Skip to main content

Singapura

GE2025: Chee Soon Juan dakwa PAP 'kritik dahulu, tiru kemudian'

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Chee Soon Juan dakwa PAP 'kritik dahulu, tiru kemudian'

Ketua SDP Chee Soon Juan berucap semasa rapat di luar Sun Plaza pada 30 Apr 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 01 May 2025 12:50AM
SINGAPURA: Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan pada Rabu (30 Apr) mengkritik komen Menteri Kesihatan Ong Ye Kung mengenai dasar-dasar parti itu, selepas Encik Ong berkata cadangan SDP tidak akan "menyumbang apa-apa" kepada Singapura.

"Empat perkataan yang ingin saya gunakan: 'Kritik dahulu, tiru kemudian'," kata Dr Chee, yang mendakwa ini adalah "buku panduan kegemaran" Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Calon SMC Sembawang West itu merujuk kepada beberapa contoh - salah satunya ialah cadangan SDP untuk skim insurans pengangguran bagi memberi bantuan kewangan kepada pekerja yang diberhentikan kerja dan sokongan untuk mereka diambil semula bekerja.

Pada 2016, Dr Chee mencadangkan skim insurans pemberhentian kerja di mana pekerja akan menerima tiga perempat daripada gaji terakhir mereka - dihadkan pada gaji median sedia ada - bagi tempoh enam bulan pertama mereka menganggur.

Pekerja yang masih menganggur selepas setengah tahun akan menerima separuh daripada gaji terakhir mereka untuk enam bulan berikutnya.

Ini akan dikurangkan lagi kepada suku daripada gaji terakhir mereka jika mereka masih menganggur selepas itu, seperti yang dilaporkan pada 2016.

Ketua SDP itu pada Rabu membandingkannya dengan skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture yang baru dilancarkan, yang memberi sokongan kewangan kepada pekerja berpendapatan rendah dan sederhana yang bukan menganggur secara sukarela.

Di bawah skim tersebut, mereka yang layak akan menerima bayaran dihadkan pada maksimum S$6,000 selama enam bulan.

Mereka perlu melengkapkan aktiviti berkaitan pencarian kerja setiap bulan dan memenuhi jumlah mata minimum untuk layak menerima bayaran.

Encik Ong memimpin pasukan PAP di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sembawang dalam pertandingan menentang pasukan SDP.

Dr Chee berkata: "Kita boleh memperluaskan jaringan keselamatan sosial, menyediakan penjagaan kesihatan universal, merombak pendidikan untuk memupuk pemikir kritis, mengurangkan ketidaksamaan dan membuka dasar-dasar untuk menjadi lebih telus dan responsif.

"Itulah visi SDP - itulah jalan menuju Singapura yang benar-benar makmur, di mana rakyat kita selamat dan bahagia."

Tujuh calon berucap di rapat itu - rapat kelapan parti itu dalam tempoh tujuh hari.

Antara calon yang berucap pada malam itu ialah pengerusi parti Paul Tambyah, yang menjelaskan bagaimana dasar-dasar SDP akan berfungsi sepanjang kehidupan seseorang - dari zaman kanak-kanak hingga ke persekolahan dan alam dewasa.

"Saya tahu ini kedengaran seperti sejenis utopia, tetapi semuanya boleh dicapai," katanya.
Related article image
Pengerusi SDP Paul Tambyah berucap pada rapat yang diadakan di luar Sun Plaza pada 30 Apr 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
SKIM HDB BUKAN PASARAN TERBUKA

Beberapa calon untuk GRC Sembawang juga membalas komen Encik Ong bahawa SDP telah "mengambil idea" dari parti pembangkang lain dalam dasar perumahan mereka.

SDP telah mencadangkan skim Bukan Pasaran Terbuka (NOM) untuk flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), di mana kos tanah dikecualikan daripada harga flat.

Semasa rapat pada Isnin, Encik Ong mempersoalkan sama ada dasar tersebut praktikal, sambil bertanya bagaimana ia akan memberi kesan kepada mereka yang sudah memiliki flat, jika unit baharu jauh lebih murah.

SURAYAH AKBAR

Menjawab pada hari Rabu, Cik Surayah Akbar berkata bahawa skim NOM direka sebagai "model perumahan awam selari", dijadikan mampu dimiliki rakyat Singapura berpendapatan rendah dan sederhana, sambil menstabilkan kemampuan perumahan jangka panjang.

Di bawah cadangan SDP, harga flat bukan pasaran terbuka akan dikira tanpa kos tanah, dengan syarat ia mesti dijual kembali kepada HDB apabila pemilik flat berpindah.

