Skip to main content

Singapura

GE2025: Cadangan "menarik" bagi tangani kos sara hidup akan dibuat tapi tidak semuanya baik, kata PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
 GE2025: Cadangan "menarik" bagi tangani kos sara hidup akan dibuat tapi tidak semuanya baik, kata PM Wong

PM Lawrence Wong sampaikan pesanan kepada rakyat Singapura menerusi video pada 22 Apr 2025. (Gambar: YouTube/Lawrence Wong)

Diterbitkan : 23 Apr 2025 07:03AM Dikemas Kini : 23 Apr 2025 07:04AM
SINGAPURA: Para pengundi mungkin mendengar tentang banyak cadangan yang "memancing" dan "menarik" untuk menguruskan tekanan kos sara hidup semasa Pilihan Raya Umum (GE), namun Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (22 Apr) memberi amaran bahawa tidak semua cadangan ini adalah baik dan boleh meletakkan kewangan awam dan ekonomi dalam risiko.

"Jika ia melemahkan kewangan awam kita, beban akan jatuh kepada anak-anak kita. Jika kita salah urus ekonomi, pelabur akan hilang keyakinan dan pendapatan kita akan terjejas.

"Kemudian kita tidak akan ada sumber untuk mengekalkan skim tetap - atau bahkan untuk memberi bantuan sementara," katanya dalam pesanan video empat minit yang dimuat naik ke akaun media sosialnya pada malam sebelum Hari Penamaan Calon.

Hari Rabu menandakan permulaan tempoh kempen sembilan hari sebelum rakyat Singapura keluar mengundi pada 3 Mei.

Dalam pesanannya, perdana menteri juga menggariskan pelbagai langkah sokongan dan rancangan yang sudah dilaksanakan oleh pemerintah, serta bagaimana ia telah menguruskan ekonomi.

"Pendekatan pemerintah adalah berhemah dan bertanggungjawab - terutamanya penting dalam masa yang tidak menentu ini. Saya tidak akan berjudi dengan kehidupan atau masa depan anda," katanya.

"Kami akan sentiasa menyokong anda, berdiri bersama anda, dan berusaha sepenuhnya untuk memastikan masa depan yang lebih cerah untuk anda."
Parti-parti politik sudah mendedahkan manifesto mereka menjelang Hari Penamaan Calon, dengan kebanyakannya mencadangkan pelbagai cara untuk menangani kos yang meningkat.

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diketengahkan dalam manifesto Parti Pekerja (WP), Parti Kemajuan Singapura (PSP) dan Parti Demokratik Singapura (SDP).

Dalam bahagian mengenai kos sara hidup, WP mencadangkan saluran pendapatan alternatif bagi GST. Parti itu menyifatkan cadangannya sebagai "pilihan pendapatan yang kurang membebankan" yang akan "mencukupi untuk menutup jurang dalam kenaikan yang dijangkakan dalam kos jagaan kesihatan dan warga emas".

PSP menyeru bagi pembalikan GST untuk menangani kos yang meningkat. Ia mencadangkan pengurangan dari 9 peratus kembali kepada 7 peratus serta pengecualian barang keperluan seperti beras dan susu formula daripada cukai tersebut.

Sementara itu, SDP menyeru bagi pengurangan GST dan menghapuskannya untuk keperluan asas, seperti makanan dan ubat-ubatan.

Parti Titik Merah Bersatu (RDU) mencadangkan penubuhan "Dividen Warga", yang digambarkan dalam manifestonya sebagai "pemindahan tunai tanpa syarat" yang akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan kewangan untuk semua rakyat Singapura.

BERHEMAH DAN BERTANGGUNGJAWAB URUS EKONOMI

Dalam pesanannya pada Selasa malam, Encik Wong berkata bahawa tekanan kos sara hidup adalah "kebimbangan yang sebenar", sambil menyatakan bahawa negara-negara lain juga berdepan situasi yang sama disebabkan peperangan di Eropah dan Timur Tengah, gangguan rantaian bekalan global, serta tarif dan perang perdagangan.

Beliau menyatakan bahawa pemerintah melihat sebahagian daripada cabaran-cabaran ini datang lebih awal pada tahun ini.

"Itulah sebabnya saya mengumumkan pakej sokongan menyeluruh dalam Belanjawan. Ini termasuk baucar CDC dan SG60, bayaran tunai, kredit LifeSG, rebat U-Save dan banyak lagi," katanya, sambil menambah bahawa keluarga biasa empat anggota dengan dua anak kecil boleh menerima sekitar S$5,000 dalam sokongan tahun kewangan ini.

Encik Wong berkata bahawa langkah-langkah ini akan dilaksanakan dalam bulan-bulan akan datang, dengan baucar CDC pada bulan Mei, baucar SG60 pada bulan Julai, kredit LifeSG Anak dari bulan Julai ke atas dan rebat U-Save pada bulan Julai dan Oktober.

"Jadi hampir setiap bulan, anda boleh menjangkakan sesuatu," katanya, menambah bahawa pemerintah juga memantau keadaan dengan teliti.

"Dan jika keadaan menjadi lebih buruk, kami akan meningkatkan sokongan. Dan selepas tahun ini, kami akan terus memberi bantuan selama ia diperlukan."

Beliau berkata pemerintah dapat memberi bantuan sedemikian kerana pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) sudah lama menguruskan ekonominya dengan baik dan akan terus berbuat demikian.

"Kewangan awam kita sihat dan kuat. Banyak negara lain meminjam dengan banyak, dan membayar faedah atas pinjaman mereka. Kita tidak. Kita mempunyai rizab, yang kita laburkan, dan semua rakyat Singapura mendapat manfaat daripada pendapatan pelaburan yang dihasilkan.

"Jadi ketika pemerintah lain mencari cara untuk mengurangkan perbelanjaan atau memotong faedah, kita dapat memberikan lebih banyak sokongan dan meningkatkan jaringan keselamatan sosial untuk semua orang."

Beliau menekankan bagaimana sebahagian besar perbelanjaan sosial pemerintah adalah untuk program tetap, dan juga menyatakan bahawa perbelanjaan sosialnya semakin meningkat - menjadi pertuntukan terbesar dalam Belanjawan, melebihi pertahanan.

"Itulah cara kita memberi sokongan sebenar dan berterusan untuk membantu setiap rakyat Singapura dengan kos sara hidup, dan pada setiap peringkat kehidupan," katanya.

Beliau juga berkata bahawa cara terbaik untuk menguruskan tekanan kos adalah dengan memastikan pendapatan terus meningkat, dan meningkat lebih cepat daripada inflasi.

"Untuk ini berterusan, ekonomi kita mesti terus berkembang. Jadi kita mesti menguruskannya dengan berhemah dan bertanggungjawab," tambahnya.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita