Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: Calon WP Andre Low mohon maaf atas bahasa, komen 'tidak sesuai' di Telegram

Calon Parti Pekerja (WP) Andre Low meminta maaf pada awal pagi Rabu (30 Apr) atas bahasa dan kenyataannya yang "tidak sesuai sama sekali" selepas mesej Telegramnya dibocorkan di media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Apr 2025 11:32AM Dikemas Kini : 01 May 2025 08:35PM
SINGAPURA: Calon Parti Pekerja (WP) Andre Low meminta maaf pada awal pagi Rabu (30 Apr) atas bahasa dan kenyataannya yang "tidak sesuai sama sekali" selepas mesej Telegramnya dibocorkan di media sosial.

“Mesej yang tersebar itu adalah daripada perbualan peribadi dalam kalangan rakan sekelas sekolah perniagaan saya,” katanya dalam catatan di laman Facebook dan Instagram miliknya sekitar pukul 12.40 tengah malam.

"Banyak daripadanya adalah dari tempoh COVID-19, apabila kami meluahkan kepada satu sama lain semasa terperuk di rumah masing-masing."

Tangkapan skrin mesej tersebut telah dimuat naik ke Reddit dan Facebook pada Selasa malam (29 Apr). Ia menunjukkan keluhan beliau tentang seorang penduduk yang dipanggilnya bagi kerja Sesi Bertemu Rakyat, serta Perkhidmatan Awam dan jet pejuang.

Beliau juga mengkritik TraceTogether, jenama Singapura seperti SecretLab dan Prism, personaliti media Pornsak Prajakwit dan Mark Lee, dan pemain tenis Novak Djokovic.

Dalam mesej itu, dia juga meluahkan rasa kurang senangnya terhadap mantan Ketua Pegawai Eksekutif DBS Piyush Gupta, ejen-ejen hartanah, Singtel, StarHub dan Apple.

Encik Low akan menentang calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang juga ketua buruh Ng Chee Meng bagi merebut kerusi Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Jalan Kayu dalam Pilihan Raya Umum kali ini (GE2025).

Beliau memohon maaf kepada para pengundi SMC Jalan Kayu sambil berkata bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan masa lalunya.

"Saya sentiasa berpendirian mengenai sesuatu perkara. Saya berpegang kepada keyakinan yang kuat. Mengenai Singapura, dan bagaimana kita boleh menjadi lebih baik.

“Ini juga yang mendorong saya untuk bertanding sebagai calon Parti Pekerja,” tulisnya.

"TIADA ALASAN"

Dalam catatan Facebooknya, beliau berkata: "Saya tidak berbangga dengan cara saya menyuarakan pandangan saya, dan saya amat kesal dengan bahasa yang saya gunakan. Ia berlaku di peringkat kehidupan saya yang lalu.

"Tetapi tanpa mengira suasana, tiada alasan untuk saya menggunakan bahasa sedemikian atau membuat komen yang meremehkan sesiapa - terutamanya mereka yang telah meletakkan kepercayaan mereka kepada saya."

Encik Low yang berusia 33 tahun berkata beliau kini sudah berkahwin dan tidak lama lagi bakal menimang cahaya mata. Beliau telah menghabiskan lima tahun bekerja dengan WP, pertama di Rivervale, kemudian di tempat lain.

"Pengalaman ini telah membuka mata saya kepada realiti hidup rakyat Singapura dan firma Singapura, dan saya menjadi lebih matang daripada proses itu.

"Malam ini, saya bercakap tentang ketelusan, kebertanggungjawaban dan kuasa memohon maaf. Saya perlu meletakkan diri saya pada piawai yang sama," tambahnya.

Encik Low berkata demikian di rapat WP di Stadium Bedok pada Selasa malam.

Beliau menambah: "Saya faham bahawa sebagai seorang tokoh awam, kata-kata saya boleh menimbulkan kesan.

"Ini adalah satu pengalaman yang akan mendewasakan saya, tetapi saya berharap saya dapat memperoleh kepercayaan anda, dan untuk menunjukkan keikhlasan saya yang ingin berkhidmat kepada anda."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan