Skip to main content

Singapura

GE2025: Grace Fu tidak jangka pasukan Jurong East-Bukit Batok menang besar, sudah sedia tangani isu penduduk

Dengan menaiki bas Hippo bertingkat terbuka, pasukan calon PAP dari GRC Jurong East-Bukit Batok turun padang pada pagi Sabtu (3 Mei) untuk menyantuni penduduk dan menyampaikan penghargaan atas sokongan yang diberikan semasa Pilihan Raya Umum 2025.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 May 2025 10:26PM
SINGAPURA: Dengan menaiki bas Hippo bertingkat terbuka, pasukan calon PAP dari GRC Jurong East-Bukit Batok turun padang pada pagi Ahad (4 Mei) untuk menyantuni penduduk dan menyampaikan penghargaan atas sokongan yang diberikan semasa Pilihan Raya Umum 2025.

Pasukan lima anggota yang diketuai Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu itu, dianggotai oleh Menteri Negara bagi Kesihatan dan Pembangunan Digital, Cik Rahayu Mahzam; bekas calon Hougang, Encik Lee Hong Chuang; dan Encik David Hoe.

Mereka melalui estet perumahan di Jurong East, Bukit Batok dan Clementi — tiga kawasan yang sebelum ini sebahagiannya berada di bawah GRC Jurong dan SMC Bukit Batok.

Pasukan tersebut menang selesa dengan meraih 76.66 peratus undi, menewaskan parti lawan dari Red Dot United (RDU).

Bercakap kepada pihak media di persinggahan terakhir di Pasar dan Pusat Penjaja Yuhua Village, Cik Fu menyatakan pasukannya berpuas hati dengan prestasi pasukannya meskipun ia merupakan sebuah pasukan baru.

"Memandangkan pasukan ini adalah pasukan baru dan terdapat kawasan-kawasan yang kami belum begitu kenali. Namun dalam tempoh sembilan atau sepuluh hari lalu, kami menerima banyak maklum balas daripada penduduk. Mereka menyuarakan cadangan serta berkongsi beberapa masalah dan kebimbangan mereka.

“Ada masalah itu dapat diselesaikan dalam masa yang pendek dan ada mengambil masa yang lebih panjang untuk dirancangkan dan terapkan. Setiap saranan penting buat kami dan akan kami laksanakan,” ujarnya.

Cik Fu turut menyatakan bahawa isu seperti keselamatan pekerjaan dan kos sara hidup kekal sebagai kebimbangan utama dalam kalangan penduduk.

"Sudah tentu, saya rasa dalam masa terdekat ini, keselamatan pekerjaan dan kos sara hidup kekal sebagai isu paling utama dalam fikiran rakyat. Kini, terdapat banyak program sosial yang hanya dilaksanakan di satu bahagian, dan mungkin tidak di bahagian lain.

"Jadi saya fikir, ada banyak potensi untuk kita lihat semula bagaimana kita boleh menggabungkan sumber-sumber yang ada, dan berkongsi idea-idea baik antara bahagian-bahagian untuk dilaksanakan secara lebih menyeluruh di seluruh GRC Jurong East-Bukit Batok."

Beliau menyarankan agar inisiatif sosial sedia ada yang kini dilaksanakan secara setempat dapat diperluas ke seluruh kawasan undi bagi memberi manfaat yang lebih menyeluruh kepada penduduk.

Antara penduduk yang menyambut kehadiran mereka ialah Cik Rubiah Rahim, 69 tahun, seorang pesara dan sukarelawan Lions Befriender yang menetap di Clementi.

"Jumpa AP baru. Mereka menang. Dulu GRC Jurong. Anggota Parlimennya Dr Tan Wu Meng sudah bersara. Dia pun baik juga," menurut pesara yang berusia 69 tahun itu.

Cik Rubiah turut berkongsi pengalamannya bertemu calon baharu PAP, Encik David Hoe, sewaktu bulan Ramadan lalu.

“Kita ada bagi bubur masa Ramadan. Saya ajak dia tengok lukisan. Dia suka. Dia kata dia ingin menulis tentang sumbangan saya di Facebook,” ujar Cik Rubiah sambil tersenyum.
Sumber : BERITA Mediacorp/MY/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita