebagai contoh, pengundi yang lebih tua mungkin lebih fokus kepada penambahbaikan estet, manakala penduduk yang lebih muda mungkin lebih mengambil berat tentang kemudahan seperti khidmat jagaan kanak-kanak atau isu seperti jaminan pekerjaan.
GRC East Coast terdiri daripada campuran pelbagai jenis perumahan, yang mencerminkan kerencaman penduduk dengan keperluan yang berbeza-beza. (Gambar: CNA/Nuria Ling)
Berkongsi sentimen yang sama, penganalisis politik bebas Felix Tan berkata bahawa strategi seseorang calon mungkin dibentuk berdasarkan kematangan sesebuah estet.

Sekiranya kawasan itu khususnya mempunyai penduduk yang sudah tinggal di sana selama tempoh yang sangat lama, maka ada kemungkinan corak pengundian akan memihak kepada penyandangnya," kata Encik Tan.

“Bagaimanapun, jika terdapat estet baharu di sekitar kawasan itu yang membentuk sebahagian besar kawasan tersebut, maka ada jalan tengah. Strategi itu mungkin cuba menjangkau pengundi baharu.”

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mentadbir GRC East Coast dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan turut dianggotai Dr Maliki Osman, Cik Jessica Tan, Cik Cheryl Chan dan Encik Tan Kiat How.
 
APA YANG PENDUDUK EAST COAST INGINKAN


1. KEPRIHATINAN PERINGKAT NASIONAL

Bagi hampir kesemua 50 penduduk yang ditemu bual oleh Mediacorp, kebimbangan mereka sangat konsisten: Kos sara hidup yang semakin meningkat, jaminan pekerjaan dan kenaikan harga rumah.

Kebimbangan mereka mencerminkan apa yang disuarakan oleh para penduduk di GRC Sengkang.

Kos sara hidup yang semakin meningkat mustahil untuk diabaikan oleh pengurus perolehan pasar raya Cik Ng Shi Qi, yang prihatin terhadap kenaikan harga yang berterusan.

"Kos semakin meningkat tetapi gaji kami sama," kata penduduk Bedok berusia 34 tahun itu. Selain kenaikan kos barangan runcit, harga rumah turut mendapat perhatiannya kerana dia berharap untuk membeli flat HDB yang lebih besar bersama ibu bapa dan saudara lelakinya.

“Untuk flat jualan semula, harganya sangat tinggi… (harga flat empat bilik yang kami inginkan) adalah sekitar S$600,000, yang terlalu tinggi bagi kami,” kata Cik Ng, yang keluarganya sedang mencari flat di Bidadari, Hougang atau Tampines.

Selain kebimbangan kos, pasaran kerja yang berdaya saing dan keselamatan pekerjaan juga merupakan isu yang bermain dalam benak fikiran para penduduk.

Penduduk Siglap, Shalyn Ng, 37 tahun, berkata: “Terdapat inisiatif (untuk membantu pekerja Singapura) bergerak ke hadapan dan penukaran kerjaya. Tetapi setelah diberhentikan kerja, penukaran kerjaya bukanlah sesuatu yang mudah, walaupun dengan sokongan yang kami dapat.”

Lebih separuh daripada penduduk yang ditemui Mediacorp menyuarakan kebimbangan tentang usaha membantu penduduk lanjut usia, yang membentuk hampir satu pertiga penduduk GRC tersebut.

Saranan-saranan mereka termasuk meningkatkan usaha pendidikan awam terhadap penipuan dan memperkenalkan lebih banyak aktiviti berunsur kemasyarakatan untuk warga emas.

Encik David, seorang pesara berusia 62 tahun yang enggan memberikan nama penuhnya, berkata bahawa perlu ada lebih banyak risalah antipenipuan di kawasan di mana warga tua menghabiskan masa mereka, seperti Pusat Penjaja Bedok di Fengshan yang popular.

