GE2025: Dr Tan Cheng Bock zahir penghargaan kepada penyokong PSP
Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP) Dr Tan Cheng Bock mengucapkan tahniah kepada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC West Coast-Jurong West atas kemenangan mereka dalam Pilihan Raya Umum tahun ini.
Pasukan Parti Kemajuan Singapura (PSP) kalah dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) kepada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee. (Gambar: Facebook/Dr Tan Cheng Bock)
Pasukan PAP di kawasan undi itu diterajui oleh Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.
“Kepada Menteri Desmond Lee dan pasukannya, para pengundi di GRC West Coast–Jurong West telah memberikan anda satu penghormatan besar – iaitu undi dan kepercayaan mereka untuk penggal seterusnya,” kata Dr Tan dalam catatan yang dimuat naik ke Facebook pada Ahad (4 Mei).
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Encik Lee atas kenyataannya bahawa PSP telah “memberikan persaingan yang sengit, mengemukakan idea-idea yang bernas, serta mendampingi pasukannya untuk menjadikan Singapura lebih baik”.
Dr Tan juga memuji cara Encik Lee menjalankan kempen pilihan raya, sambil menyatakan bahawa beliau wajar dicontohi dan dijadikan teladan oleh para anggota partinya.
Dr Tan turut melahirkan penghargaan kepada para penyokong PSP dan dengan rendah hati menyatakan bahawa partinya akan berusaha lebih gigih pada masa hadapan untuk meyakinkan para penduduk yang tidak memilih PSP kali ini.
Ketua parti itu juga menegaskan bahawa PSP bukan sahaja berdepan dengan lawan politik, tetapi turut berhadapan dengan cabaran seperti perubahan pada sempadan kawasan undi – menjadikan persaingan kali ini amat sengit.
Namun begitu, beliau memuji semangat para penyokong yang telah menyemarakkan suasana kempen dan iltizam parti sepanjang kempen pilihan raya.
“Secara peribadi, sokongan dan sorakan anda yang lantang memberi tenaga kepada saya yang berusia 85 tahun ini semasa berkempen. Terima kasih,” kata Dr Tan.
“Kepada para penyokong muda kami, jangan berputus asa. Anda adalah masa depan Singapura, dan PSP akan terus menjadi platform untuk anda bersuara,” tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.