GE2025: Bendahari SPP akan bertanding di SMC Potong Pasir
Parti Rakyat Singapura (SPP) telah menamakan bendaharinya Williiamson Lee sebagai calon yang akan bertanding di SMC Potong Pasir dalam Pilihan Raya Umum akan datang. Ini menimbulkan kemungkinan berlakunya persaingan tiga penjuru di bekas kubu kuat parti pembangkang itu.
Encik Williiamson Lee daripada Parti Rakyat Singapura (SPP) (Gambar: CNA/Lan Yu)
Setiausaha Agung SPP Steve Chia membuat pengumuman itu dalam satu kenyataan media pada Selasa (22 Apr).
Encik Lee, 46, yang telah bertanding dalam GRC Bishan-Toa Payoh pada pilihan raya 2020, memperoleh 32.77 peratus undi menentang pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Beliau berkemungkinan akan berdepan dengan calon PAP, Alex Yeo, 46, yang akan menggantikan mantan Ahli Parlimen PAP Sitoh Yih Pin, di Potong Pasir.
Encik Yeo, seorang peguam, bertanding dalam pilihan raya di GRC Aljunied semasa pilihan raya 2020, dan mempunyai pengalaman dalam bidang guaman serta penglibatan di peringkat akar umbi. Beliau sebelum ini merupakan pengerusi cawangan PAP di divisyen Paya Lebar.
Encik Sitoh, 61, bersara daripada politik selepas berkhidmat selama tiga penggal sejak 2011. Kemenangannya pada tahun yang sama menamatkan penguasaan pembangkang selama 27 tahun ke atas kawasan undi itu. Mantan ketua SPP Chiam See Tong meninggalkan Potong Pasir pada tahun itu untuk bertanding di GRC Bishan-Toa Payoh.
Encik Chiam, yang meraikan ulang tahunnya yang ke 90 bulan lalu, berundur sebagai ketua parti itu pada 2019, dan sekali gus menyerahkan tampuk kepimpinan SPP kepada Encik Chia.
Persaingan tiga penjuru dijangkakan di SMC Potong Pasir, dengan Perikatan Rakyat untuk Pembaharuan (PAR) juga menunjukkan minat untuk bertanding di kawasan undi itu.
Bulan lalu, Encik Chia berkata beliau berharap dapat mengelakkan persaingan tiga penjuru di Potong Pasir dan akan menghubungi Setiausaha Agung PAR Lim Tean untuk berunding.
Bagaimanapun, Encik Lim mengumumkan Jumaat lalu bahawa PAR akan menempatkan 14 calonnya di tujuh kawasan undi, termasuk SMC Potong Pasir.
Pada pilihan raya 2020, Jose Raymond dari SPP tewas kepada Encik Sitoh dengan memperoleh 39.33 peratus undi di SMC tersebut.
Sejak itu, dua daerah daripada SMC Potong Pasir telah dipindahkan ke GRC Marine Parade dalam laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) tahun ini. Pelarasan itu dibuat sebagai respons kepada jumlah penduduk yang meningkat dengan pesat di kawasan Bidadari.
Sehingga 1 Feb, kawasan itu mempunyai 30,897 pengundi berdaftar, meningkat daripada 19,731 pada 2020.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.