GE2025: Calon diingatkan berwaspada terhadap campur tangan asing, ancaman keselamatan siber
Agensi-agensi pemerintah pada Sabtu (19 Apr) menggesa calon Pilihan Raya Umum agar terus berwaspada terhadap sebarang campur tangan asing dan risiko keselamatan siber demi melindungi integriti pilihan raya.

Papan tanda Jabatan Pilihan Raya Singapura. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Campur tangan asing melibatkan percubaan entiti luar untuk "memanipulasi politik tempatan melalui cara yang terselindung dan mengelirukan”, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam satu kenyataan bersama.
Tujuan campur tangan itu adalah untuk memajukan kepentingan entiti asing tersebut, tambahnya.
Agensi-agensi berkenaan memetik laporan di mana campur tangan asing didakwa berlaku dalam pilihan raya di negara lain, seperti Pilihan Raya Presiden Moldova pada tahun lalu dan Pilihan Raya Presiden Perancis pada 2017.
“Singapura tidak terlepas daripada risiko sedemikian,” kata agensi-agensi itu. “Hasil pilihan raya Singapura mesti ditentukan oleh warga Singapura sahaja. Kita harus melindungi integriti proses pilihan raya kita.”
Maklumat mengenai beberapa kaedah yang digunakan entiti asing untuk campur tangan dalam pilihan raya, serta langkah berjaga-jaga yang boleh diambil calon untuk mengurangkan risiko menjadi sasaran atau secara tidak sengaja membantu campur tangan asing, boleh didapati di laman web ELD.
Dengan mengambil langkah seperti menyemak fakta maklumat yang diterima dan memantau platform media sosial bagi sebarang aktiviti yang mencurigakan atau luar biasa akan dapat membantu melindungi kempen para calon daripada ancaman campur tangan asing, kata agensi-agensi tersebut.
Makluman yang serupa turut dikeluarkan menjelang Pilihan Raya Presiden 2023 dan Pilihan Raya Umum 2020.
RISIKO KESELAMATAN SIBER
Agensi-agensi berkenaan turut memberi amaran mengenai risiko keselamatan siber menjelang Pilihan Raya Umum pada 3 Mei.
Terdapat laporan mengenai aktiviti siber berniat jahat – seperti gangguan perkhidmatan, kecurian data, manipulasi dan maklumat salah, serta percubaan memanipulasi pendapat umum – semasa pilihan raya di negara lain.
Hal tersebut menjejas keyakinan pengundi terhadap proses pilihan raya mereka, kata agensi-agensi itu.
Singapura, sebagai sebuah negara yang sangat terhubung secara digital, mesti berwaspada terhadap percubaan untuk mengganggu proses pilihan raya atau menimbulkan keraguan terhadap integriti Pilihan Raya Umum, tambahnya.
Langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko keselamatan siber termasuk mewujudkan kawalan akses yang ketat dan hak akses jarak jauh bagi aset digital, menguatkuasakan pengurusan kata laluan yang kukuh serta melakukan kemas kini perisian secara berkala bagi melindungi peranti kempen daripada kelemahan yang diketahui.
Para calon juga harus meningkatkan kesedaran kakitangan dan relawan kempen tentang keselamatan siber serta membangunkan keupayaan pemantauan dan tindak balas terhadap kejadian melibatkan keselamatan siber.
“Calon-calon memainkan peranan penting dalam memelihara integriti pilihan raya,” kata agensi-agensi berkenaan.
“Mereka dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan memantau platform masing-masing bagi sebarang aktiviti mencurigakan dan tidak mengongsikan semula catatan daripada sumber yang meragukan.”
Calon turut digesa untuk membuat laporan polis dengan segera dan memaklumkan ELD sekiranya mereka mengesan atau mengesyaki wujudnya campur tangan asing dalam pilihan raya, atau jika akaun atau sistem mereka digodam atau disalah guna.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.