Tiga daripada 10 pesara yang diwawancara oleh Mediacorp juga meminta lebih banyak usaha untuk melibatkan warga emas yang mungkin berasa terasing dan kesunyian di rumah.

Cik Chang, seorang pesara berusia 69 tahun yang tinggal di Siglap, berkata bahawa sekalipun dia menghargai aktiviti yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Penduduk di kawasannya tetapi sentiasa melihat beberapa wajah yang sama.
 
Lebih separuh penduduk GRC East Coast membangkitkan kebimbangan tentang usaha membantu penduduk tua yang membentuk hampir sepertiga penduduk GRC tersebut. (Gambar: CNA/Nuria Ling)
2. LEBIH BANYAK KEMUDAHAN DI SESETENGAH KAWASAN UNDI

Para penduduk di Bedok dan Kampong Chai Chee sebahagian besarnya berpuas hati, kerana estet matang mereka dilengkapi dengan beberapa kemudahan yang dibina dan dinaik taraf.

Penduduk estet BTO yang lebih baharu di Bedok South turut gembira dengan kemudahan sedia ada di kawasan Bedok Central yang terletak tidak jauh dari situ.

Di Simei, sebuah estet lebih kecil dengan kira-kira 38,470 penduduk di kawasan tersebut, beberapa penduduk berkata mereka menggunakan kemudahan di Bedok dan Tampines yang terletak berdekatan. Walau bagaimanapun, ada yang mengharapkan lebih banyak kemudahan - seperti lebih banyak tempat makan dan kemudahan senaman - dibangunkan lebih dekat dengan rumah mereka.

"Terdapat jambatan penghubung ke Tampines yang membolehkan saya berlari dan menggunakan kemudahan di Hab Tampines Kita... tetapi alangkah lebih baik untuk mempunyai lebih banyak kemudahan di Simei seperti gelanggang badminton tambahan kerana ia sentiasa digunakan," kata pekerja pentadbiran berusia 28 tahun, Hannah Herman.

3. ESTET-ESTET SEMAKIN TUA

Walaupun menetap di estet matang di Bedok mungkin bermakna akses kepada lebih banyak kemudahan, sesetengah penduduk memberitahu Mediacorp bahawa infrastruktur penuaan tetap menjadi keprihatinan. Lagipun, ia adalah antara flat tertua di Singapura.

Beberapa penduduk dari Blok 1 hingga 4 di Bedok South Avenue 1, yang dibina pada 1975, berkata semasa hujan lebat, air kadang-kadang meresap ke dalam rumah mereka melalui tingkap dapur mereka.

"Ia tidak terlalu teruk untuk saya, kerana saya masih sihat. Tetapi saya bimbang tentang jiran saya yang sudah tua kerana ia mungkin berbahaya jika mereka tergelincir di dapur mereka,” kata Cik Cynthia Loh, 67 tahun, pemandu pelancong dan penduduk Bedok selama lebih 20 tahun.

"Kami telah meminta Majlis Bandaran (untuk mendapatkan bantuan) tetapi tidak banyak yang boleh mereka lakukan, saya fikir."

Walaupun beliau mengalu-alukan Program Peningkatan Rumah (HIP), yang menyelesaikan masalah penyenggaraan flat usang dan dijalankan di estet mereka pada tahun lalu, beberapa isu lain seperti kebocoran air tidak dapat diselesaikan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, DPM Heng berkata bahawa banyak estet perumahan di East Coast, terutama di sekitar Bedok dan Bedok South, telah dibina pada tahun 1970-an, dan para penduduk jauh lebih muda semasa mereka berpindah ke kawasan tersebut ketika itu.

Majlis Bandaran East Coast telah bekerjasama dengan agensi-agensi seperti HDB untuk menyegarkan semula kawasan tersebut, tambahnya.

Usaha ini termasuk memasang lebih banyak kemudahan mesra warga emas, seperti tanjakan, untuk membantu warga tua yang mengalami masalah mobiliti meninggalkan rumah mereka dan mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan.

Rumah usang bukan sahaja membimbangkan penghuni HDB – kira-kira 144 rumah teres dan rumah sebandung di Jalan Chempaka Puteh, Jalan Chempaka Kuning dan Bedok Road sedang menghadapi penghujung tempoh pajakan, yang akan luput menjelang Ogos 2034.

Dengan baki kira-kira sembilan tahun, penduduk seperti pesara Soo Yok Tai yang berusia 77 tahun telah meminta bantuan daripada Anggota Parlimen Cheryl Chan untuk berurusan dengan Camelot Trust, firma amanah yang menguruskan estet itu.

"Kami tidak pasti apa yang perlu dilakukan setelah pajakan kami tamat tempoh kelak," kata Encik Soo, yang membeli rumahnya pada tahun 1972.
Sebanyak 144 rumah teres dan rumah sebandung di Jalan Chempaka Puteh, Jalan Chempaka Kuning dan Bedok Road sedang menghadapi penghujung pajakan bagi rumah mereka yang akan tamat tempoh menjelang Ogos 2034. (Gambar: CNA/Nuria Ling)
4. AKSES & KESELAMATAN

Pesara, Cik Chang, yang hanya mahu dikenali dengan nama keluarganya, berkata masih ramai pengguna alat mobiliti peribadi (PMD) di laluan pejalan kaki, menjadikannya berbahaya untuk warga emas di kawasan itu.

"Terdapat ramai warga emas dan orang ramai perlu menghormati bahawa mereka berjalan perlahan-lahan," kata Cik Chang, penduduk Siglap.

Sementara itu, Cik Araleen Chang, yang tidak mempunyai kaitan dengan Cik Chang, berharap flat HDB di Siglap akan lebih mudah diakses untuk mereka yang berkerusi roda.

Neneknya menggunakan kerusi roda dan sering bergantung pada laluan pejalan kaki berbumbung dan lif untuk bergerak ke sana sini.

"Saya fikir lebih banyak kawasan berbumbung akan membantu golongan warga tua," kata jururawat berusia 25 tahun itu. Dia menghadapi cabaran mencari kawasan berbumbung untuk teksi menjemput neneknya, dan menolak kerusi roda sambil memegang payung juga mencabar bagi penjaga sepertinya.

5. KEBERSIHAN ESTET DI SEKITAR BLOK SEWA

Para penduduk berkata estet mereka sebahagian besarnya bersih. Sungguhpun demikian, mereka yang tinggal berhampiran blok-blok sewa mendapati lebih banyak sampah berbanding dengan estet-estet lain.

Apabila Mediacorp berkunjung ke tiga blok sewa pada 12 Feb, sampah seperti kertas tisu dan beg plastik kelihatan di sekitar kolong flat dan kawasan berumput yang terletak berdekatan.

"Biasanya ia tidak kelihatan begitu teruk kerana pekerja pembersihan di sini sangat cekap," kata seorang pesara berusia 70-an yang tinggal di flat sewa di Bedok South. Dia tidak mahu namanya didedahkan atas sebab privasi.

Penduduk lain berkata, sampah sarap hanya kelihatan apabila pekerja pembersihan tidak berada di kawasan itu selama dua hari atau lebih.

Beberapa penduduk, seperti pegawai awam berusia 53 tahun, Lim Choon Seng, berkata bahawa lebih banyak usaha untuk mengintegrasikan penghuni blok sewa ke dalam estet itu boleh membantu memupuk tahap tanggungjawab yang lebih tinggi dan mengurangkan tingkah laku anti-jiran.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Majlis Bandaran East Coast menyatakan bahawa walaupun kebersihan merupakan pertimbangan penting bagi para penduduk, sampah yang berlambak boleh menjadi perkara yang rumit.

Majlis Bandaran itu juga cuba bekerjasama dengan para sukarelawan untuk mendampingi individu yang telah membuang sampah, mencari jalan untuk membantu dan mencegah kejadian itu berulang pada masa akan datang.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan