Skip to main content

Singapura

GE2025: Edwin Tong sasar integrasi 'lancar' selepas Joo Chiat diserap ke dalam GRC East Coast

Memahami “landskap" GRC East Coast dan bagaimana Pelan East Coast memberi manfaat kepada penduduk adalah keutamaan pertama, menurut Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong, pada Ahad (23 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Edwin Tong sasar integrasi 'lancar' selepas Joo Chiat diserap ke dalam GRC East Coast

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong, bercakap dengan pihak media pada 23 Mac 2025 di Blok 16, Bedok South. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 23 Mar 2025 04:21PM Dikemas Kini : 23 Mar 2025 04:23PM
SINGAPURA: Memahami “landskap" GRC East Coast dan bagaimana Pelan East Coast memberi manfaat kepada penduduk adalah keutamaan pertama, menurut Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong, pada Ahad (23 Mac).

“Kami mahu mengurangkan gangguan kepada penduduk. Walaupun kami memasuki kawasan baharu, kami ingin mencari cara untuk bergabung dengan sebaik dan selancar mungkin,” katanya.

Menteri Kedua Undang-Undang itu berkata beliau juga telah mengambil langkah untuk bertemu beberapa sukarelawan dari kawasan lain dalam GRC East Coast, seperti kawasan Siglap dan Chai Chee.

Encik Tong, yang telah menjadi Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade mewakili kawasan Joo Chiat sejak 2015, berkata: “Walaupun berat untuk meninggalkan GRC Marine Parade, saya berharap jika diberi peluang, saya dapat terus berkhidmat kepada penduduk Joo Chiat, tetapi di bawah naungan GRC East Coast.”
Encik Edwin Tong dan Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat, beramah mesra dengan para penduduk di Blok 16 Bedok South pada 23 Mac 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Encik Tong berkata demikian kepada media bersama Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat, pada pagi Ahad, selepas sesi kunjungan bertemu penduduk di pusat penjaja di Blok 16 Bedok South Road.

Berikutan semakan sempadan kawasan undi, kawasan Joo Chiat yang diwakili Encik Tong, bersama sebahagian kawasan Kembangan-Chai Chee, dipindahkan dari GRC Marine Parade ke GRC East Coast.

Encik Heng berkata terdapat “banyak sinergi” dan “persamaan” antara GRC East Coast dan kawasan Joo Chiat. Beliau turut berkata bahawa acara masyarakat seperti pembersihan pantai sering melibatkan East Coast dan Joo Chiat, memandangkan kawasan tersebut saling terhubung.

“Malah, terdapat pelbagai perkara yang menjadikan penyatuan ini agak lancar,” katanya.

Encik Tong menambah: “Pada akhirnya, apa yang penting bagi sebuah kawasan baharu yang menyertai GRC yang sudah kukuh adalah untuk saya meraih keyakinan dan kepercayaan penduduk di sini, dan juga memahami keperluan mereka supaya saya dapat berkhidmat dengan lebih baik.”
Encik Edwin Tong dan Encik Heng Swee Keat beramah mesra dengan pemilik gerai di Blok 16, Bedok South pada 23 Mac 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Pada pilihan raya 2020, GRC East Coast merupakan antara kawasan yang paling sengit dipertandingkan, diketuai Encik Heng dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Cik Nicole Seah dari Parti Pekerja (WP).

PAP meraih 53.41 peratus undi, menjadikannya antara kemenangan paling tipis dalam Pilihan Raya Umum tersebut.

Keputusan PAP di East Coast pada 2020 merupakan satu penurunan berbanding 60.73 peratus yang dicapai pada 2015, manakala WP mencatat prestasi terbaik mereka di GRC itu sejak 2006.

"DI LUAR KONTEKS"

Encik Tong turut menjawab soalan mengenai klip video berdurasi selama 30 saat yang menunjukkan beliau di satu sesi kunjungan di kedai kopi Marine Terrace baru-baru ini.

Video yang pertama kali dikongsi di Facebook dan kemudian di Reddit itu menunjukkan Encik Tong mendekati penduduk untuk menyapa mereka.

Di pertengahan video tersebut, seorang lelaki warga emas kelihatan membuat isyarat kurang sopan apabila Encik Tong bercakap dengan penduduk lain di mejanya.

Video itu dirakam dan dimuat naik oleh pengguna Facebook, Kent Lau, pada pagi Sabtu, yang menulis dalam kapsyennya bahawa walaupun beliau merasakan rombongan Encik Tong "agak besar", beliau berkata bahawa "keadaan" dengan lelaki warga emas itu adalah "benar-benar mesra".

"Ia mengecewakan apabila sesetengah orang mengambil video saya di luar konteks dan memutarbelitkan kebenaran."

Pengguna itu kemudian memuat naik catatan pada petang Sabtu dan berkata beliau menyesali kekeliruan yang ditimbulkan video tersebut.

Seorang sukarelawan bagi Encik Tong juga mengambil peluang di Facebook untuk menjelaskan apa yang berlaku.

Dalam catatan pada Sabtu malam, Encik Delane Lim menulis bahawa video tersebut telah “diambil di luar konteks” untuk menggambarkan bahawa penduduk tidak menyambut kedatangan Encik Tong.

Apabila ditanya Mediacorp mengenai perasaan beliau tentang video dan komen tersebut, Encik Tong berkata sambutan yang diterimanya semasa kunjungan ke Marine Parade adalah “mesra” dan beliau dapat berbual dengan beberapa penduduk.

“Malangnya, video itu kemudiannya diambil beberapa laman dan digunakan di luar konteks, dengan cara, yang saya rasa, memberi gambaran negatif, bagi tujuan yang jelas sekali untuk mendorong agenda politik.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita