GE2025: 82% pengundi yang layak sudah mengundi setakat pukul 5.00 petang
Rakyat Singapura keluar mengundi pada 3 Mei 2025 dalam Pilihan Raya 2025. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee, Christine Tan)
SINGAPURA: Jutaan rakyat Singapura keluar ke pusat mengundi pada Sabtu (3 Mei), sedang negara ini mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-14.
Setakat pukul 5.00 petang, sekitar 82 peratus daripada 2,627,026 pengundi yang layak mengundi sudah berbuat demikian, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD).
Seramai 206 calon dari 11 parti, termasuk dua calon bebas, bertanding bagi 92 kerusi di 32 kawasan undi. Parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) sudahpun mempunyai lima kerusi, menyusuli kemenangan tanpa bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marine Parade-Braddell Heights.
Sekitar 2.75 juta orang layak mengundi tahun ini, naik lebih 100,000 berbanding 2.65 juta dalam pilihan raya yang lalu.
Pusat-pusat mengundi dibuka mulai pukul 8.00 pagi pada Sabtu selepas sembilan hari berkempen. GE2025 juga menyaksikan rapat pilihan raya kembali diadakan secara fizikal. Ia sebelum ini digantung dalam Pilihan Raya Umum 2020 disebabkan sekatan COVID-19.
Pilihan raya kali ini adalah yang pertama bagi Encik Lawrence Wong sejak beliau mengambil alih sebagai perdana menteri pada tahun lalu. Keprihatinan utama pengundi termasuk perumahan, ekonomi, dan kenaikan kos sara hidup.
Daripada 32 kawasan undi yang dipertandingkan, 17 adalah GRC berbilang anggota dan 15 Kawasan Undi Perseorangan (SMC).
Terdapat lima persaingan berbilang penjuru, termasuk empat penjuru di GRC Tampines.
PAP bertanding bagi semua 92 kerusi. Pembangkang utama, Parti Pekerja (WP), pula bertanding bagi 26 kerusi.
Parti pembangkang lain ialah:
Titik Merah Bersatu (RDU): 15 kerusi
Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR): 13 kerusi
Parti Kemajuan Singapura (PSP): 13 kerusi
Parti Demokratik Singapura (SDP): 11 kerusi
Parti Perpaduan Nasional (NSP): 10 kerusi
Parti Kuasa Rakyat (PPP): 10 kerusi
Parti Rakyat Singapura (SPP): 5 kerusi
Parti Bersatu Singapura (SUP): 5 kerusi
Perikatan Demokratik Singapura (SDA): 4 kerusi
Dua kerusi - SMC Radin Mas dan SMC Mountbatten - dipertandingkan oleh dua calon bebas, Encik Darryl Lo dan Encik Jeremy Tan.
YANG HARUS DAN TIDAK HARUS DILAKUKAN
Pusat mengundi dibuka mulai pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam pada Sabtu.
Para pengundi dinasihatkan agar memeriksa status beratur di pusat mengundi kawasan mereka dengan mengimbas kod QR pada kad undi mereka sebelum keluar mengundi, menurut ELD.
ELD juga menggalak para pengundi mempertimbangkan untuk keluar mengundi pada sebelah petang, memandangkan beratur pada waktu pagi lazimnya lebih panjang.
Para pengundi juga dinasihatkan supaya tidak memakai atau membawa barangan atau simbol yang mungkin dilihat sebagai boleh mempengaruhi orang lain atau cuma meraih sokongan bagi mana-mana parti politik, calon atau kumpulan calon di pusat mengundi.
Ini termasuk barangan seperti pakaian, beg, botol air, mainan yang menyerupai atau dikaitkan dengan parti politik, kipas dan lencana.
Kegagalan untuk mematuhinya boleh menyebabkan mereka tidak dibenarkan masuk ke pusat mengundi.
Para pengundi mesti membawa NRIC atau pasport asli dan kad undi, atau menunjukkan NRIC digital dan kad undi elektronik menerusi aplikasi Singpass.
Para pengundi juga digalakkan menggunakan cap pangkah 'X' yang disediakan, tetapi mereka juga boleh menggunakan pen sendiri untuk menandakan pilihan mereka atas kertas undi.
Oleh kerana kenderaan tidak dibenarkan diletakkan di pusat mengundi atau jalan raya berdekatan, para pengundi digalakkan menaiki pengangkutan awam atau berjalan kaki ke pusat mengundi.
Sekalipun demikian, tempat menurunkan penumpang disediakan di semua pusat mengundi bagi kenderaan yang membawa pengundi kurang upaya atau memerlukan. Barisan beratur yang diberi keutamaan dan kerusi roda disediakan bagi yang memerlukannya.
Orang awam juga dinasihat supaya jangan berlegar-legar berdekatan pusat mengundi dan segera meninggalkan lokasi itu selepas membuang undi mereka.
Para calon, penyokong mereka dan orang awam boleh berkumpul di lima pusat perhimpunan yang diluluskan sementara menunggu keputusan pilihan raya.
Pusat-pusat itu akan dibuka selepas pusat mengundi ditutup pada pukul 8.00 malam pada Sabtu sehingga 30 minit selepas keputusan GE2025 diumumkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.