GE2025: Dr Chee Soon Juan luah hasrat bertanding di Bukit Batok
Parti Demokratik Singapura (SDP) menyatakan pada Khamis (20 Feb) bahawa setiausaha agungnya Chee Soon Juan berhasrat untuk bertanding di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Bukit Batok pada Pilihan Raya Umum (GE2025) akan datang.
Setiausaha Agung SDP Dr Chee Soon Juan semasa perbahasan politik pada 1 Julai 2020. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Dr Chee, yang menjadi setiausaha agung SDP sejak 1993, bertanding di SMC Bukit Batok pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).
Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap parti tersebut berkata: "SDP akan terus mengekalkan tumpuan utamanya kepada kawasan undi yang kehadirannya telah dikukuhkan di sana, dan berharap untuk berkongsi lebih banyak maklumat mengenai rancangannya apabila laporan EBRC (Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi) dikeluarkan kelak."
Pilihan Raya Umum akan datang mesti diadakan selewat-lewatnya sebelum 23 Nov.
Sempadan kawasan undi untuk pilihan raya umum akan datang belum ditentukan. Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengumumkan pada 22 Jan bahawa EBRC telah dibentuk untuk menjalankan semakannya.
Jawatankuasa tersebut telah diarahkan untuk menyarankan jumlah dan saiz Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan SMC.
SDP bertanding di dua GRC dan tiga SMC dalam Pilihan Raya Umum sebelum ini (GE2020), tetapi gagal memenangi mana-mana kerusi parlimen.
Dr Chee pernah bertanding menentang Encik Murali Pillai daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP), tetapi kalah setelah memperolehi 45.2 peratus undi. Ia satu peningkatan berbanding 38.8 peratus yang diperolehi semasa bertanding dalam pilihan raya kecil pada 2016.
Pilihan raya kecil itu diadakan selepas David Ong dari PAP meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Bukit Batok atas alasan 'tingkah laku tidak wajar'. Encik Ong dipercayai menjalin hubungan sulit dengan seorang aktivis akar umbi.
Dr Chee memuat naik video ke laman Facebooknya pada Rabu (19 Feb) mengenai majlis jamuan malam yang akan diadakan untuk mengumpul dana bagi kempen pilihan raya parti itu di Bukit Batok.
Dalam video itu, Dr Chee bercakap mengenai sistem pendidikan semasa, sambil mendakwa bahawa pendekatan dipacu kandungan dan berteraskan peperiksaan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) "belum melahirkan masyarakat yang dilengkapi dengan kemahiran" untuk membawa Singapura ke peringkat lebih tinggi.
Dr Chee meminta orang ramai memilih tarikh antara 18 Feb dan 26 Feb untuk mengadakan majlis jamuan malam itu. Ia hanya dibuka kepada warga Singapura sahaja, tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.