GE2025: Adakah landskap politik SG semakin matang dengan kemunculan calon 'berpotensi, berbakat' dari parti pembangkang?
Dengan Pilihan Raya Umum (GE2025) dijangka diadakan tahun ini, beberapa muka baharu dari parti-parti politik telah membuat penampilan di media sosial serta di kawasan-kawasan kejiranan di merata Singapura.

(Dari kiri ke kanan) Encik Lawrence Pek dari Parti Kemajuan Singapura; Encik Harpreet Singh dan Dr Ong Lue Ping dari Parti Pekerja. (Gambar: LinkedIn/Lawrence Pek, Audent Chambers, LinkedIn/Ong Lue Ping)
Antaranya ialah Encik Lawrence Pek, yang pernah menyandang jawatan sebagai setiausaha agung Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF) di kemuncak pandemik COVID-19.
Sebagai suara utama bagi sektor yang menyumbang kira-kira 20 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura, Encik Pek semasa tempoh penggalnya sering membangkitkan isu-isu utama berhubung kos perniagaan dan keperluan tenaga kerja kepada agensi-agensi pemerintah.
Pada 2023, beliau memutuskan bahawa langkah seterusnya adalah untuk menceburi bidang politik supaya - menurut pandangannya sendiri - membentuk sebuah Singapura yang lebih baik.
Menyusuli perbincangannya dengan pengasas Parti Kemajuan Singapura (PSP) Dr Tan Cheng Bock dan Setiausaha Agung Leong Mun Wai, Encik Pek memutuskan untuk menyertai parti pembangkang tersebut.
"Saya merumuskan bahawa nilai-nilai yang saya pegang lebih sejajar dengan nilai-nilai PSP, berbanding dengan parti pemerintah atau parti-parti pembangkang utama yang lain di Parlimen," katanya kepada Mediacorp.
"PSP secara khususnya, menarik individu yang percaya kepada politik yang membina, tidak takut dinilai masyarakat dan mahu membuat perubahan."
Encik Pek bukan satu-satunya individu dengan kurikulum vitae (CV) baik yang dilihat menyertai sesi lawatan bertemu rakyat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dan berkemungkinan bertanding sebagai calon parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025).
The Straits Times sebelum ini melaporkan bahawa calon-calon Parti Pekerja (WP) bagi GE2025 termasuk Dr Ong Lue Ping, ahli psikologi klinikal kanan di Institut Kesihatan Mental (IMH); dan Encik Michael Thng, pengasas bersama syarikat pemula yang memegang ijazah sarjana dalam bidang dasar awam dari Harvard Kennedy School.
Peguam Kanan Harpreet Singh juga sebelum ini mengesahkan hasratnya untuk bertanding bagi WP di GRC Marine Parade-Braddell Heights yang dibentuk baru-baru ini.

Dalam beberapa dekad selepas kemerdekaan, Singapura mempunyai beberapa calon pembangkang dengan latar belakang berpendidikan tinggi, seperti peguam dan mantan ketua WP J B Jeyaretnam serta pemimpin Parti Demokratik Singapura (SDP) Dr Chee Soon Juan yang pernah mengajar psikologi di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Namun semakin ramai individu 'hebat' menyertai parti-parti pembangkang sejak tahun 2000-an.
Semasa Pilihan Raya Umum 2006 (GE2006), ahli akademik Dr James Gomez dan pensyarah undang-undang Sylvia Lim bertanding di GRC Aljunied di bawah Parti Pekerja (WP).
Pilihan Raya Umum 2011 (GE2011) menyaksikan detik bersejarah bagi WP setelah ia merampas GRC Aljunied dari Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Peguam korporat Chen Show Mao yang merupakan seorang penerima biasiswa pemerintah dan lulusan Harvard, Oxford dan Stanford; ketua parti Low Thia Khiang; Cik Lim; kaunselor keluarga Faisal Manap; dan bakal ketua WP Pritam Singh membentuk barisan anggota pembangkang yang pertama memenangi sebuah GRC sejak Singapura merdeka.
WP menolak permintaan Mediacorp untuk mewawancara bakal calonnya tahun ini.
Namun ia menyatakan dalam satu kenyataan bahawa ia sekian lama mengutamakan usaha menjadi parti politik yang rasional, bertanggungjawab dan dihormati.
SEBAB DI SEBALIK PERALIHANNYA
Zamil Institut Pengajian Dasar (IPS) bagi Makmal Sosial Dr Teo Kay Key berkata satu sebab mengapa parti pembangkang semakin berupaya menarik calon berkelayakan tinggi mungkin disebabkan oleh cabaran-cabaran tradisional yang pada suatu ketika dahulu mungkin menjadi penghalang tetapi sudah semakin berkurangan sekarangan.
Ini termasuk tanggapan bahawa perkembangan kerjaya mereka mungkin mundur disebabkan oleh kaitan dengan pihak pembangkang dan justeru peluang lebih rendah untuk dilantik, berbanding jika mereka menyertai parti pemerintah.
Dr Teo menambah calon-calon pembangkang yang berjaya dalam pilihan raya sebelum ini telah membuktikan bahawa langkah sedemikian adalah sesuatu yang boleh dicapai.
"Ia menunjukkan landskap politik yang semakin matang di mana terdapat sejumlah parti politik yang boleh dipertimbangkan, jika seseorang mahu menyumbang kepada Singapura menerusi bidang politik," katanya lagi.
"Parti-parti ini juga mempunyai idea berbeza berhubung pelbagai isu dasar berbanding dengan PAP, jadi (calon-calon yang berpotensi) dapat melihat dan memutuskan parti yang mana satu lebih sesuai."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.