GE2025: 7 perkara anda perlu tahu tentang laporan semakan sempadan kawasan undi SG
Rakyat Singapura akan keluar mengundi di 33 kawasan undi semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), meningkat daripada 31 sewaktu GE2020, selepas perubahan-perubahan yang disarankan bagi semakan sempadan kawasan undi dikeluarkan pada Selasa (11 Mac).

Rakyat Singapura akan keluar mengundi di 33 kawasan undi semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
SINGAPURA: Rakyat Singapura akan keluar mengundi di 33 kawasan undi semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), meningkat daripada 31 sewaktu GE2020, selepas perubahan-perubahan yang disarankan bagi semakan sempadan kawasan undi dikeluarkan pada Selasa (11 Mac).
Pemerintah Singapura telah menerima saranan-saranan oleh Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC).
Berikut menjelaskan bagaimana kawasan undi ditetapkan:
1. PERUBAHAN PADA JUMLAH PENDUDUK
Terdapat seramai 2,753,226 pengundi dalam Daftar Pengundi, setakat 1 Feb. Ini merupakan 101,791 lebih ramai pengundi berbanding 2,651,435 pengundi pada GE2020.
Dalam laporan EBRC pada 2020, peningkatan jumlah pengundi adalah seramai 134,256 berbanding daftar pengundi pada 2015.
EBRC pada Selasa (11 Mac) turut mendedahkan bahawa pertumbuhan penduduk sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak sama rata di semua kawasan undi.
“Disebabkan oleh peralihan penduduk dan pembangunan perumahan baharu, beberapa (kawasan undi) seperti GRC Pasir Ris-Punggol, GRC Sembawang, GRC Tampines, SMC Hong Kah North dan SMC Potong Pasir telah mengalami pertumbuhan yang lebih tinggi daripada yang lain,” dedah EBRC.
2. LEBIH RAMAI AP, LEBIH BANYAK KAWASAN UNDI
Parlimen Singapura yang seterusnya akan mempunyai 97 kerusi, meningkat daripada 93 ketika ini.
33 kawasan undi yang terdiri daripada 15 Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dan 18 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC).
Ini bermakna satu lagi SMC dan satu lagi GRC berbanding GE2020, selaras dengan ramalan. Sungguhpun demikian, sesetengah kawasan undi sedia ada sudah digugurkan atau dilakar semula.
3. PERUBAHAN UTAMA PADA GRC
Tiada lagi dua GRC – GRC Pasir Ris-Punggol dan GRC Jurong.
Terdapat GRC baharu di Pasir Ris-Changi, Punggol, Jurong East-Bukit Batok, West Coast dan Marine Parade.
Perubahan-perubahan itu sebahagian besarnya berpunca daripada peralihan penduduk di Punggol dan Tengah, disebabkan oleh pembangunan perumahan baharu.
GRC Punggol yang baharu dibentuk dengan menggurkan beberapa estet daripada GRC Pasir Ris-Punggol – yang menyaksikan peningkatan terbesar pada jumlah pengundi sejak pilihan raya yang lalu lalu – dan menggabungkannya dengan SMC Punggol West.
GRC Pasir Ris-Changi yang baharu diwujudkan dengan menggabungkan baki kawasan GRC Pasir Ris-Punggol dengan kawasan-kawasan undi yang terletak bersebelahan dengan GRC East Coast.
GRC Jurong East-Bukit Batok yang baharu, sementara itu, menyerap keseluruhan GRC Jurong, SMC Bukit Batok, SMC Yuhua, serta estet Bukit Batok West di SMC Hong Kah North.
Itu adalah baki estet dari Hong Kah North selepas estet Tengah diserap ke dalam GRC Chua Chu Kang.
Di tempat lain, GRC West Coast akan menjadi GRC West Coast-Jurong West selepas mengambil alih estet daripada GRC Jurong East-Bukit Batok yang terletak bersebelahan dan kehilangan kawasan undi di estet Harbourfront, Sentosa, Dover dan Telok Blangah.
GRC Marine Parade akan dinamakan sebagai GRC Marine Parade-Braddell Heights selepas menyerap SMC MacPherson dan sebahagian daripada SMC Mountbatten dan SMC Potong Pasir.
Sementara itu, GRC East Coast mengekalkan namanya tetapi sempadannya telah dibentuk semula untuk mengambil alih kawasan undi yang terletak bersebelahan dengan GRC Marine Parade, selepas kehilangan estet Loyang dan Flora kepada GRC Pasir Ris-Changi.
4. SMC BAHARU
Terdapat enam SMC baharu.
SMC Bukit Gombak dibentuk daripada GRC Chua Chu Kang untuk menampung pertumbuhan penduduk masa hadapan di Tengah.
SMC Jalan Kayu dibentuk daripada GRC Ang Mo Kio, yang mempunyai jumlah pengundi terbanyak dalam kalangan mana-mana kawasan undi; manakala SMC Queenstown yang baharu dahulunya merupakan sebahagian daripada GRC Tanjong Pagar.
SMC Jurong Central dibentuk daripada GRC Jurong East-Bukit Batok yang baharu.
Dengan pertumbuhan penduduk di GRC Sembawang dan GRC Tampines, EBRC juga menyarankan SMC baharu di Sembawang West dan Tampines Changkat.
Lima SMC di Bukit Batok, Hong Kah North, MacPherson, Punggol West dan Yuhua digugurkan selepas diserap ke dalam GRC-GRC.
5. KAWASAN UNDI YANG KEKAL TIDAK BERUBAH
Perubahan-perubahan besar itu bermakna hanya lima GRC dan empat SMC kekal tidak berubah.
Bishan-Toa Payoh, Jalan Besar, Marsiling-Yew Tee, Nee Soon dan GRC Sengkang; dan SMC Bukit Panjang, Hougang, Marymount dan Pioneer kekal tidak berubah.
6. LEBIH BANYAK NAMA BERGANDA
EBRC juga menarik perhatian kepada penggunaan dua nama untuk "lebih mencerminkan identiti sesebuah kawasan berdasarkan geografinya" dalam GRC.
EBRC menyarakan untuk meneruskan amalan ini bagi GRC Jurong East-Bukit Batok, Pasir Ris-Changi, West Coast-Jurong West dan Marine Parade-Braddell Heights.
7. MENGEKALKAN JUMLAH & SAIZ
EBRC juga diarahkan untuk "mengekalkan saiz purata GRC, jumlah Anggota Parlimen (AP) yang dipilih daripada SMC dan nisbah purata antara pengundi dan Anggota Parlimen yang dipilih, semuanya hampir sama seperti Pilihan Raya Umum yang lalu (GE2020)".
Saiz purata GRC pada tahun 2020 ialah 4.65. Ia kini rendah sedikit iaitu 4.56.
Pada 2020, SMC menyumbang 15.1 peratus daripada jumlah Anggota Parlimen, atau 14 daripada 93 AP. Angka itu kini 15.5 peratus, atau 15 daripada 97 AP.
Secara purata, setiap Anggota Parlimen mewakili 28,510 pengundi pada 2020. Nisbah itu merosot kepada 28,384 pengundi dalam laporan terkini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.