"Menuduh SDP meniru bukan sahaja tidak tepat, ia juga mengalihkan perhatian daripada isu perumahan sebenar yang dihadapi rakyat Singapura hari ini," kata Cik Surayah, sambil merujuk kepada harga flat jualan semula yang tinggi.

Beliau juga meminta Encik Ong untuk "menjelaskan" apa yang berlaku pada flat mereka pada akhir syarat pegangan pajak 99 tahun.

"SDP bukan sekadar bercakap tentang keadilan. Kami merancang untuknya. Skim NOM kami disokong oleh logik dasar dan kemampanan ekonomi," katanya.

"Pelan bandar kami, seperti di Sembawang dan kawasan undi lain, mengutamakan rakyat, bukan parti.

"Kami akan terus mencadangkan alternatif yang berani, penuh belas kasihan dan berasas tanpa rasa takut dan tanpa perlu meminjam idea orang lain. Kami mempelawa Ong Ye Kung untuk membahaskan dasar, bukan bermain politik.

"Mari kita alihkan perbualan daripada perebutan kawasan undi dan kembali kepada apa yang benar-benar penting, rumah rakyat, kehidupan rakyat dan masa depan rakyat."

DAMANHURI ABAS

Mendalami lagi dasar NOM parti itu, calon GRC Sembawang Damanhuri Abas berkata SDP mencadangkan agar harga flat HDB hanya berdasarkan kos pentadbiran, bahan dan buruh.

Ini bertujuan untuk menjadikan flat lebih dimampui, dengan anggaran harga antara S$90,000 untuk flat dua bilik hingga S$270,000 untuk flat lima bilik.

Parti Kemajuan Singapura (PSP) kemudian mencadangkan "konsep yang serupa" melalui Skim Rumah Dimampui pada 2023, kata Encik Damanhuri.

Di bawah cadangan ini, pembeli akan membayar harga pengguna, bukannya harga Bina Ikut Tempahan (BTO).

Skim ini mencadangkan agar pembeli flat tidak perlu membayar kos tanah apabila mereka membeli flat baharu daripada HDB.

Pembayaran kos tanah akan ditangguhkan dan dibayar hanya jika flat itu dijual selepas Tempoh Pendudukan Minimum (MOP).

Calon SDP bagi GRC Sembawang Alfred Tan berkata cadangan NOM telah lama terkandung dalam kertas dasar SDP "lama sebelum" PSP ditubuhkan.

"Jadi ia mengelirukan saya (dan) rakan-rakan saya di SDP, bagaimana Encik Ong Ye Kung boleh secara terbuka menuduh SDP mengambil idea hebat ini daripada PSP sedangkan PSP belum lagi ditubuhkan?" tambahnya.

PELAN SEMBAWANG

Calon-calon SDP bagi GRC Sembawang juga memuji pelan bandar Sembawang mereka, yang telah dilancarkan semasa rapat mereka empat hari yang lalu.

Beberapa butiran khusus pelan yang ditonjolkan pada Rabu termasuk lif di semua jejambat utama, pusat kesejahteraan untuk belia dan orang dewasa bekerja, dan ruang kerja bersama untuk penduduk.

Dr James Gomez, yang juga timbalan ketua dasar parti, memberitahu orang ramai di rapat itu bahawa pelan bandar itu adalah "pelan induk berpusatkan rakyat" yang dibentuk oleh penduduk Sembawang.

Beliau mengulangi bahawa SDP juga merancang untuk mengadakan perbincangan awam (town hall) secara tetap di kawasan tersebut di bawah strategi utara parti untuk "mengumpul maklum balas awam dan penjajaran berterusan".

SDP sebelum ini berkata jika calon-calon mereka dipilih, mereka akan mengadakan perbincangan awam dengan penduduk untuk mengumpul idea. Wakil-wakil daripada agensi pemerintah yang relevan juga akan hadir.

"Tetapi apabila kami menyebut perbincangan awam, calon PAP bagi SMC Sembawang West Poh Li San mengejek usulan kami. Beliau menyifatkannya sebagai teater politik," kata Dr Gomez.

"Apa yang ini benar-benar menunjukkan adalah betapa jauhnya PAP daripada idea asas demokrasi. Bagi mereka, penyertaan awam kedengaran asing, sesuatu yang tidak perlu atau bahkan mengancam mereka."

SDP telah mencalonkan 11 calon di empat kawasan undi Pilihan Raya Umum kali ini - GRC Marsiling-Yew Tee, GRC Sembawang, SMC Bukit Panjang dan SMC Sembawang West.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita