GE2025: Dengan persaingan berbilang penjuru dijangkakan, adakah ia akan beri kelebihan kepada PAP?
Jumlah parti politik yang meningkat dan bilangan tempat duduk yang terhad menjadikan pertandingan berbilang penjuru lebih berkemungkinan berlaku semasa GE2025. (Illustrasi: CNA/Nurjannah Suhaimi)
Sebanyak 97 kerusi di 33 kawasan undi akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum (GE2025) akan datang.
Berdasarkan laporan media mengenai pergerakan parti dan kenyataan yang dikeluarkan oleh parti-parti politik, sebanyak 13 daripadanya – lapan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan lima Kawasan Undi Perseorangan (SMC) – mungkin menyaksikan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang (GE2025).
Dua lagi, SMC Jalan Kayu dan GRC Tampines, mungkin akan menyaksikan pertembungan empat penjuru.
Jika senario sedemikian – tidak termasuk calon bebas – berlaku sepenuhnya, GE2025 akan menjadi salah satu pilihan raya paling sengit di Singapura yang pernah dipertandingkan.
Sungguhpun demikian, keadaan mungkin berbeza menjelang Hari Penamaan Calon, dengan para penganalisis politik percaya bahawa sesetengah parti pembangkang berkemungkinan akan mengelakkan persaingan berbilang penjuru.
Berdasarkan data dan sejarah, Dr Elvin Ong dari Jabatan Sains Politik Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata bahawa 95 peratus daripada semua pertandingan berbilang penjuru berpotensi diselesaikan sebelum Hari Penamaan Calon.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa parti pembangkang telahpun secara terbuka mengundurkan diri daripada kawasan-kawasan tertentu yang pada awalnya mereka katakan mahu bertanding di kawasan-kawasan undi tersebut, manakala rundingan dua hala antara parti dilaporkan sedang diadakan.
Sesetengah pemerhati politik, termasuk profesor madya dan mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Eugene Tan, menyatakan bahawa bilangan kawasan undi kali ini adalah lebih tinggi daripada biasa berbanding pilihan raya lalu.
Encik Jose Raymond, mantan Pengerusi Parti Rakyat Singapura (SPP), juga menyatakan bahawa pada tahun 2020 apabila beliau bertanding di SMC Potong Pasir, tidak banyak potensi berlaku persaingan berbilang penjuru sebelum Hari Penamaan Calon.
Dalam tujuh pilihan raya yang lalu sejak 1991, terdapat hanya 14 persaingan berbilang penjuru.
GE2020 menyaksikan GRC ditandingi oleh lebih dua parti buat pertama kali, apabila GRC Pasir Ris-Punggol ditandingi oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA) dan Parti Suara Rakyat (PV).
Satu-satunya pertandingan berbilang penjuru lain dalam sejarah politik Singapura berlaku hampir tiga dekad sebelum ini, dalam Pilihan Raya Kecil pada 1992 untuk Marine Parade.
Pasukan daripada Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Keadilan Singapura (SJP) telah dikalahkan oleh pasukan PAP yang diterajui oleh Perdana Menteri Goh Chok Tong ketika itu.
Persaingan berbilang penjuru bagi merebut SMC lebih kerap berlaku.
Pada 2020, SMC Pioneer menyaksikan persaingan antara Encik Patrick Tay dari PAP, Encik Lim Cher Hong dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) dan calon bebas Cheang Peng Wah.
Pada GE2015, tiga SMC menyaksikan persaingan berbilang penjuru, dua daripadanya membabitkan calon bebas.
Dan pada GE2011 pula, terdapat persaingan tiga penjuru bagi merebut satu SMC.
Para penganalisis berkata jika berlaku persaingan sedemikian, parti pemerintah lebih cenderung mendapat manfaat kerana undi pembangkang akan berpecah-pecah.
Atas sebab inilah parti-parti pembangkang secara tradisinya akan berbincang antara satu sama lain untuk memutuskan parti mana yang akan bertanding di sesebuah kawasan undi bagi mengelakkan persaingan berbilang penjuru.
Kini, sumber-sumber parti yang telah menghadiri rundingan sedemikian sejak beberapa tahun lalu memberitahu Mediacorp bahawa mesyuarat seperti itu tidak lagi produktif seperti dahulu. Ia juga tidak jelas sama ada mesyuarat sedemikian akan membantu menyelesaikan isu tersebut.
Ini sebahagiannya disebabkan oleh kemunculan parti-parti politik baharu, kata mereka.
Sebab lain ialah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sesetengah pemimpin parti telah mengambil pendirian yang lebih tegas mengenai strategi mereka, sama ada enggan berundur atau enggan mengambil bahagian dalam rundingan sedemikian.
Prof Madya Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata dengan landskap politik pembangkang menjadi "lebih berpecah-pecah dan lebih banyak parti pembangkang berbanding sebelum ini", persaingan berbilang penjuru adalah sesuatu yang "tidak boleh dielakkan".
Sejak GE2020, satu pakatan politik yang baharu, Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), dan satu parti politik baharu, Parti Bersatu Singapura (SUP), telah muncul dan menyatakan hasrat mereka untuk bertanding dalam GE2025.
PAR – terdiri daripada Parti Suara Rakyat (PV), Parti Reform (RP) dan Parti Progresif Demokratik (DPP) – diterajui oleh peguam Lim Tean.
Parti Bersatu Singapura (SUP) diketuai oleh mantan pengerusi RP Andy Zhu.
Selain itu, beberapa parti pembangkang lama telah menyatakan bahawa mereka mahu bertanding bagi merebut lebih banyak kerusi berbanding GE2020.
Ini sudah pasti menyumbang kepada tuntutan bertindih yang lebih besar dalam kalangan parti-parti pembangkang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.