GE2025: Calon SDP, Jufri Salim ingin bantu perbaiki mutu hidup penduduk, turunkan kos sara hidup

Calon SDP, Jufri Salim ingin bantu perbaiki mutu hidup penduduk, turunkan kos sara hidup. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
SINGAPURA: Aktif sebagai anggota Parti Demokratik Singapura (SDP) sejak tahun 2006 lagi, Encik Jufri Salim, 42 tahun, disifatkan sebagai “salah seorang penyokong setia” parti itu oleh Setiausaha Agung SDP, Dr Chee Soon Juan.
Beliau antara empat calon yang diperkenalkan oleh SDP untuk bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee bagi Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025).

Ia diumumkan selepas sesi lawatan bertemu penduduk di Pasar dan Pusat Penjaja Marsiling Lane pada Ahad (13 Apr).
Bercakap kepada pihak media selepas sesi itu, Encik Jufri yang juga merupakan Setiausaha Penganjur parti itu berkongsi bahawa beliau sudah mula bertemu dan mendekati para penduduk di GRC Marsiling-Yew Tee sejak 2020 lagi.
ISU KOS SARA HIDUP

Antara isu yang sentiasa dibangkitkan semasa bertemu para penduduk termasuk masyarakat Melayu/Islam di situ ialah kos sara hidup.
"Di daerah Marsiling, kalau di estet-estet lama ini, kebanyakan orang yang sudah berumur. Jadi, mereka memerlukan bantuan dan sokongan," kongsi Encik Jufri.
"Masalah pertama tetap kos sara hidup dan perumahan kerana kos perumahan sekarang agak tinggi dengan harga (flat) empat bilik dan lima bilik. Kalau di sini sudah hampir S$500,000, S$600,000. Jadi ramai yang bimbang, memikirkan masa depan anak cucu mereka. Jadi sewaktu saya berinteraksi dengan mereka semasa lawatan bertemu rakyat dan lawatan ke rumah, ia tetap sama iaitu tentang kos sara hidup terutama untuk masyarakat kita ini dan ada juga yang menerima bantuan tetapi ia tidak mencukupi," tambah beliau yang turut aktif mendekati penduduk di GRC Sembawang.
RANCANGAN UNTUK PERBAIKI MUTU KEHIDUPAN RAKYAT SINGAPURA

Lantaran itu, sekiranya dipilih, Encik Jufri berharap dapat membantu memperbaiki mutu kehidupan rakyat Singapura.
"Kita ingin memperbaiki mutu kehidupan rakyat Singapura dengan mengurangkan kos sara hidup seperti memansuhkan GST untuk semua barangan keperluan, menyingkirkan cukai bagi air, pengangkutan awam yang lebih dimampui, mengurangkan GST daripada 9 peratus kepada 7 peratus dan kos-kos penjagaan kesihatan yang lebih dimampui," jelas Encik Jufri.
"Kami juga ingin mencadangkan rancangan penjagaan kesihatan alternatif untuk menggantikan sistem 3M ini iaitu Medisave, MediShield dan MediFund anda, untuk mengutamakan akses penjagaan kesihatan yang saksama berdasarkan keperluan dan bukannya kemampuan untuk membayar. Kami juga menekankan keseimbangan kerja dan kehidupan yang sihat untuk mengekalkan kesejahteraan mental yang positif bagi rakyat Singapura dan mengutamakan rakyat Singapura dalam jaminan dan peluang pekerjaan," tambah beliau.
AKTIF DALAM BIDANG SENI - JUMPA, INTERAKSI DENGAN PELBAGAI LAPISAN MASYARAKAT

Di luar politik, Encik Jufri giat berkarya dalam bidang seni dan muzik sebagai penulis dan penerbit lagu.
"Sebagai orang seni, yang banyak berinteraksi dengan orang daripada pelbagai lapisan masyarakat, saya rasa saya dapat lebih memahami orang-orang daripada golongan-golongan (berbeza). Bukan saya ingin mengatakan tentang (sistem) kasta tetapi maksudnya itu, daripada golongan-golongan yang berbeza berpendapatan rendah, pertengahan dan tinggi kerana dalam seni itu, kita berjumpa dengan ramai orang. Kita berjumpa dengan orang yang tinggal di rumah sewa HDB, orang yang tinggal di banglo, jadi kita berinteraksi dengan semua. Jadi saya rasa dengan itu, saya lebih selesa untuk (menjalin) hubungan 'manusia' dengan masyarakat Marsiling-Yew Tee ini," ujar Encik Jufri.
Bersama isterinya, Cik Surayah Akbar yang juga merupakan calon baharu yang diperkenalkan SDP untuk bertanding di GRC Sembawang, mereka menguruskan sebuah syarikat penerbitan muzik, Kraton Music Publishing & Arts.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.