GE2025: Desmond Lee ketua pasukan PAP bagi GRC West Coast-Jurong West; Dr Hamid Razak muka baharu
Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee akan mengetuai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC West Coast-Jurong West dalam Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025).

Barisan calon PAP bagi GRC West Coast-Jurong West dan SMC Pioneer semasa sidang media pada 15 April 2025. (Gambar: CNA/Lauren Chian)
Pasukan lima anggota itu termasuk dua calon kali pertama: pakar bedah ortopedik Hamid Razak, 39 tahun, dan peguam Cassandra Lee, 33 tahun, yang ditampilkan parti itu pada Selasa (15 Apr).
Mereka akan menyertai Setiausaha Parlimen Kanan Shawn Huang, yang Divisyen Taman Jurong dipindahkan daripada GRC Jurong di bawah semakan sempadan kawasan undi baharu, dan penyandang AP GRC West Coast Ang Wei Neng.
Anggota Parlimen Foo Mee Har, yang menceburi politik pada 2011 dan mewakili kawasan Ayer Rajah-Gek Poh, dan Rachel Ong, yang membuat penampilan sulung dalam Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) dan menyelia Divisyen Telok Blangah, tidak akan menjadi sebahagian daripada pasukan itu. Tidak jelas sama ada mereka berdua akan mengundurkan diri atau ditempatkan di kawasan undi lain.
Mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran, AP GRC tersebut sejak 1997, meletak jawatan pada Januari tahun lalu selepas didakwa atas tuduhan rasuah. Beliau akhirnya mengaku bersalah atas tuduhan mendapatkan ganjaran dan dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan pada Oktober lalu dan kini sedang menjalani tahanan di rumah.
Memperkenalkan calon-calon PAP di Pejabat Cawangan West Coast parti itu pada Selasa (15 Apr), Encik Lee berkata pasukan itu telah bekerjasama dengan penduduk dan sukarelawan untuk meningkatkan masyarakat melalui program sosial dan jangkauannya – terutamanya untuk warga emas, pemohon kerja dan belia.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk dan rakan kongsi kami atas kepercayaan dan keyakinan anda sejak beberapa tahun lalu dan kerana menyokong inisiatif penting ini,” katanya.
Beliau menambah bahawa pasukan GRC West Coast-Jurong West sedang mencari sokongan berterusan penduduk dalam pilihan raya akan datang, "supaya kami dapat melaksanakan rancangan kami dan terus melancarkan program sedia ada yang telah kami mulakan sejak beberapa tahun lalu".
GRC, yang dahulunya dikenali sebagai West Coast, merupakan kawasan undi yang paling ditandingi dalam Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020). PAP menang dengan 51.69 peratus undi semasa menentang Parti Kemajuan Singapura (PSP), yang memperoleh dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) untuk Encik Leong Mun Wai dan Cik Hazel Poa.
PSP telah mengesahkan bahawa ia akan bertanding lagi dai GRC tersebut pada tahun ini.
Kawasan undi itu telah mengalami perubahan yang ketara berikutan semakan sempadan kawasan undi terkini. Ia kini merangkumi bahagian Jurong West dan Taman Jurong, yang membawa kepada nama baharunya – GRC West Coast-Jurong West. Jumlah pengundi telah meningkat kepada 158,581 orang.
Untuk mengekalkan nisbah antara pengundi dan AP, kawasan paling timur bekas GRC tersebut, termasuk Harbourfront dan Sentosa, telah dipindahkan ke SMC Radin Mas, manakala Dover dan sebahagian Telok Blangah dipindahkan ke GRC Tanjong Pagar.
HAMID RAZAK
Dr Hamid, yang kini timbalan pengerusi cawangan PAP di Jurong Spring dan penasihat akar umbi, berkata beliau menceburi bidang politik kerana berasa serasi dengan nilai-nilai PAP dan didikannya sendiri di bawah dasar parti tersebut.
"Saya telah menjadi penerima manfaat dasar pemerintah PAP," katanya dalam temu bual berasingan dengan media tempatan. "Saya dibesarkan di kawasan Queenstown, saya belajar di sekolah di sana, berjaya dalam peperiksaan saya dan saya mendapat manfaat daripada sistem meritokrasi kita," katanya.
Dr Hamid berkata beliau mula didampingi untuk menyertai parti itu pada 2017 dan beliau bersetuju untuk menganggotainya.
Tiga tahun lalu, tanda-tanda bahawa beliau sedang dipersiapkan untuk jawatan politik menjadi lebih jelas, setelah beliau diamanahkan dengan tanggungjawab yang lebih besar - mengambil perancangan peringkat eksekutif di seluruh bahagian dan menyumbang wawasan dasar dalam kedua-dua forum tertutup dan awam.
Beliau menyatakan minat untuk meningkatkan celik kesihatan, menyesuaikan program SkillsFuture untuk menyokong “isi rumah berpendapatan rendah” dan menyentuh tentang isu pekerja hijrahan.
Mengenai bertanding dalam kawasan undi yang menyaksikan persaingan paling sengit pada 2020, Dr Hamid berkata "saya akan menyahut cabaran itu".
Walaupun beliau akur mengenai kehadiran Parti Kemajuan Singapura (PSP), terutamanya dengan legasi mantan AP dan pengasas PSP Tan Cheng Bock di kawasan itu, Dr Hamid berkata pasukan PAP akan memberi tumpuan kepada kekuatan dan saranan-saranan yang diusulkan.
Dr Hamid menambah bahawa beliau merancang untuk mengimbangi tugas Parlimen dengan kerjaya perubatannya jika dipilih.
"Ya, jadual saya mungkin padat, tetapi dengan perancangan yang baik, dengan penyelarasan yang baik, anda boleh membina kecekapan ke dalam sistem, dan ia boleh dicapai," katanya. "Ini bukan kali pertama seorang doktor menjadi ahli politik yang dipilih."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.