Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: Grace Fu bakal ketuai pasukan PAP di GRC Jurong East-Bukit Batok; Lee Hong Chuang dari Hougang sertai barisan calon

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu akan mengetuai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) baharu Jurong East-Bukit Batok dalam pilihan raya akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu akan mengetuai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) baharu Jurong East-Bukit Batok dalam pilihan raya akan datang.

Turut menyertai beliau ialah dua muka baharu di kawasan itu: Pengarah badan amal David Hoe dan mantan wakil Hougang, Lee Hong Chuang. Dua lagi individu bagi pasukan lima anggota itu ialah Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Rahayu Mahzam – yang sekarang ini merupakan Anggota Parlimen GRC Jurong – dan Menteri Negara Pengangkutan merangkap Undang-Undang, Murali Pillai, yang kini mewakili Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Bukit Batok.

Pengumuman tersebut dibuat pada Isnin (14 Apr) di pejabat Majlis Bandaran Jurong-Clementi.

Ini menandakan kembalinya Cik Fu ke barisan GRC selepas lebih sedekad. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Anggota Parlimen di GRC Jurong dari 2006 hingga 2011 sebelum berpindah untuk menerajui SMC Yuhua. Beliau kekal sebagai satu-satunya menteri Kabinet penuh yang berkhidmat di SMC.

Biarpun semua anggota barisan PAP di GRC yang disusun semula ini adalah “calon baharu”, “kami bukanlah baharu dari segi khidmat masyarakat atau pelibatan politik,” kata Cik Fu.

TAMBAHAN BAHARU

Encik Lee, 55 tahun, merupakan wakil lama PAP di Hougang, yang pernah bertanding di kubu kuat Parti Pekerja (WP) itu dalam Pilihan Raya Umum 2015 dan 2020. Beliau meletak jawatan sebagai pengerusi cawangan PAP di Hougang pada Oktober 2023.

SMC Hougang diterajui WP sejak 1991, apabila mantan ketuanya, Low Thia Khiang, memenangi kerusi tersebut buat kali pertama. Pada pilihan raya terakhir pada 2020, calon WP Dennis Tan mempertahankan kerusi itu dengan meraih 61.21 peratus undi, mengalahkan Encik Lee.

“Kawasan barat Singapura bukan asing bagi saya. Saya membesar di barat. Selepas berkahwin, saya juga tinggal di sana pada usia muda,” kata Encik Lee, seorang mantan ahli gimnastik kebangsaan.

Encik Hoe, 37 tahun, ialah seorang pengarah kedermawanan di badan amal berdaftar The Majurity Trust, di mana beliau melancarkan beberapa program belia. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai anggota Majlis Belia Kebangsaan selama lima tahun dan kini merupakan ahli majlis daerah bagi Majlis Pembangunan Masyarakat Tengah Singapura.

Beliau diperkenalkan kepada para penduduk awal bulan ini oleh Cik Fu semasa pelancaran pelan induk lima tahun majlis bandaran bagi tempoh 2026 hingga 2030.

“Saya berada di sini hari ini bukan semata-mata kerana usaha saya sendiri, tetapi kerana ramai yang dengan murah hati telah mencipta peluang untuk saya,” kata Encik Hoe semasa sidang media pada Isnin.

“Dan sebab itulah saya berusaha untuk membalas budi dengan mencipta peluang buat ramai lagi.”

SEMPADAN BAHARU

GRC Jurong East-Bukit Batok dibentuk hasil daripada penggabungan SMC Bukit Batok dan Yuhua, sebahagian daripada SMC Hong Kah North, serta sebahagian daripada GRC Jurong yang sedia ada, berikutan semakan sempadan kawasan undi terkini. GRC tersebut mempunyai seramai 142,510 pengundi.

Bagi mengekalkan nisbah wakil rakyat kepada pengundi, sebuah SMC baharu, Jurong Central, sudah diwujudkan daripada GRC Jurong yang sedia ada.

Parti pembangkang Red Dot United telah menyuarakan hasrat untuk bertanding di GRC Jurong East-Bukit Batok.

Secara tradisi, GRC Jurong merupakan kubu kuat PAP, dan merupakan GRC dengan prestasi terbaik bagi parti itu dalam dua pilihan raya lalu — memperoleh 79.29 peratus undi pada 2015 dan 74.61 peratus pada 2020. Kawasan tersenbut sebelum ini diterajui mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam, yang meninggalkan politik untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 2023.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan