GE2025: Aktivis PAP Kawal Pal Singh, muka baharu Elysa Chen dilihat di GRC Bishan-Toa Payoh

(Dari kiri)) Muka baharu PAP Elysa Chen dan Kawal Pal Singh, sertai Encik Chee Hong Tat di Pasar Toa Payoh West pada 13 Apr 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Bercakap di luar lawatan tersebut, Encik Chee, seorang Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Bishan-Toa Payoh, tidak mengesahkan sama ada mereka akan bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.
Sekalipun demikian, Encik Chee berkata beliau "sangat gembira" melihat "orang muda" seperti Cik Chen dan Encik Singh, yang kedua-duanya berusia 41 tahun, tampil untuk berkhidmat.
"Saya rasa mereka mempunyai semangat untuk berkhidmat, (dengan) hati di tempat yang betul. Mereka ingin melakukan sesuatu untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan gembira menyambut mereka," tambah Menteri Kedua kewangan itu.
Ketiga-tiga mereka berjalan di sekitar Pusat Pasar dan Makanan Toa Payoh West bercakap dengan pemilik gerai dan bersalaman dengan penduduk selama kira-kira satu jam.
Anggota Parlimen lain bagi GRC empat anggota Bishan-Toa Payoh ialah Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen, Encik Saktiandi Supaat dan Encik Chong Kee Hiong. Mereka tidak hadir pada acara tersebut.
MUKA BAHARU
Encik Singh merupakan aktivis mapan PAP yang berucap di konvensyen parti pada tahun 2019. Encik Singh adalah rakan kongsi pengurusan di Tito Isaac and Co LLP, di mana beliau merupakan pakar dalam litigasi sivil dan komersil, pertikaian rentas sempadan dan undang-undang keluarga.
Beliau pernah dilihat bersama Dr Lam Pin Min semasa lawatan rumah ke rumah dan acara kawasan undi di Sengkang West. Encik Singh juga diperkenalkan semasa konvensyen parti pada tahun 2020 dan merupakan anak saudara bekas Anggota Parlimen PAP Inderjit Singh.
Pada masa itu, Encik Singh berkata kisahnya adalah "kisah harapan" kerana beliau menempuh laluan yang "tidak konvensional" untuk menjadi seorang peguam. Di sekolah rendah dan menengah, beliau belajar dalam aliran EM3 dan Normal (Teknikal) masing-masing, sebelum pergi ke Institut Pendidikan Teknikal.
"Saya akan katakan, saya membawa harapan. Saya membawa ketekunan, dan menggunakan nilai-nilai tersebut, saya berharap dapat berkhidmat di mana sahaja saya boleh, jika diberi peluang."
Apabila ditanya apa yang mendorong kemungkinan berpindah dari Sengkang ke Bishan-Toa Payoh, Encik Singh berkata: "Bagi saya, ia bukan soal kawasan tertentu. Saya seorang Rakyat Singapura. Saya gembira untuk berkhidmat di mana sahaja ada keperluan, dan jika ada keperluan untuk saya berkhidmat di mana-mana tempat lain, saya akan sangat berbesar hati untuk berbuat demikian."
Cik Chen merupakan pengarah eksekutif agensi perkhidmatan sosial belia CampusImpact. Sebelum menjadi pengarah eksekutif, Cik Chen adalah seorang guru di sebuah maktab rendah tempatan dan wartawan Singapore Press Holdings (SPH).
"Sungguh mengagumkan dapat bertemu dengan penduduk, terutamanya melihat semangat bertenaga, yang mana semua warga emas masih sangat aktif dan benar-benar terlibat dalam masyarakat," kata Cik Chen.
Cik Chen, yang berkhidmat sebagai sukarelawan di Punggol Coast, berkata beliau berharap untuk menggalakkan "semangat kesukarelawanan".
Selain berkhidmat kepada orang muda melalui CampusImpact, beliau menambah bahawa beliau sudah bekerja dengan ibu bapa dan menggerakkan sumber masyarakat untuk belia mendapatkan sokongan yang mereka perlukan.
"Satu bidang yang memanfaatkan pengalaman saya adalah dalam menyatukan sumber masyarakat dan kerjasama masyarakat untuk melihat orang muda dan keluarga mereka berkembang maju."

Setelah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen bagi bahagian Toa Payoh West–Thomson sejak 2015, Encik Chee berkata beliau berharap untuk kekal di Bishan-Toa Payoh.
Apabila ditanya sama ada selepas Encik Singh dan Cik Chen diperkenalkan, bermakna sama ada Dr Ng atau beliau perlu meninggalkan GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Chee berkata: "Kita akan tunggu PM (Lawrence) Wong dan parti mengumumkan lebih banyak butiran kemudian pada masa yang sesuai."
"Saya sangat berharap untuk tetap berada di Bishan-Toa Payoh. Saya telah berkhidmat di sini selama 10 tahun yang lalu. Saya telah menjalin hubungan, ikatan dengan penduduk dan masyarakat kita. Tentu sekali saya berharap saya akan diberi peluang untuk terus berkhidmat kepada mereka."
Sempadan pilihan raya GRC Bishan-Toa Payoh tidak diubah dalam laporan terkini oleh Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya. Terdapat sejumlah 98,505 pengundi di kawasan tersebut, tambah laporan itu.
Semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2020, PAP meraih 67.23 peratus undi mengalahkan Parti Rakyat Singapura (SPP), yang mendapat 32.77 peratus.
Pasukan SPP mengumumkan bulan lalu bahawa parti itu bercadang untuk bertanding GRC Bishan-Toa Payoh dan SMC Potong Pasir sekali lagi. Ia juga pernah bertanding Bishan-Toa Payoh dalam pilihan raya 2015.
Pasukan SPP pada 2020 terdiri daripada setiausaha agung Steve Chia, serta calon-calon lalu Melvyn Chiu, Williiamson Lee dan Osman Sulaiman.
Encik Chia menambah bahawa walaupun barisan calon untuk kedua-dua kawasan undi - satu untuk Potong Pasir dan empat untuk Bishan-Toa Payoh - sudah disahkan, parti itu tidak akan mengumumkan sebarang nama sehingga Hari Penamaan Calon.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.