Skip to main content

Singapura

GE2025: Dua wajah baharu PAP diumumkan di acara Majlis Bandaran Jurong-Clementi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Apr 2025 06:25PM Dikemas Kini : 05 Apr 2025 09:46PM
SINGAPURA: Dua wajah baharu daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) diperkenalkan di Jurong oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Sabtu (5 Apr).

Pengarah badan amal David Hoe dan peguam Cassandra Lee akan bantu menguruskan kawasan Jurong, Clementi dan Bukit Batok, kata Cik Fu, di majlis pelancaran pelan induk lima tahun Majlis Bandaran Jurong-Clementi bagi tahun 2026 hingga 2030.

Cik Cassandra Lee adalah seorang peguam dengan pengkhususan dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan dan keselamatan siber di syarikat perundingan pengurusan EY.

Beliau mula bergiat sebagai seorang sukarelawan di Yuhua 16 tahun lalu dan telah menerajui sebuah projek untuk meningkatkan akses kemudahan kepada individu dengan keupayaan berbeza, di mana beliau bekerja rapat dengan para penduduk dan majlis bandaran, kata Cik Fu yang juga Anggota Parlimen bagi SMC Yuhua.

Encik David Hoe, pengarah kedermawanan di badan amal berdaftar The Majurity Trust, sebelum ini dilihat di GRC Jalan Besar dan GRC Tampines.

"Beliau mahu memberi peluang kepada golongan belia untuk membina keupayaan diri dan menyedari kekuatan masing-masing dan bahkan telah mulakan serta mengekalkan beberapa program untuk belia, kata Cik Fu.

"Mereka akan menyuntik tenaga baharu dan pengalaman dalam ikatan dan pembangunan masyarakat kepada pasukan sedia ada," kata Cik Fu mengenai kedua-dua muka baharu itu.

Turut hadir di acara pada Sabtu adalah AP Bukit Batok Murali Pillai dan barisan AP GRC Jurong Rahayu Mahzam, Xie Yao Quan dan Dr Tan Wu Meng.

"Pasukan yang anda lihat hari ini akan memimpin GRC Jurong East-Bukit Batok dan SMC Jurong Central, jika kami diberikan mandat oleh anda," kata Cik Fu.

KENDALIKAN MAJLIS BANDARAN BAHARU DENGAN BAIK

Berucap kepada lebih 200 rakan kongsi masyarakat, pemimpin akar umbi dan para penduduk, Cik Fu berkata sempadan kawasan undi baharu itu tidak akan menjejas tugas pasukan itu.

Cik Fu menarik perhatian bahawa kawasan yang berada di bawah bidang kuasa majlis bandaran itu akan beralih mengikut peta kawasan undi baharu yang diterbitkan pada bulan lalu, di mana GRC Jurong akan dipecahkan menjadi GRC Jurong East-Bukit Batok dan SMC Jurong yang baharu.

"Kami teruja dengan prospek ini dan tidak sabar untuk berkhidmat kepada penduduk dari Hong Kah.

"Dengan pengalaman dan rekod prestasi kami, kami yakin dapat mengendalikan majlis bandaran baharu ini dengan baik," katanya.

Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi menggabungkan SMC Bukit Batok dan SMC Yuhua, bersama dengan sebahagian SMC Hong Kah North, dengan GRC Jurong untuk membentuk GRC Jurong East-Bukit Batok yang baharu.

Ia juga mewujudkan SMC Jurong Central bagi mengekalkan nisbah pengundi kepada anggota parlimen GRC.

Di acara yang sama, Cik Fu mengumumkan Pelan Induk Lima Tahun bagi kawasan itu, sambil berkata ia "menjanjikan lebih daripada sekadar penyenggaraan estet yang lebih baik".

"Kami akan menyuntik pembaharuan terhadap sembilan estet lama, memperkenalkan inisiatif "Sukan Dalam Kawasan" di Yuhua, membina lebih daripada 40 laluan pejalan kaki berbumbung, menaik taraf 41 sudut senaman dan 30 taman permainan.

"Secara keseluruhan, para penduduk boleh menjangkakan lebih 200 projek naik taraf dijalankan."
Sumber : CNA/HA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita