Skip to main content

Singapura

GE2025: Gan Kim Yong pimpin pasukan PAP di GRC Punggol, satu lawan satu dengan WP

Anggaran Waktu Membaca:
  GE2025: Gan Kim Yong pimpin pasukan PAP di GRC Punggol, satu lawan satu dengan WP

GRC Punggol: PAP (atas, dari kiri) Dr Janil Puthucheary, DPM Gan Kim Yong, Cik Sun Xueling dan Cik Yeo Wan Ling; WP (dari kiri) Encik Jackson Au, Cik Alia Mattar, Encik Harpreet Singh dan Cik Alexis Dang. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 23 Apr 2025 04:15PM Dikemas Kini : 24 Apr 2025 02:42AM
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong pada Rabu (23 Apr) membuat langkah mengejut dengan menyertai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan berdepan dengan Parti Pekerja (WP) di GRC Punggol pada Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025) pada 3 Mei.

Calon dari kedua-dua parti berjaya memfailkan borang pencalonan mereka di Sekolah Menengah Yusof Ishak pada Rabu (23 Apr).

PAP menampilkan pasukan empat anggota dengan DPM Gan, Menteri Negara Kanan Dr Janil Puthucheary dan Sun Xueling, serta Yeo Wan Ling.

Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, sudah didedahkan minggu lalu sebagai menteri utama bagi pasukan GRC Chua Chu Kang. Tetapi pada Rabu, kira-kira separuh jalan tempoh penamaan calon iaitu satu jam dari pukul 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, beliau muncul di Sekolah Menengah Yusof Ishak dan kemudian memfailkan borang pencalonannya bersama pasukan PAP di Punggol.

Pasukan WP pula terdiri daripada muka baharu sepenuhnya iaitu Encik Harpreet Singh, Cik Alia Mattar, Cik Alexis Dang dan Encik Jackson Au.

DPM GAN MENGENAI PEMINDAHANNYA

Punggol, dengan 123,557 pengundi, adalah Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) baharu yang terdiri daripada estet Punggol yang dahulunya dalam GRC Pasir Ris-Punggol dan SMC Punggol West - kedua-duanya kini tidak lagi wujud.

Encik Gan, dalam ucapan selepas pencalonannya disahkan, berkata: "Pasukan saya dan saya akan terus bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan anda, untuk terus berkhidmat kepada anda selama lima tahun akan datang dan menjamin masa depan yang lebih baik."

Beliau kemudian ditanya oleh wartawan mengenai sebab di sebalik langkah mengejutkan itu, dan bila keputusan itu dibuat.

"Apabila kita melakukan pemindahan; ia sentiasa melibatkan pertimbangan oleh kepimpinan parti dan banyak lagi faktor. Penduduk sentiasa dalam faktor utama kami," katanya. "Rancangan sentiasa dibuat bergantung kepada ketersediaan calon; kita sentiasa perlu membuat penyesuaian."

Encik Gan berkata beliau meninggalkan penduduknya di Chua Chu Kang, di mana beliau menjadi Anggota Parlimen sejak 2011, "di bawah jagaan yang terbaik"; dan beliau berbesar hati dicalonkan di Punggol dengan pasukan yang "berkebolehan" yang sudah berada di lapangan selama bertahun-tahun.

Ditanya jika beliau mempunyai sebarang hubungan dengan Punggol, dan apakah perbezaan dengan penduduk Chua Chu Kang, beliau berkata: "Mereka mempunyai keperluan dan aspirasi yang berbeza. Dan kita perlu melihat bagaimana kita boleh memenuhi visi mereka, impian mereka."

Beliau kemudian berkata langkahnya adalah "sebahagian daripada pembaharuan PAP".

"Jadi kita sentiasa mempunyai hala tuju yang baharu. Kita sedang memasuki era yang bukan kebiasaan kita - jadi kita memerlukan pasukan yang kuat," kata Encik Gan. "Apa yang penting adalah dalam kalangan calon kita, mereka mempunyai pengalaman yang berbeza-beza dan idea segar, dan dari pelbagai latar belakang. Saya baharu di kawasan ini, tetapi saya berjanji kepada anda saya akan menyesuaikan diri dengan pantas. Saya akan belajar secepat mungkin."

Encik Harpreet dari pasukan WP berkata dalam ucapannya bahawa ia adalah satu "keistimewaan seumur hidup" untuk pasukannya tampil dan bertanding dalam pilihan raya ini.

"Ini adalah pasukan yang kukuh, kukuh, kukuh. Kami akan bekerja sangat, sangat keras. Kami akan bersuara untuk anda. Kami mahu mewakili anda, selalu. Jadi marilah kita mencipta sejarah!"

Pasukannya bagaimanapun tidak bercakap dengan media selepas itu.

Pada 2020, pasukan PAP yang terdiri daripada Menteri Kanan Teo Chee Hean, Dr Puthucheary, Encik Sharael Taha, Encik Desmond Tan dan Cik Yeo memperolehi 64.16 peratus undi dalam persaingan tiga penjuru di Pasir Ris-Punggol, menentang Perikatan Demokratik Singapura (SDA) dan Parti Suara Rakyat (PV).

Untuk pilihan raya akan datang, Encik Sharael dan Encik Tan bertanding di GRC Pasir Ris-Changi, dalam pasukan yang diketuai oleh Cik Indranee Rajah.

Cik Sun bertanding di SMC Punggol West dalam Pilihan Raya Umum (GE) yang lalu, di mana beliau mengalahkan Tan Chen Chen dari WP setelah meraih 60.98 peratus undi.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita