GE2025: Dr Maliki tekun santuni masyarakat Melayu/Islam; prihatin terhadap aspek kebajikan, kata Masagos
Dr Maliki Osman 'suara yang tegas, mendengar dengan teliti keprihatinan penduduk, sambil memperjuangkan keperluan mereka dan sentiasa mengutamakan orang ramai'.
Sikapnya yang mesra dan mudah didampingi menjadikan beliau seorang tokoh yang sangat disayangi dalam kalangan masyarakat dan keikhlasannya semasa berkhidmat mendapat kepercayaan dan penghormatan ramai.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata demikian mengenai Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Maliki Osman dalam catatan Facebooknya pada Isnin (21 Apr) selepas Dr Maliki mengumumkan persaraannya daripada bidang politik.
Sejak menceburi bidang politik dua dekad lalu, Dr Maliki telah menyandang jawatan sebagai Anggota Parlimen GRC East Coast, Datuk Bandar, Menteri Negara Kanan dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri serta Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar.
Menurut Encik Masagos, Dr Maliki adalah seorang pemimpin yang tegas dan teliti, namun ramah dan mesra dengan masyarakat.
Sepanjang tempoh khidmatnya, Dr Maliki giat memperjuangkan kebajikan dan kemaslahatan masyarakat Melayu/Islam.
Encik Masagos juga memberi contoh mengenai kerjasamanya dengan Dr Maliki dalam pelbagai tugasan yang dijalankan termasuk inisiatif M³.
Kata Encik Masagos: "Pemahaman mendalam beliau tentang cabaran sosioekonomi masyarakat membantu membentuk dasar dan program-program bermakna yang memperkasa dan meningkatkan kehidupan keluarga Melayu/Islam."
Antara inisiatif lain yang turut disokong Dr Maliki termasuk projek Jalur Budaya Geylang Serai, yang meraikan warisan dan identiti masyarakat Melayu, serta Projek DIAN, yang mendorong keluarga Melayu/Islam supaya mandiri dan mencapai mobiliti sosial.
Dr Maliki juga mempengerusikan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA), yang bertujuan untuk mempersiapkan kepimpinan agama masa hadapan. Jawatankuasa itu menekankan nilai-nilai masyarakat, sambil memastikan golongan asatizah dapat menyesuaikan diri dengan dunia yang kian berubah-ubah.
"Terima kasih, Maliki, atas perkhidmatan dan pengorbanan anda, nasihat serta persahabatan yang ikhlas. Saya mendoakan yang terbaik untuk anda sekeluarga," kata Encik Masagos, mengakhiri catatan Facebook beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.