Skip to main content

Singapura

GE2025: Calon RDU Liyana Dhamirah buat laporan polis mengenai gangguan online

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Calon RDU Liyana Dhamirah buat laporan polis mengenai gangguan online

Liyana Dhamirah dari Titik Merah Bersatu (RDU) (tengah) bersama tiga lagi calon RDU untuk GRC Jurong East-Bukit Batok semasa lawatan di Jalan Toh Guan pada 25 Apr 2025. (Gambar: CNA/Nuria Ling)

Diterbitkan : 26 Apr 2025 10:05PM Dikemas Kini : 26 Apr 2025 10:25PM
SINGAPURA: Calon Titik Merah Bersatu (RDU) Liyana Dhamirah telah membuat laporan polis mengenai komen online yang "berbaur perkauman dan seksisme".

Cik Liyana, yang merupakan sebahagian daripada barisan calon RDU yang bertanding di GRC Jurong East-Bukit Batok, memberitahu Mediacorp pada Sabtu (26 Apr) bahawa beliau memutuskan untuk bersuara mengenai gangguan tersebut kerana beliau perlu memimpin dengan contoh.

Dalam laporan polis yang dibuat pada Khamis, beliau menyoroti beberapa komen negatif seperti "Saya teringat dia menjaja epok-epok dan pisang goreng dari rumah ke rumah".

Satu lagi komen mengatakan bahawa beliau akan dapat makan 50 bungkus nasi lemak dan mee siam setiap hari jika beliau dipilih dan menerima gaji sebagai Anggota Parlimen.

Beliau berkata komen-komen itu wujud di akaun TikTok rasmi RDU serta akaun Instagram dan Facebook beliau.

Dalam laporan polis itu, Cik Liyana berkata beliau "bimbang akan keselamatannya".

Isu kaum dan agama telah muncul semasa kempen pilihan raya. Ini selepas Singapura mengenal pasti beberapa pihak asing yang cuba mempengaruhi pilihan raya ini dengan menggesa rakyat agar mengundi mengikut landasan kaum dan agama.

Bercakap kepada wartawan pada Sabtu, Cik Liyana berkata beberapa "komen yang tidak menyenangkan" mula muncul di media sosial pada Hari Penamaan Calon, tetapi beliau membiarkannya kerana pasukannya sibuk menyediakan kempen mereka.

Walau bagaimanapun, komen-komen itu terus muncul dan menjadi lebih teruk. Terdapat kata-kata sindiran yang berbaur perkauman dan menghina, yang memberi gambaran bahawa kaum wanita hanya layak berada di dapur, kata wanita berusia 38 tahun itu.

Kepimpinan dan pasukan media partinya telah menyiasat perkara itu dan beliau membuat "keputusan termaklum" untuk membuat laporan polis.

Cik Liyana, yang bertanding sebagai sebahagian daripada pasukan RDU dalam GRC Jurong pada 2020, berkata beliau tidak mahu menyekat wacana yang sihat dan ingin menangani kenyataan seksis dan berbaur perkauman itu, yang beliau sifatkan sebagai "ucapan kebencian".

"Kita kini dalam era baharu, kita boleh berbuat lebih baik," kata pengurus organisasi bukan mengaut keuntungan itu.

"Kita telah bekerja keras, selama beberapa dekad, untuk mencapai kesetaraan jantina, tetapi kita masih belum sampai ke tahap itu."

Beliau menambah bahawa parti itu "mengutuk keras serangan-serangan yang tidak sensitif dari segi kaum dan agama ini" yang bertentangan dengan nilai-nilai yang didukung oleh Singapura.

"Dalam saat-saat seperti ini, kita mesti kekal bersatu - dan menolak dengan tegas mereka yang cuba merendahkan atau memecahbelahkan kita berdasarkan kaum atau agama," katanya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita